Skip to main content

Posts

Showing posts from 2010

Genap 2 Tahun

Akhirnya semalam umurnya genap 2 tahun. Alhamdulillah.  Perjuangan saya selama 2 tahun pun lengkap sudah. Alhamdulillah. Takut. Sedih. Tengoklah gambar ini. Ini hasil perahan dari pagi sampai ke petang. Memang bulan-bulan terakhir sebelum usianya genap 2 tahun, pengeluaran susu merudum. Jenuh makan kurma, pegaga dan segala macam untuk tambahkan lagi susu tetapi tetap macam itu juga. Saya beli susu formula siap-siap. Mana tahu memang saya tak mampu bekalkan Adik susu secukupnya. Bukan mengalah tapi persediaan. Risau Adik nanti kelaparan. Mujurlah Adik tak banyak karenah. Cuma kurang rehat. Kalau saya ada di rumah, memang Adik melekap sahajalah! Semalam Adik sangat-sangat gembira. Kemuncak kegembiraannya apabila melihat kek ulang tahunnya dihias gambar kartun Upin & Ipin. Ada pula sebuah kereta mainan Ben 10 di atasnya dan dapat hadiah beg kecil, juga ada gambar kartun kesukaannya. Gembiranya dia sampai hilang selera makan. Selamat ulang tahun Adik. Kesihatan Adik ke...

Empat Tahun

Tika itu, empat tahun lalu, waktu pagi matahari mula menampakkan diri cuba mengisi cahaya pada segenap isi bumi  sana sini terdengar burung-burung berkicau terbang berkelompok mencari rezeki cuba menutup debar Hari itu, empat tahun lalu, penghulu segala hari jangkaannya pada rembang hari rencana milik manusia rencana milik Yang Maha Kuasa penentunya adalah Dia Pagi itu juga setelah lewat beberapa hari masanya telah tiba menyambut puteri ke dunia Selamat datang anak, empat tahun lalu semalam hari ini atau akan datang doa yang satu ini selalu dan selalu ada semoga dirimu tergolong dalam golongan orang beriman jadilah dirimu insan bertakwa, anak solehah yang sentiasa menjadi penawar (Syafiah) kebahagiaan dan kesejahteraan hidupmu di dunia dan akhirat jadi harapan selamanya

Pangkor, Pengajaran & Pendaftaran

Pulau Pangkor, kami ke sana hari minggu yang lalu. Sebetulnya atas urusan kerja suami, kami menumpang. Hendak nantikan percutian yang dirancang, agak susah. Ada sahaja rintangan di saat akhir. Namun disulami dengan kejadian yang kurang menyenangkan. Tiba-tiba Adik sakit. Terakhir Adik sakit begitu pada 22 Mac lalu. Sejak dimestikan mengambil ubat 2 kali dalam sehari, belum pernah sakit Adik berulang walaupun ketika demam teruk. Mujur ada Emak dan Ayah, jadi keadaan terkawal. Andai kami berempat sahaja, tentula sangat panik kerana Adik sakit lebih daripada sekali dan kami berada dalam bot sedang mengelilingi pulau. Pengajaran kepada kami, Adik tidak boleh terdedah dalam cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk. Lebih memilukan Emak pula disahkan demam denggi sebaik pulang dari Pangkor. Sekejap sahaja masa berlalu, sudah sampai masanya Kak Long menjejak alam persekolahan. Jenuh saya dan suami mencari pra sekolah yang bersesuaian. Perancangan awal, Kak Long ...

Lambaian Kaabah

Selamat menyambut hari raya korban buat semua umat Islam. 

Suntuk

Masa itu emas. Terasa hari berlalu begitu cepat. Banyak lagi yang perlu dibetulkan. Banyak pula penambahan yang mesti dibuat. Cuti-cuti-cuti. Cuti perayaan. Mustahil untuk dihalang. Jatuh taraf kejam pula nanti. Terasa benar kekurangan tenaga kerja. Maknanya kekurangan idea bernas. Wah, bukan hanya masa! Dugaan datang bertimpa, salah seorang orang harapan akan menjalani pembedahan. Kesihatannya yang paling utama, harapnya beliau sempat sembuh sepenuhnya sebelum hari pertandingan. Minggu hadapan pula, ada satu lagi tugas tambahan yang besar dan mesti dilaksanakan. Nampaknya mesti berkejar siapkan semuanya dalam minggu ini juga. Sempat?! Entahlah. Tapi tak boleh mengalah, mesti cuba. Cuba yang terbaik.

Benar-benar Bukan Penamat

Keputusan telah diumumkan petang itu, alhamdulillah dan benarlah bukan penamat segala cerita. Kami perlu kerja keras untuk 24 November ini pula. Oleh itu kesemua mereka ini perlu kembali bergabung semula bersama saya. Tanpa mereka semua, kejayaan ini tak mungkin dapat dicapai. Mereka tahu sejauh mana peranan yang mereka mainkan. dan Blog ini diwarnai dengan wajah-wajah ceria. Kemenangan ini tidak dijangkakan sama sekali. Sesiapa yang tahu rentetan cerita perjuangan kami, faham mengapa saya katakan begitu. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Allah berikan ganjaran lebih daripada apa yang kami harapkan. Alhamdulillah.

Bukan Penamat!

Terakhir sebelum melangkah ke pentas Tarikh keramat 28.10.2010 usai   sudah. Hasil usaha, penat lelah, kesungguhan dan kesabaran telah dilunasi dalam masa kira-kira 20 minit, pagi semalam. Semuanya berdebar-debar  Alhamdulillah, ketika persembahan kumpulan semuanya lancar. Adalah sikit-sikit tersasul, suara mengigil, gementar dan lawak-lawak spontan yang hanya ahli kumpulan yang faham. Tak tentu arah - kena terjah! Bagaimanapun kami terperangkap oleh soalan daripada ketua juri. Memang mengecewakan kerana kami sama sekali tak menyangka soalan itu akan diajukan. Kepala saya terus berdenyut-denyut. Terasa tiba-tiba sangat-sangat letih. Saya jawab juga namun dibalas dengan, TIDAK MENJAWAB SOALAN! Lagilah kelam kabut. Dalam hati, saya merasakan juri tidak memahami projek kami. Sia-sialah semuanya. Malu pada semua hadirin. Apa pula kata Dato', ketua tempat kami mencari rezeki. Tentulah kami telah memalukan beliau. Oh tidak! Turun dari pentas, saya hampir menangis. ...

Esok, Lusa dan Hari-hari Seterusnya

Esok adalah harinya. Samaada menang atau tidak, lusa adalah harinya. Sibuk, letih dan berdebar. Rasa sedikit lega kerana semua persiapan telah diatur rapi. Sebenarnya saya tidak begitu berharap akan menang kerana projek kami tidak segah dibandingkan dengan lain-lain kumpulan. Namun saya seronok kerana kami telah sedaya upaya memasukkan semua alatan yang disyaratkan. Ianya nampak cantik, kemas dan teratur. Paling penting, datanya lengkap dan dari sumber-sumber yang sahih. Kalah menang adat pertandingan. Saya berserah sepenuhnya pada Yang Maha Kuasa. Menang, mesti bersedia untuk ke peringkat seterusnya dan ... Kalah pula, bersedialah ... Inilah warna hidup! Dalam masa yang sama, rutin tugasan hakiki mesti berjalan lancar seperti biasa. Keadaan kesihatan keluarga pula tidak begitu memuaskan. Harapan saya kesihatan mereka kembali pulih seperti sediakala. Amin. Rasanya sehingga penghujung tahun 2010 ini, memang takkan menang tangan mengendalikan semua urusan. Oh, saya masih berhu...

Masa Sakit Pun Tiba

Manusia hanya boleh merancang, penentu segala di tangan yang Maha Esa juga. Mengikut perancangan, pagi ini kami mesti bawa Adik ke hospital. Temujanjinya sudah tertunda dari minggu lepas. Namun lebih kurang pukul 4:00 pagi tadi, kami bergegas ke hospital kerana suami yang sakit. Lebih kurang dua jam di unit kecemasan doktor memutuskan suami perlu dipindahkan ke wad. Tiga suntikan penahan sakit tidak berupaya melegakan sakit yang ditanggungnya. Segala yang cuba dilakukan untuk mengurangkan kesakitan tidak berhasil. Semuanya serba tidak kena. Pelega yang diambil kali ke 4 akhirnya berjaya mengurangkan rasa sakit. CT scan dan x-ray pun dibuat. Mujur tidak begitu serius. Namun masa sihat telah diganti dengan masa sakit. Akhirnya di sinilah kami anak beranak berkampung. Malam ini bermalam di hospital. Temujanji Adik terpaksa ditunda ke tarikh yang lain. Itulah pesanan yang sering dipandang ringan, masa sihat sebelum sakit. Masa sakit pun telahpun tiba. Tanpa ada apa-apa petanda ...

Kejutan

Khamis minggu lalu yang penuh dengan kejutan. Memang kebiasaan suami bergurau dengan anak-anak apabila mereka bangun dari tidur. Seronok bergelak sakan, tiba-tiba si kecil menjerit dan menangis sekuat hati. Cepat-cepat saya angkat. Rupa-rupanya kening Adik sudah terkoyak. Kelam kabut kami. Mesti Adik cuba berdiri di atas katil tetapi tak dapat hendak imbangkan diri dan terus terhantuk pada bucu dinding rumah. Rumah mertua pula dari kayu cengal. Tak dapat bayangkan betapa sakitnya. Namun anak bujang saya memang anak lelaki hebat. Tangisannya sekejap sahaja. Sangat sekejap. Saya sendiri tak dapat bayangkan sekiranya saya di tempatnya. Tak mungkin sesingkat itu saya mampu menahan tangis! Kasihan Adik! Kami ke Klinik Ziad. Luka dicuci dan ditampal. Kata Doktor, selepas tiga hari baru pembalutnya boleh dibuka. Keluar sahaja klinik, tak sampai setengah jam pembalut luka itu di bukanya. Tentulah Adik rasa sangat sakit dan tergangu. Kami ambil keputusan ke Kota Bahru Medical Centre. Sekal...

Pengakhiran Hidup

Setelah bertarung dengan penyakit barah hati selama lebih 3 tahun, akhirnya pada 11 September 2010 bersamaan 2 Syawal pukul 12.00 pagi, arwah Kak Hajar pergi buat selama-lamanya. Mujurlah sempat melawat dan memohon maaf pada arwah petang 1 Syawal itu. Apabila tahu keadaan arwah semakin teruk, kami sekeluarga semua bergegas ke hospital. Usianya masih muda. Baru 48 tahun. Namun ajal tidak mengenal itu semua. Kini yang tinggal hanyalah kenangan bersama dengannya. Arwah seorang yang sangat periang. Setiap kali saya melawat arwah semasa beliau menderita melawan barah, tidak pernah arwah merintih tentang sakitnya. Arwah tetap tersenyum dan ketawa. Ada sahaja ceritanya untuk buat orang disekelilingnya, paling tidak tersenyum. Semangatnya begitu kental. Tidak pernah saya menitiskan air mata kerana menghormati tingginya semangat arwah. Arwah tidak minta dikasihani tetapi sangat suka orang lain bertanya khabar beliau. Menziarahi beliau. Pada hari-hari terakhirnya, arw...

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri. Kepada semua sahabat dan pembaca, saya ingin memohon maaf andai ada kesilapan kata dan terlanjur tutur bicara. Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini. Selamat bercuti. Berhati-hati di jalan raya.

Kiranya Kau Mendengar Ketika Ini

Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya. Cepat betul masa berlalu. Giliran saya bekerja sehingga esok, barulah boleh bercuti raya selepas itu. Sekarang anak-anak di rumah di bawah asuhan ayahanda tersayang. Tak mengapalah, bukan selalukan! Bukan itu yang dirisaukan tetapi perjalanan balik ke kampung esok selepas kerja. Harapnya janganlah jalan sesak teruk. Mudah-mudahan semua orang sudah pulang lebih awal, eh kan sekolah mula bercuti Isnin lepas, mesti ramai yang sudah balik kampung kan?! Harapnya begitulah. Kami sekeluarga akan beraya di Utara dahulu kali ini. Kemudian barulah kami akan ke Pantai Timur. Tahun lepas kami juga ke Selatan tetapi sejak keluarga kami yang kecil ini dapat bersatu setelah sekian lama, jadi tahun ini tidak ada sambutan raya di Selatan. Alhamdulillah setelah hampir empat tahun, impian kami termakbul juga. Penghujung Ramadhan, saya tidak lari dari mengenang ketiadaan salah seorang sahabat kami yang baik hati. Arwah pergi selama-lamanya pada penghujung R...

Aduhai Bonda, Apakah Sebenarnya Perasaanmu?

Ini berita pertama yang saya baca hari ini dan ini bukanlah kali pertama kes seumpamanya berlaku. Sebelum ini kes Safiyah Humaira. Serasa seolah-olah isu ini telah menjadi kudis dalam masyarakat yang perlu kita rawat, jika tidak rasanya ianya akan merebak dan kita akan baca lagi di dada-dada akhbar.  Tertuduh Marah Aaliyah Kencing Merata – Emak Mangsa Oleh SALWA SHA’ARI Tertuduh SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati dibunuh, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah dimarahi oleh teman lelaki ibunya, seorang warga Sudan hanya kerana kelakuannya membuang air kecil merata-rata. Ibu kepada Aaliyah, Ellina Maulad Mahather, 25, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada tertuduh, Mohannad Taha Ismail pada pukul 11.30 pagi, 12 Oktober lalu yang menjaga anaknya semasa dia keluar bekerja. “Tertuduh kata nak beri dia pengajaran. Saya beritahu tertuduh supaya biarkan kerana saya akan cuci (air kencing) selepas saya pulang,” katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada...

Kurma Milk Shake

Sebelum Ramadhan lagi, kami sudah beli kurma satu balang besar sebab saya jumpa resipi kurma milk shake di my resipi. Resipi ini daripada nayrah74 dan rabiatun. Memang sedap dan mudah. Terima kasih banyak-banyak kepada empunya resipi. Semalam saya minta suami beli lagi kurma kerana sepanjang Ramadhan, boleh dikatakan hampir setiap hari saya akan buat minuman ini. Lagipun saya masih menyusukan si kecil. Harapan saya, minuman ini dapat membantu membanyakkan lagi air susu dan beri khasiat buat kami berdua. Lebih tiga minggu lalu, stok bekalan susu untuk adik berkurang kerana puting melecet dan luka. Sangat sakit! Siapa yang pernah mengalaminya tentu tahu penangannya sampai boleh demam. Namun saya kuatkan hati, teruskan juga penyusuan. Ada lebih kurang empat bulan lagi sebelum usianya mencecah dua tahun. Cuma saya tak dapat pam susu lebih lama kerana itulah bekalan susu sangat sedikit. Kadang-kadang saya cuma mampu pam setakat 1 oz sahaja. Ada kalanya berdarah. Mema...

Merdeka

Esok kita akan menyambut hari kemerdekaan negara yang ke 53. Selamat menyambut hari merdeka. Taska anak-anak menyambutnya lebih awal pada hari Sabtu yang lepas. Ada perarakan dan pertandingan mewarna. Si Kecil Mengetuai Bacaan Ikrar Ada yang lebih menarik, emaknya yang lebih teruja. Sebetulnya saya dimaklumkan secara lisan tentang acara ini. Anak-anak digalakkan memakai pakaian kebangsaan. Saya pesan suami supaya batalkan apa-apa program sebab ini program pertama untuk anak-anak. Ini lebih penting! Kak Long menangis tak mahu pergi. Tak mahu masuk pertandingan. Inilah kali pertama masuk pertandingan. Pertandingan itu apapun bukannya dia tahu. Puas pujuk. Sampai di taska, tak mahu turun dari kereta. Pujuk lagi. Saya perasan kami sahaja ibubapa yang ada. Anak-anak lain semuanya tak ditemani. Saya tunggu juga. Mana tahu nanti ada ibubapa lain. Tunggu-tunggu tak ada juga. Rupa-rupanya memang pun. Program ini tak melibatkan ibubapa. Anak-anak sahaja. Malu...

Karipap

Karipap bukan menu berbuka semalam dan juga hari ini. Suami kurang suka dan suami yang membeli juadah berbuka. Harga makanan di pasar Ramadhan sudah tentu-tentulah tidak murah, malah lebih tinggi harganya daripada kebiasaan. Saya cuba juga bergegas memasak apabila sampai ke rumah. Dapat jugalah memasak satu jenis lauk dan satu jenis kuih. Bagaimanapun sudah tentulah saya tidak buat karipap. (Oh tidakkkk!!! Hendak bancuh tepung, hendak uli, hendak gentel, belum masuk buat intinya dulu, pukul berapa nak berbuka? Teringin sangat kena tunggu hari minggula tidak pun tunjuk duit kat pasar Ramadhan!) Kuih itu merujuk kepada pencuci mulut dan tentulah yang paling mudah iaitu agar-agar atau puding. Kalau tidak pun, cucur. Cucur labu, cucur bawang atau cokodok pisang, anak-anak memang suka. Berbaloi!  Anak-anak paling sibuk terutamanya anak bujang saya. Ketika saya berhidang, tak tahu sudah berapa kali doa makan dibacanya. Baca pelat-pelat. Usik itu, usik ini tak menang tangan melayan lasak...

Meniti Hari

Tolong doakan bersama kesembuhan buat anakanda saya. Sudah lebih seminggu anak saya ini demam berulang. Demamnya tidak betul-betul kebah. Selera makannya langsung tiada. Hari ini dengan hati yang sangat berat, saya terpaksa tinggalkan juga di taska. Apakan daya sudah seminggu juga, saya tidak bekerja. Seperti kata Dr Zarin, sekiranya dalam tempoh dua hari ini demamnya tidak juga kebah anak saya mesti kembali ke wad kanak-kanak. Semoga dalam meniti hari-hari mendatang, perkara itu tidak akan terjadi. Asalnya saya ingin menceritakan tentang perkara ini terlebih dahulu tetapi kesihatan anak-anak tidak mengizinkan. Hari ini, baru ada kesempatan untuk kongsikan berita gembira. Lama saya menanti hari itu. Hari yang mencatit berita gembira. Alhamdulillah, dengan rahmat Allah SWT, hari itu yang sangat saya nanti, datang juga. Bukan hanya saya bahkan emak yang merupakan pemberi semangat nombor satu juga, rasanya telah terlalu lama menanti. Saya pernah menghadapi saat-saat sukar untuk meniti ...

Lihat Kebunku

Gambar-gambar ini bukan gambar-gambar terbaru tetapi gambar-gambar yang diperam. Namun tetap hendak saya kongsikan. Pagi itu saya sedang sidai baju dan bersiap hendak ke hospital tiba-tiba, saya lihat pokok di kebun mini ini sedang berputik. Menarik. Latar belakang memang tidak begitu menarik, sila abaikan. Selama umur ini saya tidak pernah ambil peduli, pokok ini berbunga atau tidak. Siapa tahu ini bunga apa? Masih kudup. Beberapa hari kemudian, kelopak bunga mula kelihatan. Bukan bunga orkid! Orkid saya belum berbunga. Kuntuman lengkuas mula mekar berbunga. Hari ini bunga-bunga tersebut semuanya telah gugur menyembah bumi. Demikianlah lumrah alam. Pokok kesum. Walaupun senang ditanam tetapi senang juga mati, ini pengalaman saya orang lain mungkin tidak. Kunyit oh kunyit, tak mahu berbungakah? Ada perempuan sedang mengandung sulung mengidam hendak makan kerabu bunga kunyit. Rimbunan pokok pandan di belakangnya. Pokok kucai di sebelahnya. Tidak keli...

Marilah Doakan

Hati siapa yang tidak gundah? Saya mengenalinya belumpun sampai 2 tahun namun baik budinya tidak ada yang boleh menyangkal. Pada mulanya, beliau sangat pendiam dan pemalu. Hanya bercakap apabila perlu. Kata orang, diam itu lebih baik. Namun kerana 'diam' itulah, beliau dijadikan sasaran dan umpan itu mengena. Beliau dikatakan tidak pandai bergaul. Ah ada banyak lagi rentetan sehingga isu besar ini timbul dan meledak. Hati siapa yang tidak gundah? Walaupun bukan saya yang terkena namun saya rasa tempiasnya. Saya terpanggil untuk sama-sama memikul beban. Sebagai seorang kawan, saya merasakan itu perlu. Tanggungjawab saya. Alhamdulillah, bukan saya sahaja berasa begitu. Beberapa orang di sini juga merasakan yang sama. Atas dasar setiakawan, tak tergamak membiarkan beban itu dipikul seorang diri. Jadi kami akan membantu sedaya upaya. Kami telah sama-sama membincangkan langkah-langkah yang perlu sekiranya perkara buruk itu tak dapat dielakkan. Sekaligus akan dapat membuka mata...

Bahasa dan Bacaan

Usai sudah kelas bahasa Melayu tinggi yang dianjurkan oleh PTS Sdn Bhd semalam. Setinggi-tinggi penghargaan buat PTS Sdn Bhd, khususnya Puan Ainon dan Ketua Editor PTS Islamika atas budi baik kalian yang sedia berkongsi ilmu. Ada lagi kelas-kelas yang lain pada minggu-minggu seterusnya dalam bulan Julai ini tetapi saya sendiri tidak begitu pasti samada boleh hadir ataupun tidak. Keinginan itu ada, tambah melonjak pula selepas menghadiri kelas semalam namun perempuan yang telah berumah tangga ini ada banyak campur tolaknya. Kalau ada rezeki, Insya Allah. Tidak sah rasanya kalau tidak kongsikan ilmu ini. Sewaktu menyampaikan kuliahnya, Puan Ainon memberikan gambaran yang jelas bagaimana bahasa memainkan peranan dalam kehidupan. Beliau juga berikan perbezaan antara bahasa Melayu tinggi dengan bahasa komoditi. Sekaligus menunjukkan kelebihan menggunakan bahasa Melayu tinggi. 1. Penggunaan perbendaharaan kata yang lebih banyak 2. Penggunaan sistem imbuhan yang lebih banyak 3....