Skip to main content

Karipap

Karipap bukan menu berbuka semalam dan juga hari ini. Suami kurang suka dan suami yang membeli juadah berbuka. Harga makanan di pasar Ramadhan sudah tentu-tentulah tidak murah, malah lebih tinggi harganya daripada kebiasaan. Saya cuba juga bergegas memasak apabila sampai ke rumah. Dapat jugalah memasak satu jenis lauk dan satu jenis kuih. Bagaimanapun sudah tentulah saya tidak buat karipap. (Oh tidakkkk!!! Hendak bancuh tepung, hendak uli, hendak gentel, belum masuk buat intinya dulu, pukul berapa nak berbuka? Teringin sangat kena tunggu hari minggula tidak pun tunjuk duit kat pasar Ramadhan!) Kuih itu merujuk kepada pencuci mulut dan tentulah yang paling mudah iaitu agar-agar atau puding. Kalau tidak pun, cucur. Cucur labu, cucur bawang atau cokodok pisang, anak-anak memang suka. Berbaloi! 

Anak-anak paling sibuk terutamanya anak bujang saya. Ketika saya berhidang, tak tahu sudah berapa kali doa makan dibacanya. Baca pelat-pelat. Usik itu, usik ini tak menang tangan melayan lasaknya. Kak Long tak begitu banyak karenah. Adiknya, sahur pun ikut sekali. Meriah rumah awal pagi dengan tangisannya.

Berbalik pada karipap. Bukan hendak kongsikan resipi karipap. Ianya tentang novel sebenarnya, Karipap-karipap Cinta. Sebelum Ramadhan, saya sempat mengikuti Bengkel Teknik-teknik Surah Yusuf anjuran PTS. Puan Ainon ada mempromosikan novel yang bakal difilemkan ini. Kalau tidak silap pendengaran, ianya dalam proses penggambaran. (Pendengaran ini isu sensitif. Lain kalilah saya ceritakan) Kebetulan di luar kelas, novel ini turut dijual. Saya baca ketika menemankan anak bongsu saya di dalam wad. Peram dulu, tak ada kesempatan membacanya lebih awal. (Biasalah emak orangkan)



Novel ini dikelaskan sebagai novel komedi. Ya, apabila saya teliti penghargaan penulis ada nama Mat Jan, saya tahu memang akan ada elemen kelakar. Saya suka baca blog Mat Jan suatu ketika dulu untuk ketawa. Terutama ketika hiudp diwarnai dengan warna-warna kelam dan hitam di pejabat ini. Masih saya ingat, kelucuan kisah pergaduhan antara Mat Jan dengan Ikin, rakan sekuliah beliau. Lupakan dulu soal Mat Jan, beliau pun sudah tidak aktif menulis blog. Jika tidak boleh saya kongsikan alamat blognya dan kita boleh sama-sama ketawa.

Berbalik pada novel ini. Novel ini ringan, itu yang boleh saya simpulkan. Walaupun temanya cinta tetapi ianya tidak digarap keterlaluan. Tambahan pula watak utamanya, Ali jatuh cinta kepada seorang gadis lulusan Al Azhar. Cuma garapan watak Sarah, gadis pujaan Ali tidak digambarkan sebagai ustazah sebaliknya lebih santai dan seperti gadis biasa. Watak-watak utama juga tidak diberikan warna putih keseluruhan. Sebaliknya sebagaimana manusia biasa ada masanya, putih, hitam kelabu dan warna-warna lain. Saya terhibur membacanya terutama bahagian-bahagian yang mana Ali gelabah dan Sarah berjaya memerangkapnya. Tunggulah apabila filemnya ditayangkan, bagaimana pula hasil garapannya. Cuma yang pasti saya tidak akan menontonnya di panggung. Dalam pada itu, saya belek-belek juga, meneliti Bahasa Melayu yang digunakan dan mencari teknik-teknik Surah Yusuf. Inikan novel PTS. Saya membaca untuk belajar juga.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...