Skip to main content

Kiranya Kau Mendengar Ketika Ini

Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya. Cepat betul masa berlalu. Giliran saya bekerja sehingga esok, barulah boleh bercuti raya selepas itu. Sekarang anak-anak di rumah di bawah asuhan ayahanda tersayang. Tak mengapalah, bukan selalukan! Bukan itu yang dirisaukan tetapi perjalanan balik ke kampung esok selepas kerja. Harapnya janganlah jalan sesak teruk. Mudah-mudahan semua orang sudah pulang lebih awal, eh kan sekolah mula bercuti Isnin lepas, mesti ramai yang sudah balik kampung kan?! Harapnya begitulah.

Kami sekeluarga akan beraya di Utara dahulu kali ini. Kemudian barulah kami akan ke Pantai Timur. Tahun lepas kami juga ke Selatan tetapi sejak keluarga kami yang kecil ini dapat bersatu setelah sekian lama, jadi tahun ini tidak ada sambutan raya di Selatan. Alhamdulillah setelah hampir empat tahun, impian kami termakbul juga.

Penghujung Ramadhan, saya tidak lari dari mengenang ketiadaan salah seorang sahabat kami yang baik hati. Arwah pergi selama-lamanya pada penghujung Ramadhan. Walaupun perkara ini sudah lama, tak mungkin saya akan lupa. Kiranya dapat arwah dengar ketika ini, saya hendak beritahu yang saya tidak pernah melupakannya. Doa saya selalu untuknya.

Allahyarham Azman Muhammad - Dalam Kenangan
Kiranya dapat arwah dengar ketika ini, ingin saya ceritakan semua tentang kami sekarang. Tentu arwah gembira. Saya tahu, saya kenal arwah yang mementingkan nilai persahabatan. Tentang Asri yang akhirnya menjadi guru. Bukan hanya Asri tetapi Ju, Keoi, Opie, Umi, Yas, Roni dan ramai lagi. Tentu arwah akan ketawa. Tentu arwah akan geleng kepala. Kawan-kawan yang nakal akhirnya menjadi guru. Saya hendak beritahu saya selalu mengenangnya apabila bercakap-cakap dengan Ju. Tentulah arwah dengar semuanya. Saya percaya arwah dengar doa kami untuknya. Doa kami, semoga rohnya ditempatkan bersama dengan kekasih-kekasih Allah.

Doa itu juga untuk dua orang lagi sahabat kami yang telah lebih awal pergi sebelum arwah Azman. Kesemua akibat kemalangan jalan raya. Arwah Ahmad Zahid telah pergi pada bulan Syawal dan arwah Muhammad Aizam Mustafa kemudiannya pergi beberapa tahun selepas itu ekoran satu peristiwa. Walaupun saya kenal kedua-duanya dalam waktu yang singkat tetapi mereka tetap dalam ingatan. Senyum, ketawa, usik dan keletah keduanya masih saya ingat. Walaupun tidak ada sekeping pun gambar kenangan namun ingatan saya masih jelas. Pemergian arwah Zahid memang beri tamparan hebat buat arwah Aizam yang duduk bersebelahan dengannya di dalam kelas. Seperti melarikan diri, arwah Aizam tidak mahu lagi duduk di meja tersebut. Arwah suka duduk bersendirian dan akhirnya bertukar sekolah seiring mengikut pertukaran kerja ayahnya sebagai polis hutan. Dua tahun kemudian, arwah Aizam kembali ke bandar yang menempatkan sekolah kami tetapi arwah tidak lagi bersekolah bersama dengan saya. Sebaliknya sekolah berhampiran dan istimewanya arwah Aizam datang ke sekolah untuk bertemu kembali kami sahabat lamanya.

Selain kenangan, hanya doa yang mampu saya titipkan. Seperti mereka, saya juga akan pergi suatu hari nanti. Akan adakah saya dalam ingatan seorang sahabat? Adakah sesiapa diantara sahabat yang ada akan bertanya, masih bisakah dia mendengar?

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...