Skip to main content

Restoran Istana Bambu

Hasrat hati ke restoran ini sudah lama tertangguh. Sejak bulan puasa nan silam. Minggu sebelumnya pun perancangan untuk ke sini, tidak menjadi. Kebetulan keluarga dari Utara akan datang bercuti di sini. Memang awal-awal lagi sudah pasang angan-angan. Lagipun poket tengah kembung baru dapat gaji.


Hendak buat tempahan awal tidak berani. Sejak malam Sabtu itu, ada masalah bekalan air di rumah. Pihak Syabas datang setelah jarum jam melewati angka 12 tengah malam dan mengatakan masalah berpunca dari penapis air. Keesokkan harinya, adik dan suami bertungkus lumus membetulkan keadaan. Selesai masalah penapis air. Sekarang cuma-cuma jadi hiasan di hadapan rumah. Tapi air tidak juga sampai ke dalam rumah. Jeng jeng jeng. Puas memikir di mana silapnya. Dalam hati berdoa jangan sampai terpaksa memecahkan lantai, mencari kalau-kalau ada paip yang bocor sudahlah.

Menjelang tengah hari masalah itu tak berjaya diselesaikan. Sampai-sampai adik dan suami terpaksa pergi bermandi manda di stesen minyak terpilih. Kami yang lain ulang alik menadah dan memunggah air ke dalam rumah. Paling seronok tentulah anak-anak. Tak tahu berapa kali episod 'mandi manda' di hadapan rumah. Becak habis kawasan sekitar. Mujur juga jiran-jiran memahami. Hanya sekitar pukul 6:00 petang barulah segala-galanya pulih seperti sediakala. Rupanya bebola di tangki yang bermasalah.

Sesudah semua itu, barulah berani buat tempahan makan malam di restoran Istana Bambu tetapi terlupa untuk menempah tempat makan bersila di pondok. Hmm mungkin juga sudah kehabisan kerana kami lewat membuat tempahan dan padat juga orang yang datang malam itu. Hingga ada yang terpaksa menunggu.


Kami ditempatkan di ruang utama restoran. Nasib kami sedikit kurang baik kerana kipas angin tidak berfungsi, setengah jam selepas kami sampai. Sebelah kanan ruang utama restoran bergelap. Lebih malang lagi kerana ketiadaan kipas. Huh, nampaknya malam itu ada yang menjamu selera dalam gelap dan berpanas jawabnya. Gambar di bawah ini, diambil sebelum kegelapan melanda.


Pesanan makanan juga agak lewat tiba. Walaupun kami sampai agak awal sekitar jam 8:20 malam. Hampir-hampir sejam juga menunggu. Anak-anak paling jemu duduk menunggu. Habis dijelajah sekitar restoran hingga ke tempat makanan disediakan. Restoran ini dilengkapi dengan surau. Surau terletak betul-betul di hadapan restoran. Nampak selesa dan bersih.


Kebarangkalian mengulang bertandang agak rendah. Kalau ada keinginan pun mungkin mencuba hidangan buffet di siang hari. Makanannya boleh tahan sedap. Kami memilih menu ikan siakap deep fried kerabu manggo, crab meat and sweet corn, butter sauce prawn, siamese mango chicken, tomyam seafood, kailan ikan masin dan telur dadar. Keluarga memang berkenan dengan ikan, sup ketam, ayam dan udang yang dihidangkan. Sup ketam itu asalnya untuk anak-anak tetapi sebab datangnya semangkuk besar, seluruh keluarga boleh makan. (Kami sudah tanyakan pelayan, katanya cukup untuk 2 orang makan. Bukan 2 orang ye Adik, ini cukup untuk 7 orang dewasa dan 2 orang kanak-kanak). Kalau kami tahu sebanyak itu supnya, kami akan pesan tomyam dalam mangkuk yang kecil. Fikir-fikir semula sepatutnya juga, tak perlu pesan kailan kerana sudah ada kerabu. Tapi tak mengapalah, sudah jadi darah dagingpun. Tidak ada satupun yang tinggal. Mana yang tidak habis, kami bungkus. Tak membazir. Hasrat untuk mengembirakan keluarga sudah tercapai. Beri sedikit kelainan.


Poket sudah kempis. Perut sudah kenyang, mari kita balik. Panoramanya memang cantik. Dekorasi restoran juga cantik. Hampir kesemuanya buluh. Paling saya suka kerusi kanak-kanaknya yang diperbuat dari buluh. Cantik, besar dan selesa. Kelewatan makanan sampai, mungkin disebabkan kepadatan pengunjung pada malam itu. Cuti sekolah campur cuti perayaan Hari Natal dan hujung minggu. Bagi yang ingin mencuba, silakan. Ikut selera saya, makanannya sedap. Lain hulu lain parang, lain orang lain ragamnya. Belum cuba belum tahu. Cuma pastikan ongkosnya. Jika itu beres, tidak jadi masalah.

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Panduan Memilih Buku Untuk Anak Disleksia

Membaca jambatan ilmu. Mari kita pupuk minat membaca untuk anak-anak disleksia kita. Walaupun membaca akan jadi perkara yang paling meresahkan untuk mereka. Mula-mula kita kena pilih buku yang sesuai.  Pilihan buku yang baik untuk anak disleksia antaranya mesti mengambil kira: Ada lebih banyak gambar berbanding tulisan .  Saiz tulisan yang besar dan menarik . Kenapa? Anak disleksia menggunakan bahagian otak yang berbeza daripada anak normal untuk membaca. Jadi mereka cepat lebih. Lambat faham. Kita tentu tak mahu anak kita cepat letih. Kita mahukan anak kita seronok membaca dan sukakan buku. Dr Ong Puay Hoon ( Presiden Persatuan Disleksia Sarawak ) sarankan, sebaik-baiknya dalam satu muka surat hanya ada sebaris ayat. Saya sertakan contoh yang diambil dari buku No, David! Puan Lee Voon Yee ( Psikologi Klinikal PPUKM ) menyarankan buku-buku kanak David Shannon . David Shannon merakamkan keletah dan kelakuan anak-anak. Sekaligus buat anak-anak...

Nasinya Tumpah Dan Talang

Nasinya tumpah adalah salah satu daripada cerpen-cerpen bermutu yang dihasilkan oleh pengarang tersohor, Fatimah Busu. Cerpen yang memenangi Hadiah Karya dan Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1972, ini juga diangkat dalam drama televisyen yang dilakonkan oleh Marlia Musa dan ND Lala. Saya mula membacanya ketika di bangku sekolah rendah. Ada apa dengan "nasinya tumpah"? Banyak. Antaranya, hikmah atas sesuatu perkara buruk yang berlaku. Mujur nasinya tumpah jika tidak, Bedolah pun akan sama meninggalkan dunia fana ini. Ini cerpen namun dapat menerbitkan rasa sayu. Sarat membawa mesej kemanusian dan kemasyarakatan. Bayangkan jika perkara sama menimpa diri atau ahli keluarga kita. Kutip cendawan, masak dan makan beramai-ramai. Saya sekeluarga juga pernah. Sedap! Sudah makan teringat semula cerpen ini. Memang menginsafkan. Bagaimana dengan keluarga yang memang apabila terjumpa cendawan bermakna itu rezeki mereka buat hari itu. Kutip, masak dan makan. Tanpa mengira sama ada ce...