Skip to main content

Anak Siapa?

Malam 17/10, berkesempatan menonton Muhasabah Diri bersama Ustaz Don Daniyal. Tajuknya, Anak Soleh, Anak Cemerlang kalau tidak salah. Ada berbaur rasa. Ada sedih, ada malu, ada suka dan paling penting ada azam yang perlu dilaksanakan serta ada harapan. Berkali-kali Ustaz Don ingatkan, kita adalah anak dan ada yang telah punya anak. Kita ada ibubapa dan ada yang telah menjadi ibubapa. Betapa pentingnya, kita menjadi anak soleh.

Orang yang soleh itu insan yang cemerlang. Walaupun tidak punya anak-anak tetap perlu untuk jadi anak soleh. Sekiranya tidak, bagaimana dengan ibubapa kita? Untuk mendapatkan anak yang soleh, kita perlu menjadi soleh terlebih dahulu. Anak soleh, doanya dimakbulkan Allah SWT. Itu harapan kita setelah kita tiada, doa anak soleh. Kita sebagai anak perlu doakan ibubapa. Sebagaimana kita mengharapkan doa anak untuk kita. Kembali menilai diri. Solehkah sebagai insan? Solehkah sebagai anak? Berjayakah mendidik anak menjadi soleh dan solehah?

Bercakap tentang anak, 18/10 di dalam akhbar berita harian online ada berita tentang kisah bayi baru lahir dikelar. Hari ini, rentetan berita semalam. Kuliah zohor juga 18/10. Tajuknya, Anak Siapa? Tentang anak juga tetapi lain topik kupasannya. Muhasabah diri juga. Manakan tidak kerana di mana-mana ada sahaja berita, anak siapa? Anak siapa dicampakkan ke dalam longkang, semak samun, dari bangunan? Anak siapa ditinggalkan di tepi jalan, surau, masjid, halaman rumah orang? Anak siapa dihanyutkan di sungai, empangan? Anak siapa dibuang di dalam jamban, tangki, tong sampah? Anak siapa? 


kredit foto: http://peningkatananakluarnikah.blogspot.com/2010/04/gejala-buang-bayi.html. Tak tergamak hendak letakkan gambar-gambar yang lebih kejam daripada ini.

Penceramah yang dijemput adalah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa. Isu anak siapa perlu diberi perhatian kerana siapa tahu ada kalangan keluarga yang akan menerima anak siapa. Entah jadi menantu, siapa tahu? Bukan mustahil juga kerana kes ini saban hari ada sahaja. Impak kelahiran anak tidak sah taraf ini sangat besar. Islam sangat menjaga keturunan manusia.

1. Andai anak itu adalah anak perempuan. Anak itu dengan lelaki yang melakukan hubungan terlarang dengan ibunya tidak mempunyai apa-apa hubungan. Anak itu bukan mahramnya. Walaupun jelas, anak itu lahir dari benihnya.

2. Lelaki yang melakukan hubungan terlarang dengan ibunya, tidak boleh menjadi wali kepada anak itu, sekiranya anak itu anak perempuan. Walaupun jelas, anak itu lahir dari benihnya.

3. Jangan terperanjat kerana "anak" dan "bapa" ini boleh melansungkan perkahwinan. Walaupun jelas dari segi biologi keduanya adalah anak beranak. Bagaimanapun menurut mazhab Imam Syafie, sekiranya telah diketahui kedua belah pihak, hukumnya makruh.

4. Anak tidak sah taraf ini tidak berhak mewarisi harta mengikut hukum faraid. Walaupun jelas dari segi biologi, hubungan anak dan bapa. Anak cuma berhak mewarisi harta ibunya sahaja.

5. Nasab anak tidak sah taraf bukan kepada bapa sebaliknya kepada ibunya. Tidak layak bagi anak mendapatkan nafkah daripada si "bapa". Petikan akhbar mengenai nama bapa dalam sijil lahir (nasab anak kepada bapa).

6. Sekiranya ibunya mengahwini lelaki yang berzina dengannya sesudah anak yang dikandung itu lahir, hubungan anak dengan suami ibunya, adalah anak tiri - bapa tiri. Walaupun telah dibuktikan dengan DNA, hubungan biologi antara keduanya.

Inilah yang dikatakan bahagia sedetik cuma, derita hingga ke hujung nyawa.

Stigma negetif masyarakat kepada anak tidak sah taraf ini, perlu diubah. Semakin lembut gelaran yang diberikan; daripada anak haram jadah bertukar kepada anak haram. Anak haram bertukar kepada anak zina. Anak zina bertukar kepada anak luar nikah. Anak luar nikah bertukar kepada anak tidak sah taraf. Anak itu tidak berdosa, ibubapanya yang melakukan perbuatan haram dan dosa besar. Ingat, ada  juga  di antara kes anak siapa ini lahir dari jenayah rogol. Ibunya tidak bersalah.

Hak anak itu tetap sama. Anak yang dikandung itu perlu dijaga baik kandungannya. Perlu melalui proses kelahiran yang sepatutnya. Perlu disusukan mengikut Islam selama 2 tahun. Hak anak itu tetap sebagaimana anak yang lahir sah tarafnya. Ustaz Fauzi mengambil contoh kisah yang berlaku di zaman Nabi Muhammad saw iaitu seorang perempuan yang didapati mengandung setelah berzina. Hukuman ke atasnya ditangguhkan kerana dia hamil. Selepas melahirkan, hukuman itu ditangguhkan lagi sehingga dua tahun anak itu menyusu daripada ibunya. Hanya selepas itu barulah hukuman ke atasnya dijalankan. Tidak ada istilah penguguran atau tinggalkan bayi yang telah dilahirkan terkontang kanting tanpa haknya mendapatkan makanan terbaik daripada ibunya, iaitu susu ibu. Indahnya Islam, hak anak tetap terpelihara.

Lelaki. Barangkali mudah jadi lelaki begini. Lepas tangan. Tidak. Islam itu indah. Dalam satu hadith Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud, "Hindari zina sebab ia menimbulkan enam kesan buruk. Tiga di dunia dan tiga di akhirat. Yang di dunia, zina akan menghilangkan kegembiraan, menyebabkan fakir dan mengurangi umur. Sedangkan keburukan di akhirat menyebabkan perlakunya diazab, dihisab secara ketat dan kekal di neraka." Riwayat Baihaqi. Tidak terlepas bukan?

Menurut Ustaz Fauzi, berikut adalah antara faktor penyebab peningkatan kes kelahiran tidak sah taraf ini.

1. Kurangnya didikan agama. Agama yang hanya ditekankan kepada keperluan melaksanakan solat, puasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji. Soal adab, akhlak dan pelbagai hal lagi misalnya tidak dititik beratkan. Namapaknya kena lebih lagi belajar. Jika tidak, tidak cukup ilmu, bagaimana mahu mendidik?

2. Cinta. Cinta bawa bahagia. Cinta bawa sengsara. Banyak penyakit yang dibawa oleh cinta. Termasuklah sakit sosial masyarakat.

3. Keinginan mencuba. Rasa ingin tahu yang kuat terutama di kalangan remaja.

4. Tidak mendapat maklumat mengenai seks yang tepat.Ustaz Fauzi cerita kisah seorang remaja perempuan diperdayakan teman lelakinya dengan mengatakan "masuk separuh tidak akan mengandung." Kesudahannya, "perut kembung!".

5. Ransangan yang kuat dari bahan bacaan serta audio visual yang tersebar secara meluas serta percuma. Kelemahan teknologi ciptaan manusia. Kesukaran juga mengawal kehebatan teknologi dari sampai ke tangan anak-anak. Aaarrrgggghhhhh!!!

6. Kurangnya kawalan ibubapa. Memang sukar jadi ibubapa di zaman mencabar ini. Kedua-duanya berkerjaya. Anak-anak bukan dalam kawalan penuh ibubapa. Tidak bekerja salah seorang, payah juga mencukupkan keperluan hidup keluarga di kota. Bimbang. Sangat risau walaupun anak-anak masih kecil lagi.

Tambah sedikit faktor penyebab, budaya hedonisme yang sedang subur di kalangan masyarakat. Tentu ramai yang tahu tentang budaya hedonisme yang sedang mengambil tempat ini. Bagi yang tak tahu, ini pengertiaannya menurut kamus Dewan : kehidupan yang mementingkan hiburan, keseronokan, kesenangan dan kemewahan sebagai satu tatacara hidup. Lihatlah di mana-mana sahaja sekarang, acara hiburan dan melalaikan jadi teras menarik minat remaja terutamanya. Contoh paling mudah saban tahun adalah sambutan kemerdekaan yang wajib disertai hiburan sampai ke pagi. Sedikit sangat program ilmuan diselitkan. Mudah kerana minat  berhibur mengatasinya. Kesudahannya di dada akhbar keesokkannya, berita  dirogol,  mabuk, dadah dan segala macam lagi jadi paparan. Maka gejala sosial yang melanda anak siapa ini berterakan dari budaya hedonisme ini juga. Haruskah pejam mata sahaja? Pemimpin, besar tanggungjawab anda.

Allah SWT berfirman dalam surah An Nuur ayat dua yang bermaksud, "perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah kedua-duanya seratus kali sebatan dan janganlah menaruh perasaan belas kasihan kepada keduanya kerana ianya akan mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...