Skip to main content

Keguguran Berulang


Terasa diri bersatu dengan derai hujan mencurahkan rasa hati. Sedang dalam pemulihan diri. Berstokin hampir sepanjang masa. Mengelak makanan berbisa, berangin atau berkafein. Menghidar makanan sejuk dan sangat panas. Makan jamu secara teratur yang tidak sepenuhnya dipraktikkan ketika berpantang melahirkan putera dan puteri. Sakit dan lebih menyakitkan tanpa bayi dalam pangkuan. Maaf, memang entri ini padat bercampur gaul dengan emosi dan berbaur peribadi.

Semuanya dalam lipatan sejarah. Sejarah diri. Bukan sekali tetapi sudah tiga. Ini kali ketiga dan kali kedua berturut-turut. Kesemua kes punya sejarah tersendiri. Persamaannya dalam tahun yang sama dan dua kali berturut-turut, janin di dalam rahim tidak membesar sebagaimana sepatutnya. Ini tempoh paling singkat. Doktor mengesahkan berita gembira pada 11 November dan menyusul cerita duka 17 November. Tanpa ada rasa sakit sedikitpun. Pertama kali gagal menghadapinya dengan tenang. Juraian air mata tak dapat dibendung sebaik doktor meramalkan sejarah akan berulang. Dalam hati tidak putus menuturkan, "Daripada Allah, kita datang kepadaNya kita kembali." Menghadapi saat seumpama ini, apakah ada yang lebih baik lagi? Semua petanda seterusnya semakin membenarkan ramalan doktor. Hanya hati yang menidakkan dan memberi harapan palsu, "Bertahanlah anak. Bertahanlah."

Harapan kedua permata hati musnah sama sekali tanpa keduanya sedar hakikat sebenar. Bagaimana hendak memaksakan senyum dan menahan rasa hati, setiap kali anak sulung bertanya, "Kalau hendak baby minta pada Allahkan?" dan meminta, "Ajarlah Kak Long doa minta baby pada Allah". Mengetap bibir, berusaha agar air mata tidak jatuh tatkala si kecil dengan rela melepaskan gelaran, "Jangan susah-susah panggil Adik. Panggil Abang Ngah." Sungguh saya manusia biasa dan terasa sangat kerdil di sisi Pencipta. Sungguh-sungguh! Tatkala di telapak tangan ada gumpalan darah dan daging, memberi petanda yang jelas minta disemadikan.

Sebaik-baik perancangan manusia, baik lagi rencana Allah. Sememangnya saya hamba maka layak bagi saya menerima ujian ini. Saya pernah melaluinya, sekali, dua kali dan kali ini saya mesti mengharunginya lagi. Ada rakan yang pernah melaluinya berbelas kali. Tanpa pernah berjaya walau sekali. Saya masih bertuah, bukan?! Telah dikurniakan sepasang putera dan puteri. Setelah tenang-tenang, menilai kembali diri sendiri. Kesihatan saya, cukup baikkah? Emosi saya, tidak berjongkang jongketkah? Cukupkah pergantungan saya, harapan saya pada Pencipta saya dan Pencipta zuriat keturunan saya? Tidakkah semua itu faktor mempengaruhi? Sebaiknya saya menyoal diri sendiri, bukan?!


Comments

  1. sabar yerr kak,mungkin ada hikmahnya usaha lagi.. byk2 berdoa...insyalllah, ada rezeki untuk akak

    ReplyDelete
  2. sabar kak.ros..semua yg berlaku ada hikmahnya...xtau nk ckp cmne..tp kak ros banyakkan bersabar..kalau ada rezeki tak kemana..mungkin sekarang bukan waktu yg sesuai...insyaallah bila Allah nak bg, Dia akan bg..saya sentiasa mendoakn kak ros..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...