Skip to main content

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah

Saya sudah lama tahu kewujudan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Pahang. Dalam surat khabar, ada. Dalam alam maya ini, ramai yang mewarwarkan kewujudannya. Pusat ini dibuka percuma kepada umum. Sudah beberapa kali saya suarakan pada suami, keluarga dan kawan-kawan tentangnya tapi saya tak berjaya menarik minat mereka. Marketing skill - fail. Ada yang tak mahu sebab geli, kotor. Cerewet betul! Ada yang diam sahaja mendengar ajakkan saya. Bukan diam tanda setuju ya. Kecewa beta. Ada yang ingat mandikan gajah guna paip air. Lagi teruk ada yang ingat kena angkut air untuk mandikan gajah. Ada ka?! Mandi dalam sungailah!


# 1 Akhirnya hari Ahad sempena tahun baru, kami sekeluarga ke Kuala Gandah, Pahang. Saya ajak suami datang awal pagi. Pusat ini di buka seawal jam 8:00 pagi. Suami bantah, katanya aktiviti-aktiviti mula pada pukul 2:00 petang jadi boleh tidak ada masalah bertolak lambat. Oleh sebab kami tiba agak lewat, sekitar jam 12:30 petang. Kami putuskan ke Deerland kemudian.

# 2 Berkelah di bangku yang disediakan. Ada banyak bangku-bangku dan pondok-pondok rehat di sekitar kawasan Pusat. Bawa bekal nasi. Suami dan adik lelaki pergi dapatkan tiket. Nasib kurang baik, hanya dapat tiket A warna merah petanda, anda tidak boleh menunggang gajah. Frust! Kasihan anak-anak. Pengalaman menunggang gajah, kami suami isteri sudah rasa di Kinnaree Elephant Trekking Phuket. Best! Saya hendak anak-anak rasa pengalaman itu. Tengok gambar, gajah pun sudah bersedia menerima tetamu, siap pandang kamera lagi!


# 3 Untuk pengetahuan ada tiga tiket. Tiket A warna merah, anda tidak boleh menunggang gajah tetapi masih boleh memandikan gajah. Tiket B warna kuning, anda boleh menunggang dan memandikan gajah. Terhad kepada 100 orang pengunjung sahaja sehari. Untuk tempahan 09 2790391. Lain kali hendak tempah dahulu sebelum datang. Memang pasti akan kembali ke sini. Tiket C warna hijau untuk lawatan rasmi melebihi 40 orang pelawat yang membolehkan anda menyertai semua aktiviti di Pusat ini.



# 4 Kami tidak berkesempatan menonton video tentang gajah kerana anak-anak tak sabar melihat gajah secara live. Besar pengaruh sirah tentera Abrahah hendak menawan Kota Mekah. Asyik mengaitkan haiwan terbesar di darat itu dengan peristiwa bersejarah itu.

# 5 Harus melalui taman herba mini sebelum tiba ke kawasan aktiviti gajah. Bau serai wangi harum semerbak. Ada kandang khas tempat bayi dan gajah yang masih muda ditempatkan. Memang sudah ramai orang berkerumun walaupun belum ada aktiviti bermula. Ada gerai kecil menjual kacang untuk gajah. Beli sebungkus RM 3.00. Sekejap sahaja sudah habis. Bawa bekal jambu air jadi habuan si Pandan dan Langsat, bayi gajah di situ. Pandai betul selepas dapat jambu yang lembut, tak mahu lagi makan kacang. Lagi pandai sesudah dapat sebiji jambu, simpan dulu dan minta lagi sebiji. Kumpul dan makan semuanya. Memang pandai. Kalau hendak bermesra, usap belalainya. Tidak boleh kedekut beri makanan tetapi jangan pula beri sampah padanya. Ada juga yang tak berperikemanusian ambil kesempatan beri sampah iaitu kulit limau dan sampah entah apa pada si gajah. Sampainya hati!




# 6 Gajah-gajah di Pusat ini adalah gajah-gajah yang liar, tersesat, terpisah dari kumpulannya dan mangsa haiwan buas serta kekejaman manusia. Kasihan. Ada seekor gajah bernama Jeli yang hilang ekor dibaham Pak Belang (harimau). Jeli ditemui di hutan Jeli, Kelantan. Ketika kami sampai Jeli ada hutan bersebelahan kandang. Ada kawasan hutan yang besar untuk gajah-gajah dewasa melalui habitatnya. Kami sempat tengok Jeli dimandikan oleh penjaganya di kandang. Pandai betul Jeli mematuhi setiap arahan. Penjaga arahkan, duduk. Jeli duduk. Penjaga arahkan baring, Jeli pun baring. Alahai bijaknya. Haiwan pun pandai mendengar kata kan.


# 7 Paling menyayat hati adalah Selendang. Selendang usianya sudah 7 tahun. Kaki kiri Selendang kudung angkara jerat buatan manusia. Pemburu haram. Kasihan dia. Apabila dipanggil namanya, Selendang akan datang menghulurkan belalainya meminta makanan. Tak perlu baling dengan batu atau kayu untuk menarik perhatian haiwan ini. Ada pengunjung, tak faham betullah apa yang ada dalam kepalanya, sampai baling batu pada gajah-gajah ini. Gajah adalah haiwan yang punya memori sangat kuat.


# 8 Pondok-pondok rehat di sini disertakan dengan maklumat-maklumat tentang gajah. Antaranya, gajah tidak berpeluh, gajah perenang yang terkuat dan macam-macam lagi untuk meningkatkan pengetahuan tentang haiwan terbesar di darat ini.



# 9 Pertunjukkan gajah bermula setelah gajah-gajah dewasa dimandikan. Memang besar sungguh. Gajah mempertontonkan kehebatan mereka seperti memindahkan barang, orang, juga cara mereka bekerja. Gajah-gajah ini juga pandai beraksi. Paling comel aksi Abot dan Mawar bergoyang ke kiri dan kanan. Berzikir agaknya. Sekejap-sekajap angkat sebelah kaki. Macam dalam sarkas. Ada aksi gajah tidur berdiri dan tidur baring mengiring. Sebelum pertunjukkan berakhir kesemua gajah memberikan tanda hormat mengikut cara masing-masing.




# 10 Selepas beraksi, gajah-gajah ini disediakan betik. Betik disediakan percuma. Sesiapa sahaja boleh ambil bahagian memberi makan kepada gajah. Orang memang ramai tetapi kami masih berpeluang ikut aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Kami dapat beri Pian makan betik. Nama penuh Pian panjang. Tak ingat nama penuhnya. Gajah ini gajah dari negara jiran. Pian merupakan antara gajah terbesar dan tertua dalam kumpulan gajah yang membuat persembahan. Penjaga Pian (berbaju biru) menunjukkan kasih sayangnya pada Pian seperti Pian itu adalah anaknya. Pian ditepuk-tepuk, kepalanya diusap-usap. Sesekali berbisik entah apa pada si Pian. I am so touched.



# 11 Selesai makan, gajah-gajah dewasa ini perlu bawa pengunjung bertuah menunggang tanpa pelapik. Wah seronoknya! Sewaktu di Phuket, gajah yang kami tunggang di alas dengan pelapik. Jika pelapik senget, gajah tak mahu berjalan. Bijakkan. Allah Pengatur Yang Bijaksana, ada hikmahnya kami tak berpeluang naik gajah. Ada gajah tak mahu berjalan. Sebabnya, itu bukan penjaganya. Mogok dia, penjaganya bercuti.




# 12 Sementara menunggu aktiviti menunggang gajah, suami dan anak-anak mandi di sungai. Kami sudah bersedia untuk basah-basah. Ramai juga yang memilih untuk jadi penonton sahaja. Apabila tiba waktu dimandikan, gajah-gajah melahirkan kegembiraan dengan mengeluarkan bunyi-bunyian. Dua ekor bayi gajah Pandan dan Langsat sedia untuk mandi. Seronok hendak berendam dalam airlah katakan. Inilah peluang yang dinanti-nantikan. Sebetulnya anak-anak dipelawa naik atas Pandan tapi dua beradik ini takut pula.  Rasa ralat tak dapat menunggang gajah hilang disebabkan dua beradik tak punya keberanian tapi mereka seronok menggosok badan Pandan.


# 13 Hati-hati ketika memandikan sebab gajah-gajah ini akan bergolek-golek kesukaan. Kena singgul sikitpun kita boleh terjatuh dan tercedera. Ibu jari kaki kiri suami bengkak ketika memandikan Pandan. Hati-hati juga dalam kegairahan memandikan gajah kerana gajah ini 2 dalam 1, sambil mandi sambil melepaskan kumuhan. Jaga-jaga. Maklumlah haiwan ini masih lagi dalam kategori haiwan liar. Suka boleh menjadi duka.


# 14 Sumbangan untuk gajah boleh di salurkan ke Jabatan Perhilitan. Gajah-gajah ini memerlukan makan serta minum susu formula. Kelengkapan yang disediakan Pusat ini agak baik. Ada tempat mandian disediakan. Selepas mandi, perut berdondang sayang semula. Mujur bawa bekalan. Selepas makan barulah kami bergerak ke Deerland. Pengalaman di Deerland juga tak kurang menarik.

Selamat tinggal Pandan. Selamat tinggal Jeli. Selamat tinggal Pian. Selamat tinggal semua. Ada rezeki, kesihatan baik, Insya Allah kami akan datang lagi.

Kalau ada sumur di ladang
Boleh hamba menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Comments

  1. Assalam,

    Ni link terbaru untuk maklumat aktiviti gajah di Kuala Gandah, Pahang.

    http://gajahkualagandah.blogspot.com

    Terima kasih.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang