Skip to main content

Masa Untuk Bercuti

Anda merancang untuk bercuti? Bagaimana dengan anak-anak? Bawa bersama? Bersedialah dengan kejutan. Ada banyak kejutan diciptakan mereka. Ini bukan kejutan plastik.



Entri tertangguh. Rancangan percutian telah lama dibuat suami. Lebih kurang 3 atau 4 bulan daripada tarikh kami berangkat iaitu 1 Julai. Kami bercuti bersama-sama dengan 3 lagi rakan suami dan keluarga masing-masing. Kesemuannya punya anak-anak dalam lingkungan sebaya dengan anak-anak kami.


# 1: 2 hari sebelum berangkat, Kak Long jatuh sakit. Apalagi, cuti tambahan sehari awal kerana Kak Long tidak dapat ke sekolah. Hanya Adik sahaja ke taska. Kurantinkan Kak Long. Hendak elakkan jangkitan. Keadaan kesihatannya nampak beransur pulih menjelang malam.

# 2: Adik pula demam beberapa jam sebelum kami berangkat. Demam Kak Long belum betul-betul kebah. Oh, oh, oh. Bagusnya anak-anak kerana punya tenaga yang luar biasa. Dalam sakit-sakit itu masih cergas berlari, ketawa dan bermain. Tambahan dapat kawan baru.


# 3: Adik menangis dan memberontak kerana tak dibenarkan lepas bebas di LCCT. Sebabnya: Kak Long lepas bebas, jalan berpimpin tangan dengan kawan baru. Memang bagus jika Adik mahu lepas bebas, sekarangpun berat Adik sudah lebih daripada 10 kilogram. Memang lenguh mendukungnya. Soalnya, langkah Adik merewang entah ke mana-mana. Susah betul mengikut rentaknya. Rasa hendak menangis pun ada, orang lain sudah jauh ke hadapan. Apalagi kerabat dan dukunglah, maka adegan air matapun mula jadi tontonan ramai. Sebelah kanan orang mula kerling. Sebelah kiri orang mula memandang. Ada yang toleh belakang untuk melihat. Malu, malu, malu. Sampai-sampai diherdik manja seorang pegawai (tidak pasti sama ada pegawai imegresen atau kastam). Tangisannya tidak juga surut. Hanya selepas beberapa ketika di balai menunggu barulah tangisannya reda. Apabila ditanya mengapa menangis. Jawabnya: "Polis marah Adik." Ops! Punca sebenar hilang begitu aje. Minta maaflah Cik Polis, semua pegawai beruniform disangkanya polis.



# 4: Tidak lama selepas urusan mengambil bagasi selesai, Adik tidur (Itupun setelah terjatuh sebetulnya, larangan seperti biasa tak diendahkan. Alsannya, "Mana ada". Sekarang sudah ada lebam!). Kak Long yang sebelum itu asyik bermain dan lari macam tak cukup tanah, tiba-tiba diam. Apa tidaknya, demam datang menyerang lagi. Buka bekal ubat di situ juga.



# 5: Dalam perjalanan ke hotel, kepala Adik mula panas dan badan Adik menggigil. Sampai di hotel yang sangat sekangkang kera, daftar masuk dimaklumkan pada pukul 3:00 petang. Haru! Tanyalah waktu itu pukul berapa? Pukul 12:30 petang. Tanyakan tandas. Sekurang-kurangnya dapat bersihkan Adik. Lampin pakai buangnya mesti diganti. Basuh botol-botol susu. Bancuh susu yang baru. Haru berganda. Ya tuan puan, sila ambil maklum pengumuman ini. Tandas cuma ada di dalam bilik penginapan anda sahaja. Tuhan sahajalah yang tahu isi hati ketika itu. Adik betul-betul tak berdaya. Petanda demamnya memang sangat tinggi.

# 6: Manusia cuma boleh merancang. Rancangan half day tour dibatalkan. Mustahil bagi kami keluar dalam keadaan begini. Keluarga yang lain boleh sahaja meneruskan rancangan juga memilih untuk berehat di bilik. Setiba di kedai makan, operasi yang tertangguh di hotel mesti dilaksanakan misinya di sini. Selepas acara makan tengah hari, kami semua balik semula ke hotel untuk daftar masuk. Belumpun pukul 3:00 petang. Ada dalam setengah jam barangkali, mujurlah dibenarkan masuk ke bilik. Kalau sudah lobinya sekangkang kera, sudah tentulah biliknya begitu juga. Itu tidak penting. Maha penting sekarang, beri anak-anak dos dan rehatkan mereka. Semuanya terasa kosong melihat keduanya terlantar sakit.

# 7: Acara malam tidak berjalan lancar kerana silap percaturan kaum bapa. Hanya keluarga kami yang belum menjamah makan malam. Hampir kesemuanya ikut masuk ke restoran India Muslim di situ. Sekali lagi, tangisan Adik menarik perhatian semua kepada kami. Hanya disebabkan garfu!


# 8: Awal pagi bermula dengan baik. Bukan anak-anak sahaja teruja. Emak ayahnya pun serupa. Sedar-sedar, dua beradik itu sedang berpimpin tangan betul-betul di ambang pintu keluar kedai menuju ke arah maskot karekter kartun yang dikenali. Ha tahu takut! Memang berderau darah.


# 9: Mendidik kesabaran atau mendisplinkan diri? Adik terutamanya tidak mahu beratur. Mahu terus melulu. Jemu berbaris. Tambahan pula ada tempat-tempatnya yang memang ramai umat, rasa hendak tercabut kaki, berbaris. Tidak diturut kehendaknya, mula menangis. Emak ayahnya kenalah sabar. Sabar, sabar, sabar.


#10: Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Lebih baik di negara sendiri. Itulah yang dirasakan apabila Adik beritahu, "Adik berak." Oh tandas! Oh air!


#11: Rambang mata sang anak. Emak ayahnya memang pejam mata rapat-rapat sebabkan sudah berazam bukan untuk joli katak di sini tetapi untuk anak-anak. Alahai! Tidaklah diikutkan sangat kehendak mereka. Sangat percaya, senjata air mata jika diikutkan nanti binasa perilaku sudahnya.

#12: Masa untuk tidur! Beratur panjang. Cuaca panas tidak menghalang anak-anak melunaskan rutin tidur petang mereka. Tidak dinafikan faktor kesihatan juga memainkan peranan. Kalau di rumah, dipaksa tidur siang pun belum tentu anak-anak mahu. Teruskan beratur. Bawa juga anak yang telah tidur itu main permainan. Setelah itu baru cari tempat nyaman dan selesa untuk mereka tidur sepuasnya. Teruk sungguh mak pak budak-budak ni na.




#13: Setiba di Kuala Lumpur, bergegas ke klinik. Alhamdulillah tahap kesihatan keduanya tidak membimbangkan. Makan ubat anak-anak, nanti kita jalan-jalan lagi. Kalau sakit, tak boleh jalan-jalan. Terma tak boleh dipakai, sakitpun redah juga ye?! 

Senarai percutian jadi bertambah untuk anak-anak (merangkap emak ayahnya sekali), selain daripada yang wajib dibawa macam susu, air panas dan lampin pakai buang. Ini pun sudah termasuk dalam kategori wajib. Ini yang ada di dalam bag pack yang digalas bapanya. "Apalah yang berat sangat beg ni?" Emaknya diam, buat-buat tak dengar.

#1:  Ubat (walaupun anak tidak sakit ketika bertolak)
#2:  Termometer
#3:  Tuala kecil, sapu tangan
#4:  Tisu basah
#5:  Kudapan
#6:  Air secukupnya
#7:  Bekas air
#8:  Sepersalinan pakaian (kecemasan: muntah, lampin bocor dan lain-lain. Emak ayahnya pun tak boleh bawa pakaian cukup-cukup.)
#9:  Topi
#10: Kaca mata hitam (bukan untuk melawa sahaja, berguna sekali apabila cuaca panas. percayalah)
#11: Payung (kalau dalam beg masih ada ruang. cuaca tidak boleh dijangka, betul tak?)

Apabila anak-anak sakit, hati ibu mesti merasakan biarlah sakit itu beralih padanya, biarlah dia yang menanggung semua kesakitan itu. Hati ibu. Begitulah juga, sebesar manapun karenah anak-anak takkan rasa mampu untuk bergembira tanpa anak-anak bersama. Tidak dinafikan percutian ini agak meletihkan tetapi sangat menggembirakan dan memberi pengalaman dan pengajaran. Namun tidak ada kecerian yang lebih ceria tanpa dua orang permata hati ini. Berganda kesyukuran kerana hari ke 2 percutian kami, jatuh pada tarikh sambutan ulangtahun emaknya. Aisey!


Comments

  1. Syidah so far 1-9 tu memang dalam list wajib. Being motherskan, nak tak nak kena gak laa angkut. At least ko dapat travel, mine 2 kali trip terus cancel sebab anak sakit. Redho je laa..

    ReplyDelete
  2. Nasha, ada jugak vacation plan yang tak menjadi sebab anak sakit... tapi ini tiket dah beli, hotel dah booked, tiket USS pun dah booked... harung jugalah... itupun dalam USS bagi makan ubat & itu sebab biarkan aje diaorg tidur sebab kesian diaorg memang tak sihat... alhamdulillah

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...