Skip to main content

Posts

Showing posts from July, 2011

Lebih Disayangi

Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Allah lebih menyayanginya dan telah menjemputnya kembali ke pangkuanNya. Mohd Ashraf Hafiz yang menjadi tumpuan telah berpindah dunia kira-kira jam 5:00 pagi tadi, sebagaimana yang dilaporkan melalui media. Mengalami kemurungan seterusnya masalah jantung dan tekanan darah rendah, membuatkan arwah dimasukkan ke hospital. Salam takziah untuk seluruh keluarga arwah. Hanya Yang Maha Esa maha mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin. Al-fatihah.

Impian Yang Hancur

Harapan terpaksa di bawa ke tahun-tahun akan datang, memandangkan Piala Dunia hanya 4 tahun sekali sahaja. Impian telah lebur. Harimau luka parah rupanya, tak mampu 'mengamuk' dan membaham singa. Selepas kalah pertarungan pertama, ada beberapa faktor dikatakan sebagai punca: #1 padang buatan. Pemain susah hendak sesuaikan diri. #2 pertahanan kucar kacir. Aidil Zafuan cedera, langsung tak dapat diturunkan. #3 hilang nakhoda. Kapten Shafiq Rahim dapat 'kad cinta pengadil' OUT! #4 ketiadaan Norshahrul Idlan. #5 penjaga gol utama, Khairul Fahmi pun cedera Bukanlah pandai pasal permainan bola sepak, tapi sukalah tengok. Dengar ulasan pengulas-pengulas sukan di televisyen dan tengok sendiri perlawanan yang baru selesai tadi, hmmm sedih bercampur kecewa. Ya, sebab saya rakyat Malaysia. Ramai rakyat bagi sokongan, bukanlah 85 ribu tapi lebih 90 ribu orang ada di stadium. Itu yang di stadium sahaja. Tuanku Sultan Azlan Dan Tengku Abdullah pun datang mencemar duli, member...

Misi

Hari ini misi penting untuk menentukan sama ada pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya boleh melangkah ke pusingan seterusnya atau tidak. Kelemahan-kelemahan ketika perlawanan pertama harap dapat diatasi untuk perlawanan timbal balik ini. Malaysia perlu mengatasi dengan 2 gol untuk terus layak. Semoga harimau mampu membaham singa pada malam ini. Apapun semua ini takkan tercapai tanpa izin Yang Maha Esa. Sekiranya menang, Alhamdulillah. Sekiranya sebaliknya sebagai hambaNya kita kena terima dengan penuh redha. Paling penting jangan mengalah. Teruskan usaha. Kitakan ada 85 ribu penyokong di stadium dan ramai lagi di serata tempat yang sangat ingin menyaksikan kemenangan pasukan Harimau Malaya. Insya Allah. Misi penting beberapa minggu lepas, terlunas sudah dengan terbitnya artikel di surat khabar hari ini. Alhamdulillah. Jujurnya, memang gembira. Ada banyak rasa, namun untuk tempoh ini, seketika rasa gembira itu mengatasi segalanya. Alhamdulillah.

Harimau Malaya Luka

Barisan ini yang menewaskan garuda. Malangnya semalam, barisan ini juga yang luka teruk dibelasah singa. Aduh! Nampak sangat ketiadaan Khairul Fahmi dan Aidil Zafuan mencacatkan barisan pertahanan. Walaupun Norshahrul Idlan tidak turun, Safee dan Abdul Hadi masih dapat melakukan sesuatu. Bagus betul, 24 saat awal permainan lagi, Saffie sudah menunjukkan taring. Sayangnya selepas itu haru biru, sepakan percuma pun tak dapat diselamatkan. Kapten pula dibuang padang. Oh! Kalahlah harimau kepada singa, 3 berbalas 5. Singa menggaum, memberitahu dialah raja rimba ini. Harimau takkanlah 'diam' sahaja kot. Kata orang, harimau luka lebih garang lagi. Ye ke? Kita nantikan. Ayuh Harimau Malaya bangunlah! Lawanlah, apa lagi!

Lagi Tentang Mohd Ashraf Hafiz

Ada sedutan daripada beberapa akhbar tempatan mengenai isu keceleraun identiti. Rasanya masih belum betul-betul cukup untuk menangani permasalahan ini. Hukum Allah itu tidak berubah. Niat tidak akan menghalalkan cara. Ketegasan pihak berwajib sangat diharapkan dalam hal ini. Ketegasan pihak berwajib juga perlu dalam mengatasi masalah ini. Ramai yang berhadapan dengan masalah ini dan sehingga kini masih belum ada titik nokhtahnya.   Mohd Ashraf, 25, membuat permohonan menukar jantina di Mahkamah Tinggi pada 25 Mei lalu bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran, selain kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelaki. Permohonannya menukar nama dan status jantinanya dalam MyKad kepada Aleesha Farhana ditolak, Isnin lalu. Berita Harian, 21 Julai 2011 KUALA LUMPUR: “Dia masih ada hak untuk merayu ke peringkat mana pun, seperti kes lain,” kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad ...

Keliru?

Terkedu. Semalam dalam kebanyakkan halaman berita tempatan ada menyiarkan berita tentang lelaki ini, Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz. Permohonan pertukaran nama daripada Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz, telah ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Trengganu. Sebelumnya sekitar tahun 2009, masyarakat di Malaysia digemparkan dengan berita tentang Mohammed Fadzil Min Bahari yang berkahwin secara sivil dengan Ian Young di United Kingdom. Mohammed Fadzil mendakwa dirinya khunsa dan tidak menjalani pembedahan tetapi mengambil pil hormon. Namun tidak ada pengesahan yang mengatakannya benar-benar khunsa. Mohammed Fadzil telah menukar namanya kepada Fatine Young, mendapat visa untuk menetap di United Kingdom serta 'berpisah' dengan 'suaminya'.  Hari ini, masih ada cerita berkenaan Mohd Ashraf Hafiz di dada akhbar. Kali ini adalah luahan hatinya dan kedua orang tuanya. Menurut kedua orang tuanya, "Ketika pembedahan itu, kami menunaikan haji di Makkah....

Coklat Sahabat Untuk Mona

Ada pepatah mengatakan, patah tumbuh hilangkan berganti. Namun kebiasaannya yang berganti itu takkan sama dengan yang telah hilang. Tersendiri. Setiap orang diciptakan Yang Maha Kuasa itu sangat unik. Tidak ada yang sama serupa seratus persen. Maha suci Allah. Hari ini secara rasminya, Mona bertukar ke unit lain. Masih di bawah bumbung yang sama, bahagian yang sama cuma berbeza tingkat dan skop kerja sahaja. Bukan bertukar ke Jabatan lain atau mendapat tawaran kerja di tempat lain pun tapi ada rasa sedih yang tak dapat disingkirkan. Ini adalah peluang yang baik untuk Mona meningkatkan kerjaya. Sebagai kawan tentu sahaja rasa gembira, rasa hendak ikut sekali kalau boleh . Rasa kehilangan juga. Kawan yang suka bergurau, ketawa dan mengusik. Juga pendengar yang baik. Untuk Mona, bittersweet chocolate -  lebih suka menggelarkannya, Coklat Sahabat .  Coklat Sahabat mengambil nama lagu Sahabat Selamanya yang dialunkan Kumpulan Padi dan merupakan lagu tema ba...

Nisfu Syaaban

Antara tanda-tanda akhir zaman telah tiba adalah waktu menjadi semakin pendek. Kita di ambang akhir zaman. Sedar-sedar Ramadhan sudah semakin hampir. Hari Sabtu, malam Ahad ini adalah Nisfu Syaaban. Pada waktu rehat semalam, berkesempatan mendengar kuliah zohor oleh Dr Yusri Mohamad dari Universiti Islam Antarabangsa. Masa yang singkat iaitu tidak sampai sejam tentulah tidak memadai untuk mengupas tentang Nisfu Syaaban secara keseluruhannya. Namun memadai untuk mengingatkan diri sendiri untuk sama-sama menghidupkan malam itu nanti. Inilah serba sedikit yang dapat dikongsikan daripada majlis ilmu semalam. Sebagaimana yang dimaklumi, Nisfu Syaaban adalah malam yang penuh dengan rahmat kerana Allah SWT akan mengampunkan dosa hamba-hambaNya kecuali orang-orang musyrik, orang-orang yang memutuskan silaturahim, orang-orang menderhaka terhadap kedua orang tuanya, orang-orang yang ketagih arak, orang-orang takbur melainkan mereka bertaubat kepadaNya.  ...

Opah Yong 1934 - 2011

Hari ini Isnin 9 Syaban 1423 H kira-kira dalam pukul 3:00 petang, Opah Yong telah selamat kembali ke pangkuan penciptanya. Opah Yong sakit kuat hampir dua bulan. Sebelum inipun kesihatannya tidak begitu baik namun tidak pernah arwah membataskan diri, terlantar di perbaringan. Selalu mengadu lututnya sakit. Namun tetap juga digagahkan dirinya berjalan. Tidak terdaya berjalan, arwah mengesot. Dalam ketidakupayaannya itu, arwah mampu membuat kuih putu kacang, kuih bangkit, kuih bahulu, membuat bedak sejuk dan tentulah mengurut orang yang menjadi kepakarannya. Rumah Opah Yong selalu jadi tumpuan orang ramai dari jauh dan dekat untuk mendapatkan khidmatnya. Tetapi kini semua itu hanya tinggal kenangan. Buat kami adik beradik, arwah adalah seperti pengganti opah dan mak tok kami.Arwah ramah, berterus terang dan boleh di bawa bergurau. Alhamdulillah sempat juga  bawa anak-anak menemui Opah Yong sebelum arwah berpindah dunia. Semalam kami menghabiskan masa menzirahinya. Dalam keada...

Masa Untuk Bercuti

Anda merancang untuk bercuti? Bagaimana dengan anak-anak? Bawa bersama? Bersedialah dengan kejutan. Ada banyak kejutan diciptakan mereka. Ini bukan kejutan plastik. Entri tertangguh. Rancangan percutian telah lama dibuat suami. Lebih kurang 3 atau 4 bulan daripada tarikh kami berangkat iaitu 1 Julai. Kami bercuti bersama-sama dengan 3 lagi rakan suami dan keluarga masing-masing. Kesemuannya punya anak-anak dalam lingkungan sebaya dengan anak-anak kami. # 1: 2 hari sebelum berangkat, Kak Long jatuh sakit . Apalagi, cuti tambahan sehari awal kerana Kak Long tidak dapat ke sekolah. Hanya Adik sahaja ke taska. Kurantinkan Kak Long. Hendak elakkan jangkitan. Keadaan kesihatannya nampak beransur pulih menjelang malam. # 2: Adik pula demam beberapa jam sebelum kami berangkat . Demam Kak Long belum betul-betul kebah. Oh, oh, oh. Bagusnya anak-anak kerana punya tenaga yang luar biasa. Dalam sakit-sakit itu masih cergas berlari, ketaw...

Coklat Untuk Hantaran Perkahwinan

Ini adalah coklat untuk hantaran perkahwinan Rafeah dan Jamal pada 1 Julai 2011. Temanya hijau. Pada mulanya hendak dipadankan dengan coklat putih. Terfikir, manis sangat pula . Lagipun saya buat coklat crispy daripada bertih beras. Tak sesuai pula nanti . Agaknyalah . Lain orang, lain citarasanya. Kombinasi putih dan hijau tentu lebih cantik dan menarik. Saya asingkan dahulu coklat iringannya ke dalam bekas berbeza. Ini adalah coklat biskut oreo. Cuba buat sedikit kelainan. Gambar diambil dalam keadaaan tergesa-gesa. Ada macam-macam perkara terjadi sepanjang minggu itu. Alhamdulillah apa yang sepatutnya disiapkan telahpun dilakukan. Harapnya kedua mempelai berpuas hati. Selamat pengantin baru, semoga berbahagia hingga ke akhir hayat.