Skip to main content

Cuti-cuti di Avillion Port Dickson

Rancangan untuk kami sekeluarga pergi bercuti, sudah lama dibuat. Sejak balik dari Golden Palm Tree Resort & Spa. Cadang hendak pergi hujung tahun lepas tapi tak sempat. Kami menunaikan hajat ayah yang beriya hendak bawa cucunya ke zoo. Setiap kali anak-anak kami pandai berjalan, Tok Wannya bawa ke zoo. Jadi awal tahun baru dapat pergi. Dekat dengan tarikh hendak pergi bercuti, kebetulan keluarga saya pula beritahu hendak datang ke rumah. Jadi saya ambil lagi sebuah bilik. Mujur masih ada sebuah lagi yang masih kosong. Pergi ramai-ramai. 

Bilik kami di blok yang paling hujung. Al maklum budget murah, RM 200.00 ++. Kami pilih Beach Room. Pilihan atas individu, kalau pilih bilik atau villa yang lain, kedudukannya ada yang lebih dekat dengan lobi atau kolam renang atau kemudahan-kemudahan lain. Jauh pula dari pantai. Keluarga saya terutama ayah dan emak tentu hendak ke pantai berbanding kolam renang. Hendak merasa menginap di bilik atas air, sudah pernah pergi ke Kampung Air di Bukit Merah Lake Town Resort (sebenarnya teringin juga tetapi harga biliknya, ya ampun). Bercuti dalam negara pun mahal. Sebelum pilih Avillion, ada tinjau water chalet yang lain. Boleh pula sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, harga bilik pun meningkat naik tahun ini.


Alhamdulillah dapat bilik tingkat bawah, dekat dengan pintu keluar. Menghadap ke pantai. Ini gambar pemandangan dari tingkap bilik kami. 


Memang Avillion ada pantai persendirian tapi air laut surut. Jenuh berjalan ke tengah. Hendak mandi manda tak seronok langsung. Jadi kami sekeluarga berjalan ke pantai terbuka. Keadaan lebih baik untuk anak-anak. Puas juga anak-anak mandi laut. Petang dan pagi.


Anak-anak seronok main pasir, kutip sput, ketam di tepi pantai. Kalau ikutkan, saya rasa malas hendak bawa anak-anak ke pantai. Cuaca pula kurang elok. Walaupun pantai memang paling dekat dengan bilik kami tapi kalau hujan tiba-tiba lebat, jenuh juga hendak berlari balik ke bilik. Ayah dan emak hendak sangat cucu-cucunya mandi di pantai. Apa tidaknya, hendak mandi manda di kolam mandi di Avillion tak boleh. Peraturannya ketat. Mesti pakai pakaian renang. Mana Tok Wan dengan Opah ada baju renang, ya tak?! Ini yang paling tak seronok. Pakai pakaian renang muslimah pun kena tegur. Hai takkan tak pernah orang guna di Avillion ni. Pakai t-shirt, pakai track bottom memang sah tak boleh masuk kolam.





Waktu Kak Long kecil dulu, kami beli swim diapers. Kak Long masih bayi pada masa itu. Kami sekeluarga terpisah-pisah. Rancangan bercuti selalu mengejut. Rumah keluarga saya paling hampir dengan Giant. Beli swim diapers adalah jalan terbaik. Jadi saya tak pakaikan anak, baju renang. Pakai swim diapers sahaja. Pun ada orang tegur. Kami pergi ke Damai Laut, kena tegur. Pakaikan pada Abang Ngah di Mahkota Hotel, kena juga. Mula-mula pandang. Bisik-bisik. Jeling-jeling. Panggil pekerja-pekerja hotel suruh tegur kami. Adik, Kakak, Abang, Mak cik, Pak cik, anak saya pakai swim diapers bukan diapers biasa. Saya pun tahu, pakai diapers biasa tak dibenarkan, tak boleh digunakan nanti berat, pecah, habis kotor. Kena terang pula. Kena beritahu pula di pasaran sekarang sudah ada jual swim diapers. Jenama Huggies. Sebab malas lagi hendak terang atau bertekak itu dan ini, saya beli baju renang. Elok pun anak-anak tak kira umur, pakai sahaja baju renang. Sekarang ini hendak cari swim diapers ini pun sudah susah. Tutup isu. Timbul pula isu pakai baju renang muslimah. Isy kalau di negara bukan Islam, kena tegur faham juga. Ini di Malaysia.



Menariknya di Avillion ini ada aktiviti istimewa terutama untuk kanak-kanak. Ketika anak-anak mandi dan bermain di kolam, ada kelas memasak dianjurkan. Apa lagi berhenti semua, mari kita belajar memasak. Kelas memasak roti canai diadakan pada petang itu. Uli, uli, tebar dan masak. Selepas masak, anak-anak boleh makan roti canai yang mereka masak itu. Kami pun tumpang sekaki, makan. Yeay! Sedap Kak Long, masak. Sedap Abang Ngah, masak. Nanti buat lagi ya.


Ada pet farm di sini. Kawasan reban dan kandang kemas dan bersih.


Setiap hari pada pukul 10:00 pagi, pengunjung dibenarkan beri haiwan di sini, makan selama 10 minit. Ramai yang menunggu untuk beri makan pada haiwan-haiwan. Tinggalkan dulu aktiviti mandi manda di kolam dan beri makan pada haiwan-haiwan di sini.


Adik Fitri langsung tak takut tapi Abang Ngah sedari awal mood tak baik, menangis pula di dalam kandang. Hai anak! 


Ada kelainan sedikit. Seronok anak-anak sebab dapat pengalaman baru. Siap kena kejar lagi dengan si bapak ayam. Patutnya sikit tak hairan sebab di rumah arwah Tok Ayah main kejar-kejar dengan ayam ini, tak ada hal pun. Anak-anak! Macam-macam karenah.



Malam, tak sempat pun makan. Terus tertidur sementara menunggu pesanan makanan sampai. Letih sangat.



Ala-ala Golden Palm Tree Resort juga. Tapi rugikan, air laut surut. Tak nampak ikan berenang-renang dari bilik. Ya ke nampak?!


Avillion di waktu senja. Air laut sudah mula naik. Ada nampak ikan berenang-renang ke?

Comments

  1. Salam puan, saya nak tanya. Puan rasa sesuai tak kalau tetamu yang berwheelchair datang dan duduk di Beach Room?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Puan Nadiah,

      Saya pun tak berapa pasti. Dah lama cerita ni & sekali sahaja kami pergi. Kalau dapat tingkat bawah sekali, rasanya tak ada masalah.

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...