Skip to main content

Cacar Air: Komplikasi & Jangkitan Lebih Daripada Sekali?

Pernah dijangkiti cacar air? Jika pernah, jangan rasa selamat lagi kerana anda mungkin akan dijangkiti sekali lagi. Ini bukan pepatah pisang takkan berbuah dua kali. Peringatan buat diri sendiri juga.

Cacar Air: Komplikasi
Sumber: http://www.infosihat.gov.my/

Komplikasi

Ruam atau cacar air Chickenpox akan berkurangan dalam jangka masa 2 minggu dan biasanya tiada komplikasi. Adakala penyakit boleh jadi teruk walaupun pada kanak-kanak yang sihat dan mengakibatkan komplikasi teruk termasuklah kematian. Kumpulan berisiko untuk jangkitan serta mendapat komplikasi teruk:

  • Bayi baru lahir, di mana ibu tidak penah mengidap chicken pox atau pelalian chicken pox.
  • Ibu mengandung menyebabkan kesan pada bayi dalam kandungan seperti tak cukup berat dan kecacatan anggota boleh berlaku. Sekiranya ibu mengidap chickenpox seminggu sebelum kelahiran, ia boleh menyebabkan jangkitan serius serta membahayakan nyawa pada bayi.
  • Orang yang lemah atau kurang daya tahan akibat penyakit lain seperti HIV, barah sumsum tulang (leukaemia) dan pesakit kanser dalam rawatan kemoterapi. Orang yang mengambil steroid berpanjangan pesakit asma dan sindrom nefrotik.
  • Penghidap sakit radangan kulit (inflammation eczema).
Komplikasi akibat chicken pox:
  • Jangkitan kulit- menjadi lebam merah, bengkak dan sakit. Dehidrasi akibat muntah berterusan atau tidak minum air. Tanda dehidrasi ialah kurang kencing, mulut kering dan dahaga.

  • Kerosakan otak akibat radangan otak. Tanda-tanda radangan otak ialah sakit kepala teruk, keliru, mudah marah, leher keras dan belakang mengeras serta tidak sedarkan diri.

  • Radang sendi- sendi menjadi sakit, kejang dan bengkak

  • Jangkitan paru-paru (Pneumonia)- tanda-tanda seperti batuk, susah bernafas, pernafasan berbunyi (wheezing) dan sakit dada.
Dua Kali Kena Cacar Air


Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Abdul Malik Jamal Buhari, berkata cacar air boleh dialami sebanyak dua kali kepada individu tetapi kes berkenaan jarang berlaku.


“Bagaimanapun, mendapat cacar air pada seluruh tubuh jarang berlaku. Penyakit cacar air dan kayap berpunca daripada virus yang sama. Virus cacar air yang menyerang ketika seseorang masih kecil, tidak menghilang sebaliknya menetap dalam tubuh iaitu di saraf tunjang selama berpuluh-puluh tahun tetapi tidak mengganggu kesihatan.

“Bagaimanapun, apabila daya tahan penyakit berkurangan kerana menghidap diabetes atau demam yang teruk, seseorang itu akan mendapat kayap. Kayap biasa terjadi pada sebahagian badan saja seperti di bahagian perut, belakang tubuh atau muka,” katanya.

Menurutnya, 80 peratus kes penyakit itu berlaku kepada kanak-kanak dan 20 peratus golongan dewasa. Komplikasi dialami kanak-kanak akibat cacar air adalah minimum berbanding golongan dewasa yang mempunyai penyakit lain seperti diabetes, kanser atau sakit paru-paru kronik. Ini kerana, jika cacar air menyerang golongan dewasa yang menghidap penyakit berkenaan, pesakit mudah mendapat komplikasi yang boleh menyebabkan kematian kerana radang paru-paru (pneumonia), radang otak (meningitis) atau jangkitan kuman pada otak (encephalitis).

Cacar air mudah berjangkit melalui pernafasan iaitu apabila pesakit batuk atau bercakap dan air liurnya terkena pada individu lain. Ia juga boleh berjangkit jika pesakit berhubungan dengan individu lain iaitu seseorang itu terkena dengan kudis (cacar air) dan kemudian menggosok mata, memegang hidung atau mulut tanpa membasuh tangan. “Mereka yang tinggal serumah dengan pesakit cacar air berisiko tinggi mendapat jangkitan kerana jarak yang rapat atau mudah bersentuhan sama ada secara langsung atau tidak langsung. “Elak menyentuh cairan kudis pesakit cacar air atau memegang tombol pintu yang dipegang pesakit tanpa membasuh tangan. Ini kerana virus mudah menyerap masuk ke tubuh seseorang melalui bahagian pancaindera mempunyai membran mukos seperti mata, hidung dan mulut,” katanya.

Selang pendedahan kepada jangkitan dan kemunculan gejala pertama cacar air ialah antara 10 hingga 21 hari selepas bersentuhan dengan orang yang menghidap cacar air. “Kudis berair yang timbul di permukaan kulit keluar secara berkelompok dan berperingkat. Kelompok kudis yang terakhir iaitu lima hari selepas ia timbul masih bahaya kerana boleh berjangkit,” katanya.

Pesakit diberi ubat antivirus yang dimakan lima kali sehari selama seminggu dan sebaiknya dimakan pada dua atau tiga hari pertama diserang cacar air. Pesakit yang mendapat cacar air akan diberi cuti sakit selama dua minggu. Cacar air berbahaya kepada wanita hamil yang menunggu hari untuk melahirkan kerana anak dalam kandungan sangat mudah dijangkiti penyakit itu. Biasanya, wanita hamil yang diserang cacar air diberi imunoglobulin dan anak yang baru dilahirkan juga diberi antibiotik sama. Biasanya, kudis yang djangkiti bakteria meninggalkan parut. Pesakit yang mengalami cacar air akan diberi antibiotik jika perlu, untuk mengurangkan kesan parut. Bagaimanapun, jika kesan itu timbul selepas seseorang pesakit pulih, vitamin E akan diberikan untuk mengurangkan parut.

GEJALA

Demam, sakit kerongkong dan mengalami ruam kulit. Ruam berkenaan kemudian merebak ke bahagian tubuh, berubah menjadi kudis yang berair dan kemudian pecah. Kudis berkenaan sangat gatal dan menimbulkan ketidakselesaan kepada pesakit. Ia kemudian kering dan berkeruping. Bintik baru akan timbul sehingga semuanya pulih dalam masa dua minggu.

CARA JANGKITAN

  • Melalui udara iaitu apabila seseorang yang menghidap cacar air batuk atau bersin.
  • Jika tersentuh cecair yang keluar daripada kudis cacar air.
  • Jika tersentuh benda/permukaan yang dibasahi cecair daripada kudis berkenaan.

LANGKAH PENCEGAHAN
  • Cacar air boleh dicegah dengan suntikan pelalian. Dapatkan nasihat doktor.
  • Jika anda mendapat cacar air, elak menyebabkan jangkitan kepada orang lain dengan tidak ke sekolah atau ke tempat kerja sehingga kudis berair yang timbul menjadi kering dan berkeruping.
  • Individu yang berisiko mendapat cacar air teruk (bayi yang baru lahir, mereka yang mempunyai daya tahan melawan penyakit yang lemah serta wanita hamil) dan terdedah kepada seseorang yang menghidap cacar air diberi imunoglobulin untuk memberi perlindungan segera.


Pengamatan & Pengalaman:
Demam. Permulaan bintik-bintik merah (red spot) akan timbul. Ada yang berkelompok. Ada yang tidak. Ada yang bernasib baik, tidak banyak bintik-bintik ini. Ada yang kurang, bintik-bintik ini tumbuh dengan banyaknya sehingga di dalam mulut dan telinga. Kemudian bintik-bintik merah ini akan bergelembung dengan cecair (blister) atau kudis berair. Apabila gelembung itu pecah, jadi kuping kudis (hard crust). Sangat gatal dan jari-jemari mula rasa tak boleh diam hendak mengopeknya. Jangan! Nanti berparut. Parut memang ada tetapi kalau kita jaga, Insya Allah parut itu akan hilang. Jangan makan kicap dan elakkan daripada terkena hujan. Ini petua orang-orang lama, terpulang samaada hendak ikut atau tidak.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...