Dalam satu kuliah zohor, Ustaz Ahmad Husni ada berkata, sekiranya kita mampu dan berkebolehan sedekahkanlah ilmu yang kita ada. Sebagai contoh, beri kelas tambahan kepada anak-anak yang yatim piatu. Sekiranya kita tidak mampu untuk mengajar, belikan buku-buku. Semoga ilmu yang diperolehi daripada buku-buku tadi akan memberi manafaat kepada umat sejagat. Wakaf ilmu, katanya.
Apa yang dikatakan Ustaz itu mengingatkan tentang laman web popular iaitu Myresipi. Memang perlu berterima kasih pada pengasasnya, Dr Bakhtiar Affendi Rosdi dan isterinya yang lebih dikenali dengan nama, Yani. Banyak yang saya pelajari menerusi resipi-resipi yang disumbangkan di situ, terutama daripada Yani sendiri. Jus epal yougurt, watermelon smoothie, lapis roti berdaging (umi-e), kek coklat tanpa mentega (fendi75), puding jagung (F&N) dan ada beberapa resipi lain lagi yang turut saya cuba. Juga ada diantara penyumbang resipi Myresipi turut mempunyai blog seperti Ina dan majalah Jelita bulan April ini ada menyelitkan sajian daripada Ina. Ina bukan sahaja sanggup berkongsi ilmu masakannya tetapi juga tidak lokek menjawab permasalahan penyediaan masakan itu. Sungguhpun saya ini tidak pernah dikenali beliau. Sempat lagi kalau hendak dapatkan Jelita April ini. Pergilah ke Pesta Buku.
Bercakap pasal majalah, hendak mengadu : majalah kegemaran saya hilang. Bukan isu terbaru. Ada beberapa halaman yang masih belum sempat saya baca. Sebelum ini saya pinjamkannya pada seorang kawan. Saya bawa bersama majalah ini ketika menemani anak menjalani ujian di hospital. Hajat hati hendak membaca sementara menunggu ujian selesai dijalankan. Apakan daya dek kelalaian saya sendiri, majalah itu tercicir ketika sibuk menguruskan anak. Rupanya ujian sama yang dijalani setahun lalu, sedikit berbeza pendekatannya tahun ini. Tumpuan sepenuhnya mesti saya berikan ketika ujian dijalankan. Barangkali kekalutan itu menyebabkan saya lalai menjaga majalah ini. Ralat juga rasanya. Harga majalah ini juga bukan murah. Namun itu bukan soal pokoknya. Isi kandungan majalah itu sangat baik buat saya menyebabkan rasa sebal, marahkan diri sendiri kerana lalai. Besar harapan saya sekiranya orang yang menemui majalah ini memanafaatkan ianya sebaik-baiknya. Janganlah ditong sampahkan ia. Sayang benar rasanya.
Saya pergi ke Pesta Buku pada hari pertama dan terus memborong majalah ini. Kebetulan ada beberapa isu yang belum saya miliki turut dijual. Memang rezeki. Terus juga, saya langgan untuk tempoh setahun. Alhamdulillah dapat 20% diskaun. Pesta Buku bermakna duit melayang. Apa nak dikata lagi, saya memang lebih banyak menghabiskan duit membeli buku daripada alat mekap atau baju mahupun beg tangan dan kasut.
Comments
Post a Comment