Skip to main content

UK Trip London Part II: Edisi Menghabiskan Duit

Hari ke 4 (29 November 2019)

Suhu makin jatuh. Sekitar 3 darjah selsius sahaja pada pagi itu. Bagaimanapun cuaca cantik. Kali pertama nampak cahaya mahatari terang benderang di bumi London. Berpecah pada tiga kumpulan. Satu keluarga rasa tak puas main di taman, pergi pula ke taman berdekatan apartment kami di Paddington. Seterusnya mereka hendak ke Primark Oxford Street, sekali lagi. Satu kumpulan lagi menguruskan pertukaran apartment. Kami pula naik bas untuk ke Wembley.

Agak jauh juga dari apartment di Harrow Road. Sekitar perjalanan nampak banyak kedai-kedai milik orang Muslim dari kedai runcit, pasar raya kecil, kedai gunting, kedai makan dan sebagainya.


Berpusing-pusing untuk mencari pintu masuk ke stadium. Ada beberapa pintu masuk tetapi bukan semuanya di buka. Kami cuma bergambar di sekitar Wembley Stadium, Wembley Library dan The SS Arena sahaja.


Untuk stadium tour£20.00 akan dikenakan seorang. Mungkin lain kali Insyaallah kalau ada rezeki. Apabila anak-anak sudah besar dan lebih memahami.

Hari ini pula kebetulan merupakan Black Friday, singgah sekejap di London Designer Outlet. Sebelah menyebelah sahaja bangunan ini dengan stadium. Sampai masanya untuk edisi menghabiskan duit aka shopping. Sekarang bermula penjelajahan dari satu outlet ke satu lagi outlet. Sementara suami membeli belah, saya bawa anak-anak yang kebosanan menunggu ayahnya, main di taman permainan kanak-kanak di hadapan London Designer Outlet. Kecil tapi cantik dan bersih.


Kami makan tengah hari di apartment. Apartment kali ini di Balham High Road. Bilik-biliknya lebih kecil tetapi ruang makan selesa untuk kami yang ramai. Bukan isu pun sebab masa lebih banyak dihabiskan di luar berbanding di dalam bilik. Paling bagus kerana tak perlu jalan jauh untuk ke tube station. Seberang jalan sahaja. Totting Bec Station pula antara stesyen terawal, jadi kami dapat duduk.


Sebelah petang, kami ke Westfield Stratford City. Ramainya orang. Rasanya selain daripada Black Friday, orang ramai kerana balik dari kerja. Ada Primark Outlet di sini tetapi tak ada pula jual barangan Harry Potter yang diidamkan oleh anak. Ada memang ada tetapi tidak diletakkan atau dipamer di satu tempat. Ada di merata tempat. Orang pula sendat padat beratur di kaunter bayaran, suami sudah letih. Anak yang kecil  pun sudah mula tertidur. Jadi susah hendak memilih.

Kami memutuskan untuk ke Primark 14-28 Oxford Street, Fitzrovia London pula kerana di situ himpunan barangan Harry Potter diletakkan setempat. Anak-anak memang penggemar Harry Potter. Alang-alang di sini, apa salahnya. Harga pun murah. Kalaupun barang-barang itu ada di jual di Malaysia, harganya pasti sangat mahal. Saya mesti takkan benarkan mereka beli. Hahaha...Namun saya tetap hadkan jumlah pembelian bagi setiap seorang. Anak dara jadi rambang mata. Pegang letak, pegang letak. Berlegar-legar tak tahu mana satu hendak dibeli. Geram je rasa. Padahal kita ni berebut-rebut dengan orang yang membeli belah hadiah krismas. Itupun urusan jadi mudah kerana salah seorang daripada ahli rombongan kami, tolong beratur sementara anak-anak memilih.

Memang Primark antara tempat yang akan dituju oleh kebanyakkan pelancong kerana harga barangan lebih murah di sini. Kalau hendak beli long coat atau winter jacket memang banyak pilihan di sini. Boleh melaram tukar-tukar kot. Tak adalah kot yang sama sahaja dalam gambar kenangan. Tapi saya cakap sahaja, saya tak beli pun. Hahaha.. Saya pakai winter jacket yang sama, yang dibeli di Malaysia sahaja. Namun ada sesetengah orang kata kualiti barangan yang dijual kurang elok. Sebenarnya terpulang pada selera masing-masing. Kalau cari barangan berjenama mewah seperti Coach, LV, Burberry memang tak ada di Primark tetapi kalau anda bijak memilih tentu akan jumpa sesuatu yang menarik dengan harga yang sangat berbaloi. 

Balik dari Primark, kami naik teksi. Underground station penuh sesak. Hari ini juga malangnya ada serangan di London Bridge. Mujur sangat kami sudah ke kawasan sekitarnya, semalam. London Bridge ditutup sepenuhnya.


  

Hari ke 5 (30 November 2019)

Langit di Kota London kembali mendung pagi ini. Setiap malam sepanjang kami di sini, hujan turun sehingga ke awal pagi. Suhu jatuh sehingga negetif. Hari ini akan kami keluar jauh sedikit. Kami akan ke Portsmouth iaitu bandar pelabuhan di Selatan dengan menaiki bas ekspress, National Express. Kami naik dari Victoria Coach Station.


Berbeza dengan di Malaysia, ianya free sitting. Bas pula sudah dipenuhi orang ketika kami naik. Kebanyakkannya memilih duduk di tepi tingkap dan duduk berseorangan membuatkan kami tidak ada pilihan, terpaksa duduk terpisah-pisah daripada anak-anak. Rasa kurang selesa sedikit memandangkan anak-anak masih kecil. Lebih kurang 1 jam 30 minit, kami sampai di Portsmouth.

banyak udang banyak garam,
banyak orang banyak ragam

Apabila pergi negara orang dapat tengok dan alami sendiri ragam manusia. Jadi tidaklah telan bulat-bulat apa yang orang lain momokkan. Semasa di Hong Kong, apabila hendak naik lif atau bas, sesiapa sahaja akan terus beratur dalam barisan. Tak kira seramai manapun. Memang untuk naik bas awam di London, mereka beratur. Setiap kali naik escalator mereka akan berbaris ke sebelah kiri untuk beri laluan kepada orang yang hendak cepat di sebelah kanan. Tetapi untuk naik bas ekspress ini, terkejut sikit. Kami beratur lebih awal untuk elakkan duduk berasingan daripada anak-anak dan hendak duduk jauh dari tandas. (Dalam bas ada kemudahan tandas). Alih-alih barisan kena potong. Barangkali juga yang tidak amalkan budaya beratur ini, bukan rakyat tempatan. Barangkali pelancong macam kita juga. Mereka yang tak amalkan,


masuk kandang kambing, mengembek, 
masuk kandang kerbau, menguak



Begitu juga untuk beri tempat duduk kepada kanak-kanak, bukan semua akan prihatin. Baik ketika naik tube atau keretapi. Namun masih ada yang bertimbang rasa. Bukan sahaja beri tempat duduk kepada anak-anak kami tetapi juga kepada ibubapanya sekali. Malah ada juga yang tolong sama-sama pimpinkan tangan anak-anak kerana pintu tube cepat tertutup dan tube pula selalunya penuh. Sebaiknya kita bersangka baik, barangkali mereka yang terlihat sihat sempurna tapi tak berikan tempat duduk ini punya sebab tersendiri. Misalnya, ada masalah kesihatan, sakit lutut ke ada tekanan darah rendah ke, siapa tahu kan. Mungkin juga terlampau letih. Kita tak tahu kerana kita tak berada dalam kasut yang sama.  


Berbalik pada Portsmouth. Cantik pemandangan di Portsmouth. Baik waktu siang ataupun malam. Turun dari perhentian bas, Portsmouth Hard Interchange kami berjalan ke Gunwharf Quays. Dekat sahaja. Salah satu tempat tumpuan membeli belah. Boleh rujuk di sini. Bagaimanapun berbanding membeli belah, sebagai pelancong saya lebih terpesona menikmati keindahan di sana. Oleh kerana orang agak ramai, restoran-restoran kebanyakkannya penuh. Agak sukar mencari restoran halal kecuali masuk ke dalam kawasan perumahan di sekitar.



Seperkara lagi, orang-orang di sini pergi membeli belah bersama-sama dengan haiwan peliharaan kesayangan mereka iaitu anjing. Anjing-anjing ini tidak menyalak tak tentu pasal. Senyap je tapi manja. Ketika suami sibuk membelek baju di Adidas Outlet, anak kecil saya sedang makan chips. Datang si dia hulurkan kepala. Minta sikit. Terkejut kami. Memang berlaku kejutan budaya. Bukan kami sahaja terkejut, tuan punya anjing pun terkejut sama. Terkejut dengan reaksi kami. Mujur juga anak-anak tak menjerit, kalau tidak lagi haru.

Hari ke 6 (1 Disember 2019)

Cuaca redup ketika kami keluar dari apartment. Lambat juga menunggu mahatari hendak keluar. Destinasi pertama pagi ini, kami akan ke Camden yang terletak di Utara London. Sebaik sampai kami ke Inverness Street Market. Tengok mereka jual makanan. Wow! Sosej-sosejnya besar betul. Boleh tengok sahaja ya. Anak bongsu terliur tengok candy yang dijual sejak hari pertama pusing-pusing di Kota London. Tetapi setiap kali itu akan bertanya pada kami, "Halal ke?" Kami tak perlu pujuk, apabila beritahu tak halal si kecil kami faham. Benarlah kata orang apabila kita merupakan golongan minoriti, kita lebih teliti dalam menjaga kepercayaan kita. Alhamdulillah, dari segi menjaga pemakanan dengan memilih yang halal, anak-anak sudah dapat gambaran yang jelas. 

Kedai-kedai di sekitar bandar Camden punya hiasan yang menarik. Dalam Camden Market boleh jumpa kedai buku-buku terpakai, kostum yang pelik-pelik, beg, baju, barang-barangan kulit dan macam-macam lagi. Camden Pasar ini besar sebenarnya. Sekali lagi duit terbang, anak-anak membeli  belah barangan Harry Potter dengan jayanya. Jangan mimpi hendak tawar menawar di sini. Take it or leave it.


Paling menarik, kami jumpa gerai menjual makanan Malaysia. 22 tahun mereka sudah menetap di sini tetapi mereka sangat ramah dan masih fasih berbahasa Melayu. Kalau ke sana jangan lupa singgah di Asian Alley Camden Market. Saya sudah berjanji memberikan hebahan ini. Sebelumnya kami telah diingatkan bawa bekal makanan secukupnya kerana agak susah mendapatkan makanan halal yang mengenyangkan di Bicester Village. Kenyang tu penting ya. Sejuk-sejuk cepat lapar.


Destinasi seterusnya ke Bicester Village. Jadi kami akan naik bas menuju ke Oxford terlebih dahulu.  Aduhai perjalanan telah melebihi masa yang dirancang. Rugi rasanya. Tak sempat hendak melawat Oxford University kerana kami perlu naik keretapi dari Marylbone Station untuk ke Bicester Village. 


Bicester Village merupakan tempat beli belah barangan berjenama. Rujuk di sini. Oleh kerana potongan harga Black Friday masih berjalan, kebanyakkan outlet dilimpahi umat manusia. Melimpah-limpah sampai beratur keluar outlet. Hajat hati hendak masuk Burberry Outlet tapi tak jadi sebab kena melepasi pengawal keselematan dan anjingnya, untuk masuk. Jangan gelak. Saya memang penakut. Ketika di Florence, Itali saya menjerit padahal anjing itu cuma lalu sahaja di sebelah saya. Tak habis lagi trauma kena kejar dengan anjing di Malaysia. Hahaha...

Waktu outlet di sini ditutup, berbeza-beza. Ada yang tutup seawal pukul 5:00 petang. Bicester Village tutup sepenuhnya pukul 7:00 malam. Kalau memang berhajat hendak memborong pada waktu-waktu sebegini, elok ambil masa yang panjang. Oleh kerana dalam rombongan kami ada anak-anak kecil, kami tak tunggu sehingga pukul 7:00 malam. Itupun ketika kami balik, keretapi penuh sehingga berasak-asak. Berbeza ketika datang. Boleh duduk dengan selesa. Sampai apartment semua kelaparan tapi tak boleh berehat sebab kena berkemas. Esok kami akan ke Manchester pula.

Sambungan UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman pula akan menyusul.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...