Skip to main content

UK Trip London Part I: Hujan Emas di Negara Orang

Menjejakkan kaki di hening subuh, tubuh terus menggigil disapa angin. Bumi London basah menyambut ketibaan kami.

Hello, London

British Airway tiba lebih awal di Heathrow London dari jadual penerbangan asal. Ya, cuti sekolah hujung tahun 2019, kami sekeluarga di sini. Alhamdulillah.

Hujan rintik-rintik. Berhenti cuma sekejap-sekejap tapi kami tidak berpayung kerana hujan rintik sahaja. Paling tak tahan, hembusan angin. Sangat-sangat sejuk. Sangat kuat juga. Terasa tubuh ditolak angin ketika memanjat atau menuruni anak-anak tangga stesyen keretapi bawah tanah.

Dek sebabkan kami sampai awal pagi, jadi kami semua ke Travelodge Heathrow T5 terlebih dahulu.  Mandi, rehat-rehat sekejap sebelum bertolak ke Harrow Road dengan kereta yang telah disewa. Kami menginap di apartment di Harrow Road. Cantik. Bersih. Kemas. Selesa.



Ramai orang Malaysia pernah menyewa di sini. Buktinya di dapur ada tinggalan, sos cili, kicap, maggi, teruja sekejap. Sepanjang di London, sarapan pagi dimasak di apartment. Kami ambil sarapan berat macam nasi goreng, nasi lemak dan bihun goreng. Sebelum keluar siapkan bekal roti dengan nutellapeanut butter, jem, kaya dan biskut-biskut. Makan malam juga ala makan malam di Malaysia. Makan nasi setiap hari. Roti canai sahaja yang tak ada dalam menu. Teh tarik, ada tapi 2 in 1.

Komuniti Muslim pun ramai di kawasan ini. Tak jauh dari apartment ini, ada sebuah masjid. Masjid Al-Khalil Asian Muslim Cultural Centre.



Hidangan pertama kami di restoran ini, Tannourine Lebanese Cuisine. Seperti kebanyakkan hidangan makanan Arab, saiz hidangannya memang besar. Boleh berkongsi. Saya dan suami memilih nasi. Anak-anak kelaparan. Habis burger seorang sebiji. Seperti yang digembar-gemburkan kentang goreng atau chips, memang cukup mewah. Sayangnya, tak ada sos cili. Tak kena betul tekak Melayu, makan kentang goreng ini dengan sos tomato.



Singgah di kedai runcit berhampiran untuk dapatkan sim card. Mata terus tertumpu pada sayur-sayuran dan buah-buahan di hadapan kedai itu. Wah, segarnya! Ini kedai runcit tau. Bukan pasar.


Selepas selesai urusan beli sim card, kami ke Oxford Street naik bas. Keluar masuk kedai tapi tak beli apa-apapun. Barang-barang cenderamata lebih murah di gerai-gerai di tepi jalan. Boleh dapat  £1.00 untuk fridge magnet atau key chain dan barang cenderamata yang kecil-kecil. Mata anak-anak terutama yang bongsu, sudah mula mengantuk berat. Padahal malam masih muda, kata orang. Mana taknya di Malaysia sekarang sudah pukul 2 pagi. Jet lag.

Hasrat ke Winter Wonderland dibatalkan. Winter Wonderland ini lebih kurang macam Fun Fair di Malaysia. Biasanya menjelang krismas. Suasana untuk menyambut krismas, sangat meriah dengan hiasan pokok krismas dan lampu-lampu.  

Hari ke 2 (27 November 2019)

Hujan dari malam hingga ke subuh sudah berhenti. Anak-anak bangun dari tidur sekitar pukul 3:00 pagi  waktu di London dan mandi ketika pukul 4:00 pagi. Jenuh paksa tidur semula tetapi mata masing-masing segar bugar. Jadinya macam mana emaknya nak tidur. Pening-pening lalat rasa kepala.

Kami terlambat 8 minit untuk walking tour dan malangnya telah terlepas peluang melihat pertukaran askar (changing the guard). Rugi dan ralat sangat rasanya. Bagi sesiapa yang ke London dan berhasrat melihat pertukaran askar, sila periksa jadual kerana ada jadual tertentu mengikut musim dan acara.

Rombongan Pelajar Cilik Ke Trafalgar Square

Kami habiskan masa di sekitar Trafalgar Square. Buat apa yang pelancong biasa buat, ambil gambar. Pernah tengok video viral pelancong dari Thailand kena pick pocket? Sebetulnya pada 4 ekor patung singa (namanya, Landseer Lions) di sekitar Trafalgar Square ini dilengkapi dengan kamera terselindung. Malah pada beberapa patung-patung tugu juga. Jenayah seperti ini berlaku di kawasan sesak dengan pelancong termasuk di Hyde Park. Ada papan tanda peringatan kepada pelancong dan penjenayah juga. Umat manusia memang maha ramai di kota sibuk ini. Pelbagai bangsa ada. Hati-hati.

Sempat juga anak-anak ditegur oleh beberapa orang warganegara Malaysia. "Wah, adik datang London ya"


Ikon London, The Big Ben masih dalam proses ubah suai tapi gigih hendak bergambar juga di situ.

Hyde Park

Kami ambil peluang naik London Big Bus Hop-On Hop-Off. Wah masa mula-mula naik, semua  pakat serbu bahagian atas bas yang terbuka. Tiba-tiba hujan turun. Bertempiaran masing-masing lari ke bahagian bas yang berbumbung hahaha.

The Royal Courts of Justice... Ambil gambar sebelum hujan


Berpusing-pusing kami naik bas sekitar Kota London kerana hujan. Dalam bas pula memang ada disediakan baju hujan. Boleh berhenti di mana-mana perhentian pun. Kalau di Malaysia memang boleh redah. Bukan lebat mana pun. Hanya renyai tetapi tidak sanggup rasanya di sini. Jika hujan gerimis sahaja mungkin boleh tetapi angin. Angin itu tidak lembut. Tidak nyaman. Anginnya mengigit. Benarlah kata pepatah,

"Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Lebih baik di negara sendiri"

Rindu Malaysia yang panas dan hangat. Bila nak belajar bersyukur ni?

Hujan renyai yang turun hampir sepanjang hari ini, sebenarnya merupakan hikmah terbesar, disebalik detik terlambat 8 minit. Bayangkan Buckingham Tour, berjalan kaki dalam hujan begini. Tidak, tidakkk. 


Akhirnya kami ke Bayswater. Makan tengah hari sangat lewat di Khan's Restaurant iaitu sajian masakan India. Ternampak ada satu rombongan keluarga dari Malaysia sedang makan. Ramai orang Malaysia di sini. Tambahan pula Malaysian Hall, di kawasan ini juga. 

Sampai pekerja-pekerja di kedai-kedai cenderamata sekitar pun boleh bercakap Melayu sepatah dua. Memang tergelak dan geleng kepala dengar. "Kerja siapa ni? Apa sahajalah yang engkau orang dah ajar ni". Inilah masanya hendak memborong fridge magnet, key chain dan barang-barang cenderamata. Highly Recommended.

Hari ke 3 (28 November 2019

Pagi ini kami menunggu bas lebih awal lagi berbanding semalam. Malangnya bas pula penuh dengan penumpang. Penuh sehingga tidak boleh dinaiki. Ish ish ish berebut ya hendak keluar berjalan sedangkan orang lain yang hendak pergi bekerja dan kanak-kanak yang hendak ke sekolah. Cuma sistem pengangkutan awam di London memang bagus. Oleh itu, tidak hairan apabila cikgu bawa anak-anak murid naik pengangkutan awam seperti bas untuk pergi rombongan sekolah. Masa menunggu bas pun tidak lama. Malah kita boleh tahu anggaran masa ketibaan bas, melalui paparan elektronik di pondok bas.

Sempat menelusuri Leicester Square sementara menunggu tour guide sampai. Ada yang sempat memborang coklat di M&M. Bertembung dengan gelandangan di sekitar Kota London, perkara biasa. Cuma scammer yang agak menjengkelkan. Ramai pula tu.


Kali ini tour guide yang lambat. Semalam lambat 8 minit kami kena tinggal. Tapi sebab dia yang hendak bawa kami, kenalah kami tunggu sampai dia datang juga.


Mendengar penerangan panjang lebar sejarah bagunan dan istana sekitar Kota London termasuk tentang kisah King Edward VIII yang melepaskan takhtanya setelah mengahwini Wallis Simpson. Sekarang hangat kisah Putera Harry hendak 'undurkan diri' dan Meghan Markle dikaitkan dengan kisah Wallis Simpson. Dalam bas Hop-On Hop-Off pun ada penerangan sejarah bangunan di kawasan sekitar.

Padang orang memang selalu nampak lebih hijau tetapi hakikatnya hanya mereka yang tahu

Buckingham Palace sentiasa dipenenuhi dengan kunjungan pelancong. Pagi ini, kami sempat menyaksikan sekumpulan askar berkuda mengiringi Ratu Elizabeth II keluar istana. Apabila Ratu Elizabeth II keluar dari istana, askar berkuda putih akan mengetuai perarakan itu.

Semalam kami tak dapat lama di Hyde Park kerana hujan. Tak puas anak-anak bermain dengan tupai dan burung. Hari ini beri peluang mereka bergasak di St James's Park. Merpati-merpati, itik-itik dan tupai-tupai sangat jinak. Tour guide pula kena menunggu. St James's Park merupakan taman berdekatan dengan Buckingham Palace.



Selepas puas anak-anak bermain, kami ke House Guards. Pesanan daripada tour guide, jangan usik pengawal-pengawal itu. Ada sesetengah pelancong tarik-tarik pengawal dan mempersendakan pengawal-pengawal ini. Jika dipersendakan mereka tak dapat berbuat apa-apa tapi jika tarik-tarik atau tolak-tolak, jangan terkejut kalau pengawal-pengawal ini akan tolak balik atau marah. Betul. Kenapa nak usik mereka? Mereka sedang bekerja. Ketika kami nak bergambar, anak-anak lambai tangan dan minta mereka senyum. Alhamdulillah, kami dapat beberapa keping gambar, mereka turut tersenyum. Saya berjaya atasi rasa takut dengan bergambar bersama pengawal berkuda walaupun ada peringatan kuda itu boleh menggigit. I like. Alhamdulillah.   


Boleh lihat dalam gamabr betapa redupnya hari. Dalam hujan gerimis, kami menelusuri Thames River untuk menaiki cruise. Menggelilingi Kota London sekali lagi.

Awan mendung memayunggi Kota London

Perut pun berdondang sayang, kelaparan. Sejuk buat rasa lapar dan dahaga. Bekal pun sudah habis tetapi kami terpaksa cepat bergegas ke Madame Tussauds pula kerana kita perlu ada di sana tepat pada masanya. Mujur di Baker Street Station ada kiosk halal, Treats. Makan sedikit snek untuk lapik perut sebelum masuk ke Madame Tussauds.



Tiket sudah dibeli awal-awal lagi. Hendak tahu harga tiket dan sebagainya, boleh rujuk di sini. Luar nampak kecil tetapi Madame Tussauds agak besar. Selain daripada patung-patung lilin, tokoh dan bintang terkenal. Ada juga segmen dengan detektif terkenal, Sherlock Holmes tapi tidak dibenarkan ambil gambar atau video ketika mengikuti segmen ini. Segmen ini dipanggil The Sherlock Holmes Experience. Ada tayangan Marvel 4D Movie. Saya lebih suka tayangan Marvel 4D Movie di Trans Studio Bandung walaupun cuma 15 minit. Satu-satunya perkara yang paling saya suka ketika di Trans Studio Bandung.




Apabila tengok gambar kenangan kami bersama-sama patung-patung lilin keluarga Diraja Britain, rasa bercampur baur. Ada masa saya ikuti juga kisah-kisah hidup anak Mendiang Lady Diana ini kerana ketika hayatnya, saya menyukai personaliti Lady Diana. Sejurus selepas pengumuman, Putera Harry 'tinggalkan' kerabat Diraja Britain, Madame Tussauds sudah alihkan patung lilin Duke & Duchess of Sussex ini. Drastik bukan. Inilah kehidupan.




Kami keluar dari Madame Tussauds lebih kurang pukul 5:00 pm. Hari telah gelap sepenuhnya seumpama malam. Badan pun sudah letih. Pada mulanya, hendak semak baki Oyter Card masing-masing tapi punyalah ramai orang di Marble Arch Station, sampai tak boleh bergerak. Hendak masuk jauh sekali dan hujan pun mulai turun. Anak bongsu sudah merenggek-rengek, mengantuk. Kesudahannya terpaksa cari teksi. Harga teksi, hmmm... tapi inilah kehidupan.

Sambungan UK Trip London Part II: Edisi Menghabiskan Duit dan UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman akan menyusul. Tungguuu...

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...