Skip to main content

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain, The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana.

Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan Barcelona. Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya, 


Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester?
Hari ke 7 (2 Disember 2019)

Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak kerana tak berpeluh. Bagaimanapun ketika bermain dan berjalan dalam hujan di taman, pakaian jadi kotor. Dalam keadaan berhujan dan dikhutari pakaian tercemar oleh lecak, najis burung dan lain-lain haiwan 'jinak' di sekitar taman. Terutama anak yang yang kecil itu, sesuka hatinya berlari ke sana sini, meredah taman.

Saya basuh di apartment sebelum keluar berjalan-jalan semalam tetapi pakaian tidak kering sebagaimana yang saya harapkan. Barangkali kerana saya yang tak pandai menggunakan dryer itu. Hendak tak hendak terpaksalah kami ke kedai dobi kepunyaan seorang perempuan Russia berdekatan dengan apartment. Kedai yang diperkenalkan oleh seorang kawan yang asyik berulang ke kedai dobi kerana tak bawa banyak pakaian. Selesai urusan kami bersiap untuk bertolak ke Manchester pula. Alhamdulillah, tak lari dari jadual cuma padan muka saya, beg penuh. Sepatutnya saya mesti pastikan kami bawa pakaian untuk 3 hari terakhir sahaja. Beg pakaian yang lain patut tinggalkan sahaja di London. Ada seorang kawan mempunyai apartment di sini. Kami tumpangkan barang-barang di rumahnya dan sepatutnya bawa sekadar yang perlu sahaja ke Manchester dan Liverpool.


Selesai sarapan kami bersiap untuk bertolak ke Manchester. Rombongan kami terpaksa berpecah. Tak muat untuk naik dua buah kereta. Naik kereta jadi kemestian kali ini kerana selain daripada beg-beg pakaian, ada stroller dan car seat serta booster. Leceh nak angkut turun naik tube. Mana nak kepung anak-anak lagi kan.



Rombongan yang naik tube tiba lebih awal berbanding kami yang naik kereta. Efisyen kan. Walaupun bertukar tube untuk sampai ke stesyen. Malah ketika di sini beberapa kali juga, kami terserempak dengan guru-guru yang membawa rombongan anak-anak sekolah dengan hanya menaiki bas awam. Kalaulah di Malaysia, pengangkutan awamnya sebegini pantas dan mudah, rela saya tidak memandu. Saya memang tak suka memandu.

Kami bertolak dari London ke Manchester dengan keretapi dari Euston Station. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam. Sepatutnya kami sudah boleh mengambil kereta yang disewa sebaik tiba di Manchester Piccadilly. Tapi kereta sewa itu hanya boleh diambil pada lewat petang dengan caj sehari. Menyalahi kontrak yang telah dipersetujui dan kerugian di pihak kami. Lain ceritanya kalau caj dikurangkan. Lewat petang kebanyakkan tempat yang hendak dilawati pun sudah tutup. Waktu siang telah menjadi lebih pendek menjelang musim sejuk. Inilah yang dinamakan situasi tak dijangkakan. 

Oleh itu, jadual perjalanan ke Old Trafford yang sepatutnya pada sebelah petang dibatalkan. Sebaliknya kami menaiki teksi ke Al Jazeera di Wimslow Road untuk makan malam. Berdekatan dengan kawasan The University of Manchester. Al Jazeera ini terkenal di kalangan orang Malaysia. Malah jika anda beritahu dari Malaysia, minuman teh yang anda pesan, tidak perlu dibayar. Sudah tentu pelajar-pelajar dari Malaysia yang agak ramai di sini telah membawa nama Malaysia dengan baik sekali. Terima kasih warga Malaysia yang menjujung budi walau di mana berada. Berselera  kami makan sebab kelaparan.


Al Jazeera terletak di seberang jalan dengan betul-betul berhadapan dengan Moonlight. Anak sulung kami diraikan dengan ais krim di Moonlight. 



Lewat sehari sambutannya kerana agak sukar mencari pencuci mulut seperti kek atau ais krim yang halal dengan harga berpatutan di tempat yang kami lawati semalam. Istimewa sambutan hari lahir yang ke 13 dengan menikmati ais krim dalam cuaca yang sejuk. Suami beli sharwarma di Al Zain Sharwarma untuk kudapan malam. Sedap sharwarma di sini. Kedainya no 75, bersebelahan sahaja dengan Moonlight.


Kami ambil kesempatan membeli coklat di Poundland di Hathersage Road. Kalau tengok dalam peta, nama jalan berbeza-beza tapi sebenarnya sederet sahaja dengan Moonlight. Cuma dipisahkan oleh lorong-lorong jalan. Barang-barang yang dijual di Pondland serendah £2.00. Maggi macam-macam perisa pun ada dijual di sini. Inilah satu-satunya produk buatan Malaysia yang berjaya dijejaki. Jangan lepaskan peluang beli coklat lebih murah. Lebih murah berbanding beli di lapangan terbang. Sederet dengan Poundland ini ada Subway dengan logo halal. Kalau teringin boleh beli. Pilihan makanan halal, mudah di sini.


Sebelum balik, kami naik teksi dan singgah ke Hard Rock Cafe di Exchange Square. Kami balik ke hotel berjalan kaki sahaja sebab tak begitu jauh pun. Menelusuri Christmas Market dan Ice Village sepanjang perjalanan balik di Cathedral Garden. Salji belum turun tetapi boleh sahaja main luncur ais jika mahu tetapi anak-anak terutama yang kecil sudah keletihan. Balik hotel, caj tenaga untuk esok.

Hari ke 8 (3 Disember 2019)

Acara masak memasak tidak berlaku lagi kerana kami menginap di hotel sepanjang di Manchester. Sarapan hari ini ringkas sahaja dengan pilihan makanan terhad di hotel. Sebetulnya saya sudah mula kurang sihat ketika sampai ke Manchester. Hidung tersumbat. Tekak rasa perit. Berdoa banyak-banyak supaya kekal sihat untuk baki beberapa hari sahaja lagi sebelum pulang. Saya akui saya sendiri memang tak tahan dengan kesejukkan. Malah apabila air cond di pejabat ada harinya tiba-tiba menggila, saya bersarung tangan buat kerja. Peduli apa orang nak kata kan. Ketika di Bologna, Itali berlapis-lapis baju pun, saya masih mengigil-gigil padahal orang lain elok sahaja.

Jujurnya saya lebih bimbangkan anak-anak, sebelum bertolak ke sini. Diam-diam saya ke Uniqlo beberapa hari sebelum bertolak dan belikan masing-masing baju panas tambahan. Tambahan pula pengalaman sepupu, anak-anaknya tidak mahu keluar hotel kerana tak tahan dengan cuaca yang sejuk. Alhamdulillah anak-anak kami sihat dan cuaca yang sejuk ini tidak menggangu. Malah mereka rimas apabila disuruh memakai pakaian berlapis-lapis. Cukup pakai dua lapis sahaja. Baju panas mereka pegang sahaja. Apabila mereka rasa betul-betul sejuk atau kena paksa, barulah mereka sarung. Hmmm... 



Apa yang ditunggu-tunggu anak-anak bujang saya sudah tiba. Pagi-pagi lagi kami sudah tercegat di hadapan Old Trafford.  Kami antara pengunjung terawal. Puas bergambar. Beli sedikit cenderamata, tanda kenangan. Pengawal keselamatan menegur rombongan kami, "Malaysia?" Tak lama kemudian ada beberapa rombongan lain dari Malaysia, kelihatan. Stadium Old Trafford pun semakin ramai pengunjung. Ramai peminat Manchester United. Gembira melihat orang Malaysia di tempat orang.


Dari Old Trafford kami ke Etihad Stadium. Inilah Etihad Stadium bagi pasukan Manchester City.


Ingat tak Manchester City pernah datang ke Malaysia pada tahun 2012 untuk perlawanan persahabatan? Pasukan negara kita kalah 1 -3. Bagaimanapun nama Malaysia turut tersenarai di luar Etihad Stadium. Tajam betul mata anak bujang. Beriya dia beritahu kami semua.

Sekali lagi rombongan kami berpecah. Ada satu rombongan tidak berminat menjelajah stadium. Benar minat seseorang itu tidak sama. Walaupun kami sama-sama punya dua orang anak bujang. Mereka lebih berminat ke taman permainan. Kami meneruskan perjalanan ke Liverpool dan bagi menjimatkan masa, kami makan tengah hari yang ringkas di dalam kereta sahaja. Beli burger dan air. Mewah dengan chips. Jadual hari ini padat kerana situasi semalam. Lebih kurang sejam kami sampai di Liverpool.


Inilah dia kebanggaan peminat pasukan Liverpool yang mengakhiri kemarau 30 tahun dengan bergelar juara Liga Perdana Inggeris. Dari jauh lagi sudah gah wajah Mohammed Salah di Anfield. Anfield merupakan stadium ke 6 terbesar di United Kingdom.


Sama seperti di Old Trafford, Anfiled menerima kunjungan peminat yang tak putus-putus. Rombongan dari Malaysia juga ramai. Sementelah cuti sekolah kan. You'll Never Walk Alone mengalu-alukan kedatangan anda di sini, siapkan duit sahaja. 


Stadium terakhir, Goodison Park. Stadium untuk kelab bola sepak, Everton. Sepanjang perjalanan dengar perbualan anak-anak bujang tentang kelab-kelab bola sepak ini. Pemain-pemain setiap kelab. Alhamdulillah termakbul hajat bawa mereka ke sini.



Cheshire Oaks Designer Outlet, destinasi akhir untuk hari ini. Setengah jam sahaja dari Goodison Park. Outlet membeli belah yang sangat luas dan besar. Sempat juga membandingkan harga sebelum dan selepas Black Friday.


Memang ada ketara perbezaaannya bagi sesetengah outlet contoh, Coach. Ketika Black Friday diskaun ditawarkan sehingga 80%. Kami lebih banyak window shooping di sini. Geram sangat tengok peralatan memasak. Kuali, periuk, cantik-cantik belaka. Alahai, mampu tengok dari jauh sahaja.

Anak-anak tetap anak-anak. Mana betah mereka keluar masuk sekadar memerhati emak dan ayahnya membelek barang. Nampak taman permainan mini mereka kegirangan dan tidak lepaskan peluang bermain walaupun hari sudah mula gelap. Terasa benar siang yang pendek. 


Sebelum balik sekali lagi singgah ke Wimslow Road membungkus makan malam. Kali ini makan ayam goreng pula. Tidak dilupakan, nasi. Mana boleh tinggal nasi lama-lama hahaha

Hari ke 9 (4 Disember 2019)


Kesempatan yang sangat baik untuk anak-anak kerana kami menginap di Travelodge Manchester City Arena kerana berdekatan dengan National Stadium Museum. Pemilihan menginap di sini pada asalnya disebabkan oleh ianya berdekatan dengan tempat parkir kereta yang luas dan bersebelahan pula dengan tempat penyewaan kereta. Tapi itulah kita cuma mampu merancang tetapi bukan sebaik-baik Perancang. Rombongan berpecah kepada tiga. Dua rombongan memulangkan kereta sewa dan kemudian bersiar-siar di tengah-tengah bandar Manchester. Lagi panjang langkah mereka sebenarnya.


Kami pula cuma berjalan sekitar Cathedral Garden sebelum pergi ke National Stadium Museum. Pada pukul 12:00 pm, kami bertolak ke Manchester Piccadilly untuk ke London dengan keretapi.  Keretapi agak sesak dengan penumpang. Sampai di London hari sudah gelap. Kami naik teksi pula untuk ke tempat penginapan di Greenwich. Terasa jauh benar perjalanan untuk sampai ke Greenwich. Pusing sana, pusing sini, tak sampai-sampai.

Hari ke 10 (5 Disember 2019)

Kali ini kami menginap di Travelodge Greenwich Highroad. Pagi selepas sarapan ringkas (lebihan makan malam) kami berjalan kaki ke Pasar Greenwich. Pasar ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Greenwich Antique Market dan Greenwich MarketGreenwich Antique Market


Mungkin sebab terlalu awal, belum banyak gerai yang dibuka di Greenwich Antique Market. Kebanyakkan gerai menjual barang-barang antik dan vintage. Pasar dibuka pukul 10:00 pagi. 



Kami singgah pula ke Greenwich Market. Ada cerita sebenarnya disebalik gambar pintu gerbang ini. Asalnya saya bersusah payah hendak mengambil gambar kami sekeluarga. Gelagat saya diperhati dan ditertawakan oleh seorang wanita pertengahan umur yang sedang merokok di situ. Tapi saya tak kisah pun. Selesai merokok, wanita itu menawarkan diri untuk mengambil gambar kami sekeluarga. Beria-ia tau saya tersenyum. Dalam hati berangan, mesti cantikkan gambar penuh berlatar belakangkan pintu gerbang ini. Alih-alih selepas ucap terima kasih padanya, kecewa betul saya melihat hasilnya. Anak-anak gelak. Ya, memang patut pun. Tak mengapalah. Saya hargai niat baiknya membantu. Inilah hasilnya. Gambar yang beliau ambil.  Saya abadikan di sini. Bukan gambar kami sekeluarga, harap maklum.


Berbalik ke Pasar Greenwich. Tak jauh beza dari segi barang-barang yang dijual di Greenwich Antique Market, cuma lebih luas dan pelbagai. Lebih kurang macam pasar karat di Malaysia. Pasar ini difahamkan telah dibuka sejak kurun ke 18 lagi. Perhiasan untuk sambutan Hari Natal juga dijual di merata-rata tempat. Dalam gambar ini, perhiasan yang dijual di kaki lima jalan.


Ada pelbagai jenis makanan dijual di luar pasar. Ada gerai menjual makanan halal Jepun. Kami beli Ayam Teriyaki dan nasi. Sedap juga. Deretan kedai makanan halal juga ada di sekitar Greenwich. 



Sempat juga kami singgah di 
Cutty Sark dan Old Royal Naval College melihat pameran barang bersejarah.


Cutty Sark ini dibina pada tahun 1869 di Scotland dan sudah berada di Greenwich sekitar tahun 1950an. Ada bayaran dikenakan untuk masuk ke Cutty Sark tetapi tiada bayaran untuk melawat sekitar Old Royal Naval College. Berjalan terus ke hadapan pula akan jumpa dengan Greenwich Foot Tunnel. Boleh menelusuri terowong sepanjang 370 meter ini untuk bergambar kenangan.



Kami juga sempat luangkan masa di Greenwich Book Time salah sebuah kedai buku di situ. Dapat beli buku-buku kanak-kanak dengan harga yang cukup murah. Alhamdulillah. Tuan punya kedai beritahu, beliau selalu berulang alik ke Malaysia terutama ketika KLIBF dan membekalkan buku di MPH.



Minat membaca kini tak boleh disandarkan pada buku fizikal semata-mata. Ada banyak bahan bacaan kini dalam bentuk digital. Buku boleh dibaca menerusi telefon bimbit sahaja. Mudah dan ringan. Pun begitu, saya lebih konvensional yang menyukai buku fizikal. Lain keistimewaannya.

Sebetulnya yang paling mendebarkan sepanjang percutian kali ini adalah kami hampir terlepas penerbangan balik. Kesesakkan jalan. Ada jalan yang ditutup. Jadi ada antara kami yang masih belum sampai di hotel. Ketika kami mengitari Greenwich Market, tidak semua dalam haluan yang sama. Sepatutnya pukul 2:00 petang kami sudah bertolak ke London Hathrow. Namun kami terlewat dan terus terperangkap dalam kesesakan. Sebagaimana ada tinggal di Senawang tetapi bekerja di Kuala Lumpur, begitu juga keadaannya di sini. Kami sedang terperangkap dalam kesesakan lalulintas bersama-sama mereka  yang sedang dalam perjalanan pulang dari kerja dan jemput anak dari sekolah.



Kesesakkan jalan memang meresahkan. Salah seorang ahli rombongan sepatutnya ke Scotland. Mujur penerbangannya tertunda. Bagaimanapun bagasinya terpaksa diusung. Jika tidak terpaksa beli tiket penerbangan baharu. Tuntutan VAT, beliau lupakan sahaja. Sementelah kereta yang membawa beliau adalah yang terakhir tiba diantara kami. Meskipun bertolak lebih awal berbanding kami kerana kami tidak mahu beliau terlepas penerbangannya. 

VAT. Semua maklumat kami telah lengkapkan ketika di hotel. Barisan ketika itu tidak panjang. Bagaimanapun sebelum buat tuntutan mesti melalui pekerja di kaunter kecil ini. Tanpa disangka beliau minta untuk melihat semua barangan yang telah dibeli untuk memastikan tuntutan yang dibuat. Oh, tidak!


Masalahnya rombongan kami berpecah kepada dua. Sebuah lagi kereta masih belum sampai. Bukan sahaja ada beg-beg kami di dalam kereta yang sebuah lagi tetapi kedua-dua orang anak bujang kami. Resah saya. Saya, suami dan anak dara kami sudah selamat sampai tetapi nasib anak-anak dan kawan-kawan kami belum tahu. Selagi semua tidak berkumpul, selagi itu hati tidak tenang. 

Suami pun sudah mula tak senang duduk. Sebelum ini, beliau tiada masalah membuat tuntutan. Seboleh-bolehnya kami tidak mahu membazir masa dan menguruskan apa yang boleh. Sebaik kereta sebuah lagi selamat sampai, kami bergegas beratur kembali tetapi beliau tidak berminat pula untuk memeriksa barangan kami. Lembut suaranya minta saya alihkan semua beg-beg kami ke tepi. Aduhai! Namun pengalaman kami ini jadikan pengajaran. Sama ada mahu tengok atau tidak, itu bukan pokoknya. Sediakan payung sebelum hujan. 


VAT - Tuntutan cukai

Pastikan semua maklumat telah dilengkapkan

Kebiasaannya ramai yang buat tuntutan dn barisan agak panjang

Pastikan barang-barang yang kita sudah beli ada dalam beg yang sama atau senang dicari. Walaupun barangan itu cuma diminta tetapi akhirnya tidak diperiksa pun.

Pastikan bawa tiket penerbangan pulang bersama ketika membuat tuntutan


Masa sudah sangat suntuk dan umat manusia ditakdirkan sangat ramai. Pintu masuk terdekat pula ditutup kerana terlalu ramai orang. Mahu tak mahu kami terpaksa berlari ke pintu yang lain. Jujur rasanya pada ketika itu, jantung hendak terkeluar dari badan. Kami sekeluarga merupakan penumpang terakhir masuk ke dalam perut kapal terbang. Alhamdulillah. Mujurlah.

Berakhir cerita jalan-jalan makan angin di beberapa tempat di UK: 



Insyaallah panjang umur, murah rezeki akan mengulang datang. Paling penting wabak penyakit COVID 19 tidak lagi berleluasa sebagaimana sekarang di mana-mana sekalipun di dunia ini. Tidak ada keseronokkan bercuti jika kesihatan dan nyawa jadi taruhan. 

United Kingdom. Ada beberapa tempat memang hendak diulang jejak. Ada beberapa tempat tak sempat hendak dijejak. Semoga ada kesempatan dan dipermudahkan, aamiin.

 

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...