Skip to main content

Faisal Tehrani

Faisal Tehrani. Bukan nama sebenar. Nama sebenarnya adalah Mohd Faizal Musa. Sekarang bergelar Dr Haji Mohd Faizal. Dalam beberapa majalah ada menyebut, penglibatannya dalam dunia penulisan bermula dengan menulis di dalam Dewan Siswa. Ya, saya kenal Nisah Haron, Amaruszati Noor Rahim, Mawar Shafei, Hizairi Othman (masih menjadi tanda tanya, di manakah beliau sekarang?) juga daripada majalah yang sama. Ini semua bakat yang dicungkil dalam Minggu Penulis Remaja. Namun waktu itu, nama Faisal Tehrani tidak begitu menonjol. Malah ketika itupun rasanya, beliau tidak menggunakan nama Faisal Tehrani. Tidak seperti sekarang. Tidak hanya cerpen, malah novel, kumpulan puisi malah drama teater juga beliau arahkan menjadi bualan ramai.

Karya beliau yang pertama saya baca adalah Cinta Hari-hari Rusuhan. Ketika itu, saya sudah muak membaca novel Melayu. Jalan cerita mudah ditebak. Mengulang inti pati yang sama bagi saya sudah basi. Ketika itu, jika saya membeli novel saya akan pastikan yang novel tersebut mestilah karangan penulis tersohor. Supaya saya tidak rasa tertipu. Mengeluarkan sejumlah wang tetapi tidak berbaloi! Kebanyakan koleksi kemudiannya beralih kepada penulis dari seberang. Prof Dr Hamka misalnya.

Sejurus kemudian ketika melalui deretan kedai buku di Jalan TAR, saya terpandang sebuah buku yang sudah lusuh. Bukan lusuh kerana terpakai tetapi lusuh kerana lama tersimpan. Tiada pembeli. Menarik minat saya tentunya kerana nama penulis yang tertera : Faisal Tehrani. Itulah novel termurah beliau yang pernah saya beli : Perempuan Politikus Melayu. Tidak sampai sepuluh ringgit! Peminat tegar Faisal Tehrani, janganlah bersedih. Memang harga buku itu murah tetapi nilainya sangat tinggi.

Besar peranan nama seseorang. Oleh kerana tulisan di dalam majalah EH!, maka saya beli majalah itu. Teman serumah ketika itu pelik. Saya bukan jenis bergaya, berfesyen bagai tetapi menatap majalah EH! Apabila saya katakan saya beli kerana hendak membaca novel bersiri Faisal Tehrani dan tulisan Saharil Hasril, dia tambah pelik. Pun begitu sebenarnya saya tidak begitu gemarkan novel bersiri tersebut, Jendela Berlangsirkan Hujan (tajuknya suka). Gaya hidup moden atau sekular walaupun salah satu watak utamanya kemudiannya berubah lebih Islamik. Sangat berlainan dengan apa yang beliau tulis sekarang. Apabila beliau menulis novel Tunggu Teduh Dulu di dalam akhbar Utusan, juga saya beli, baca dan buat keratan. Tambahan pula di tempat saya mencari rezeki ini, novel tidak boleh sama sekali dijadikan koleksi.

Ketika novelnya 1511(Kombat) dinobatkan pemenang pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 bagi kategori remaja, saya sebetulnya diundang juga ke majlis tersebut. Seseorang di Kumpulan Utusan mengenali saya menerusi urusan kerja yang menjemputnya. Saya teruja namun apa kan daya, undangan tersebut terpaksa saya tolak. Sebabnya tak perlulah dinyatakan di sini.


Hari ini, kebanyakan novel karangan beliau sudah saya miliki. Bagaimanapun saya hanya berjaya mendapatkan tandatangan beliau untuk novel sebuah ini sahaja : Manikam Kalbu. Dua kali bertembung dengan beliau di Pesta Buku, hanya pada hari itu sahaja saya punya keberanian menegur beliau dan meminta tanda tangannya.  Aha novel ini jadi teks wajib di Jerman. Tidakkah kita sebagai saudara seagama dan sebangsa dengannya menumpang rasa bangga?

Sesal sedikit kerana ada beberapa buah novel karya beliau yang dipinjamkan kepada orang tetapi tidak dipulangkan semula. Saya tidak tahu bagi orang lain, bagi saya buku-buku ini semua khazanah saya. Nilainya tinggi. Inilah warisan buat generasi akan datang. Saya pilih yang baik-baik buat rujukan hari muka. Sejarah jika kita abaikan, nescaya akan kita ulang semula.



Selain novel karangannya, saya ikuti juga tulisan beliau di blog. Membaca tidak bermakna kita bersetuju seratus persen apa yang diutarakannya. Namun saya tidak menolak banyaknya maklumat di dalam blog kepunyaannya. Saya melihat Dr Faisal sebagai penyampai maklumat juga. Bacalah hasil karangan beliau. Selain menyampaikan syariat, beliau menyelitkan maklumat dan ilmu lain, tentang sejarah bangsa, sejarah tanah air, tentang pokok betik, khasiat dan kegunaanya, tentang pakaian, tentang adab dan lain-lainnya. Penuh harapan. Harapan melihat anak seagama dan sebangsa berubah dan maju. Bacalah dan anda akan mengerti. 

Dalam entri terakhirnya, beliau menyatakan untuk mengudurkan diri dari dunia blog tetapi mengizinkan entri terdahulu di dalam arkib untuk dibaca. Malangnya, blog itu padam terus. Tidak pasti sebab musababnya.

Rasa kehilangan. Bahan bacaan memang banyak. Tinggal pilih sahaja. Kehilangan sumber bahan bacaan bermaklumat. Itu yang membuatkan hati terkilan.

Barangkali beliau akan kembali. Siapa tahu?

Comments

  1. Saya juga salah seorang peminat Faisal Tehrani. Sekarang sedang membaca Tiga kali seminggu.

    Selamat berkenalan :)

    ReplyDelete
  2. Selamat berkenalan. Terima kasih sudi singgah ke sini. Saya belum ada kesempatan membaca tiga kali seminggu lagi. Sedang mengulit Surat Perempuan Johor

    ReplyDelete
  3. tak nak jual ke perempuan politikus?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Encik Abrar Sabawi, tidak. Saya tak nak jual. Minta maaf ya.

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang