Perkara yang saya paling takuti itu terjadi juga. Lebih kurang pukul 11:00 pagi ketika kami sekeluarga sedang melihat gambar-gambar kenduri, Adik Ngah di atas dukungan saya tiba-tiba terkulai. Mata hitamnya tegak ke atas. Kedua belah tangannya digenggam kuat. Muka Adik Ngah pucat. Mujur Mak Ayah belum lagi bertolak balik. Mak cadang hendak ikut kami ke klinik kerana lututnya sangat sakit. Mak, Ayah dan adik lelaki bongsu ambil alih usaha memulihkan Adik Ngah. Baju Adik Ngah dibuka. Mak jelum kepala dan seluruh badan Adik Ngah dengan air. Walaupun Adik Ngah diserang fit tidak sampai 10 minit, saya rasa sangat-sangat gusar dan sedih. Mengenangkan sekali diserang fit, Adik Ngah berkemungkinan akan diserang fit lagi. Sekiranya berterusan sehingga umurnya enam tahun, penyakit ini akan kekal sehingga dewasa. Hati mana yang tidak rungsing.
Saya memang sedari awal pagi memaklumkan suami, saya mahu Adik Ngah dibawa ke klinik. Tertangguh sebab melepaskan dulu keluarga mertua bertolak balik ke Kelantan dan urusan khemah yang belum selesai. Demam Adik Ngah sejak semalam tidak kebah walaupun telah makan ubat. Ubat demam Adik Ngah juga sudah tinggal sedikit. Kebiasaannya Adik Ngah cuma demam sehari sahaja. Biasanya walaupun demam Adik Ngah cuma meragam di waktu malam kerana tidak dapat tidur. Kali ini ragamnya juga lebih daripada biasa. Rupa-rupanya, ini yang akan terjadi.
Kami bergegas ke klinik walaupun urusan khemah masih belum selesai. Doktor di klinik menyarankan kami ke klinik lain atau mana-mana hospital kerana tiada ubat sesuai untuk Adik Ngah di klinik. Ubat ini ubat kawalan. Lebih membimbangkan saya demam Adik Ngah menurut doktor tidak terlalu tinggi untuk mendapat serangan fit. Menyedihkan kerana langsung tidak mesra alam, doktornya. Suami ke farmasi tetapi ubat yang dinyatakan doktor itu adalah ubat dalam kawalan. Tidak boleh dijual sebarangan.
Kami ke Hospital Tawakal. Hospital terdekat dengan rumah. Rezeki Adik Ngah, di klinik dan hospital memang tidak ramai pesakit. Layanan di Hospital Tawakal jauh lebih baik lagi. Doktor dan jururawat memberi penerangan dengan lebih lanjut. Ubat demam mesti diberi setiap empat jam. Sekiranya diserang fit, ubat untuk fit mesti diberi (doktor cuma beri satu). Selepas beri ubat terus bawa ke hospital. Bagi suami dan pembantu kami, ini pengalaman pertama melihat serangan fit. Saya sudah pernah beberapa kali dan setiap kali melihat, saya orang yang paling takut dan panik. Sekarang saya mesti lebih kuat dan berani. Air mata saya tidak akan dapat menolong Adik Ngah.
Hari ini, Adik Ngah kembali demam. Walaupun tidak begitu panas tetapi saya tidak dapat tidur sama sekali. Saya sangat bimbang. Bimbang serangan fit ketika Adik sedang tidur. Semua itu tidak mustahil. Adik nampak aktif walaupun demam berbeza betul keadaannya dengan semalam. Ya Allah yang Maha Penyayang, sembuhkanlah anakku. Pulihkanlah kesihatannya. Amin.
Comments
Post a Comment