Skip to main content

Kenapa Perlu Anak Mengenali Haiwan?

Anak-anak suka haiwan?

Ke mana pilihan anda membawa anak mengenali haiwan?

Suka tak pergi zoo?

Agak-agak ingat lagi tak memori masa kecil-kecil, pergi ke zoo dengan keluarga?

Ada orang pergi ke zoo mengikut rombongan sekolah. Memori zaman kanak-kanak saya ke zoo di bawa ayah dan emak bersama dengan adik-adik. Zoo Negara di Kuala Lumpur dan Zoo Taiping. Ayah memang suka pergi ke zoo. Saya merupakan anak pertama dikalangan adik beradik yang telah berkeluarga. Sebaik sahaja anak-anak pandai berjalan, ayah terus mengusulkan kami ke zoo. 

Kenapa perlu bawa anak ke zoo? Kenapa perlu anak mengenali haiwan?

Boleh baca sudut pandangan Puan Laili dalam Majalah PaMa, Lagi Awal Usia Anak di Bawa ke Zoo Lagi Berkembang Otak Anak.  Boleh juga baca 10 Sebab Anak Perlu Pergi ke Zoo.

Interaksi anak-anak dengan haiwan sangat penting dalam membantu mereka membina deria hubungan, empati dan penyayang. Menimbulkan sifat rasa tanggung jawab dan ingin tahu yang menebal dalam diri. 

Ada yang kata tiket masuk ke Zoo, agak mahal. Ya, betul. Bukan semua orang berkemampuan. Murah pada kita tak semestinya murah pada orang lain. Penjagaan haiwan memang memerlukan belanja yang besar. Ada juga yang kecewa kerana dikatakan zoo sudah tidak semeriah dahulu. Ya, barangkali. Terakhir kami ke Zoo Negara pada Mei 2022. Bagaimanapun ada beberapa perubahan terutama tarikan kepada Pak Belang. Kali ini pengunjung boleh melihat Pak Belang sepuas hati dan sedekat mungkin berbanding pada beberapa tahun kebelakang. Hanya boleh lihat sayup-sayup sahaja.


Alternatif lain. Kita boleh mulakan dengan bawa anak ke Pet Shop. Saya memang sarankan kepada staf bawa anak mengenal haiwan. Pergi pet shop pun jadilah. Masuk pun percuma. Cuma haiwan terhad kepada haiwan peliharaan. Kalau kedai itu besar, ada macam-macam pilihan selain ada kucing, burung dan anjing. Mungkin ada kura-kura, ikan, iguana, anak-anak masih memerhati dan belajar habitat haiwan.

Boleh juga ke mana-mana Petite Zoo. Ada banyak Zoo Mini di serata negara sekarang. Harga tiket mungkin sedikit murah berbanding zoo sebenar. Bagaimanapun sebagaimana namanya mini maka harapan memperkenalkan anak-anak dengan haiwan buas seperti gajah, singa barangkali agak rendah. 

Namun ada tempat-tempat yang khusus untuk satu-satu jenis haiwan contohnya, gajah. Kami pernah bawa anak-anak ke Kuala Gandah semata-mata hendak mengenalkan anak-anak kepada mamalia terbesar di darat ini. Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan. Saya memang menyimpan hasrat ke sana lagi. Sementelah anak yang bongsu masih belum berpeluang ke sana kerana kami sedikit terlewat dari perjumpaan keluarga di Pahang dan hanya sempat ke Deerland sahaja. Ada banyak maklumat tentang gajah selain daripada memperkenalkan anak dengan haiwan ini. Tidak jauh dari situ ada mini zoo, Deerland Park. Kami pernah ke sana dua kali. Oleh kerana namanya Deerland, haiwan yang paling banyak tentulah rusa. Pelbagai spesis. Boleh beri makan ubi keledek kepada rusa-rusa ini. 

Sesetengah tempat percutian dalam negara menawarkan alternatif seperti Bukit Merah Laketown Resort. Selain ada taman tema air, ada Pets Park. Kami pernah beberapa kali ke sana dan pada ketika itu berpeluang untuk pergi ke Pulau Orang Utan juga. A'famosa Resort juga menawarkan Safari Wonderland kepada pengunjung. Boleh juga ke Legoland, ada Sea Life Aquarium. Lost World of Tambun juga ada Petting Zoo dan Tiger Valley. Ya, ada banyak pihan dengan ukuran perbelanjaan di tangan kita. Ada kala ada promosi yang diadakan oleh pihak pengurusan yang membolehkan kita membawa anak-anak bercuti dan mengenali haiwan dengan lebih dekat lagi.

Kami berkesempatan pergi ke Taman Burung Kuala Lumpur ketika promosi hujung tahun 2020. Tempoh PKP buat anak-anak berkurung sepenuhnya di rumah. Walaupun kes COVID 19 negara ketika itu masih belum begitu baik, peluang kecil yang diberikan kerajaan dimanafaatkan sepenuhnya dengan membawa anak-anak keluar dari 'tempat kurungan' sementara sekejap. Mereka perlu juga riadah. Hendak bawa balik kampung risau risiko kepada orang tua kami. Hendak melancong dalam negara pun agak sukar. Semua orang bertumpu ke Langkawi. Ada Langkawi Wildlife Park di Langkawi. Aquaria di KLCC juga khabarnya sendat padat dengan pengunjung.  Cerita sendat padat pengunjung ke sana sahaja sudah membuatkan rasa tak selesa. Jadi kami ke Taman Burung. Dekat dengan rumah dan tak perlu bersesak dengan orang ramai.  

Beri nafas baharu untuk anak-anak yang telah berkurung lama di dalam rumah. Pelbagai jenis burung kecil besar berwarna warni dari pelbagai negara dalam sangkar, yang jinak pun banyak berkeliaran di sekitar taman. Selain itu ada monyet. Aduh. Berhati-hati ya. Anak-anak berpeluang juga beri makan kepada burung-burung termasuk si burung unta. Si kakak ralit membaca segala informasi yang ada. Malah turut menerangkan kepada adik-adiknya misalnya tentang saiz otak burung unta lebih kecil daripada matanya. Semua jadi fokus kepada mata si burung unta.  



Dalam erti kata lain ada pilihan untuk kita membawa anak-anak mengenal haiwan secara langsung kerana salah satu sebabnya, sedar atau tidak haiwan telah diperkenalkan dari awal lagi kepada mereka. Jadi mengapa tidak kita dedahkan kepada mereka secara langsung, bagaimana rupa sebenarnya, apa warnanya, baunya, bunyinya serta habitatnya. 
 
#Buku Kanak-kanak

Buku kanak-kanak banyak yang menghubung kanak-kanak dengan haiwan. Rupa haiwan. Bunyi haiwan. Cerita dogeng haiwan. Sebenarnya kanak-kanak didedahkan dengan haiwan dari awal. Jadi mengapa tidak hubungkan dengan realiti. Sudah tentu dengan pengawasan orang dewasa. Tidak hanya mereka kenal haiwan melalui pelajaran Sains di sekolah. Tidak hanya mereka belajar kitaran hidup haiwan di sekolah. Mereka akan lebih faham sifat haiwan sama ada mamalia, amfibia dan sebagainya. 


#Hubung kait lagu kanak-kanak  

Lagu kanak-kanak kegemaran anak saya.

Gajah hidung panjang
Badan bulat besar
Kaki bagai tiang 
Dua telinga lebar
Telinga macam kipas 
Jalan lenggang lenggok
Gajah tidak malas
Kuat tolak pokok

Lagu kanak-kanak ada berkait dengan nombor, haiwan, warna, bentuk dan lain-lain. Lagu yang kita dendangkan bersama dengan anak-anak, sambil kita buat gaya dan menari bersama mereka. Macam lagu gajah, selain dari tunjukkan gajah sama ada dalam gambar, buku atau television, saya hendak anak tengok gajah secara langsung. 

Kami nyanyi lagu gajah ini di hadapan kandang gajah di Zoo Negara. Bagi mesej pada anak, haiwan ini memang besar. Hidungnya memang panjang. Haiwan ini memang kuat.

#Hubungkait dengan sejarah atau peristiwa

Ketika anak-anak masih kecil ada satu tayangan kartun popular di Astro. Cerita sejarah negara jiran, Jumbo Gajah Biru. Cerita gajah perang. Sehingga hari ini anak-anak masih ingat lagi cerita itu.


Seperkara lagi anak-anak memang diceritakan dengan pelbagai kisah haiwan dalam Al Quran misalnya kisah tentera bergajah cuba menyerang Kota Mekah. Surah Al Fil merupakan surah yang selalu saya kisahkan kepada anak-anak. Alhamdulillah apabila di Tanah Suci Kota Mekah, anak-anak saya masih mampu mengingatkan dengan baik ketika ditanya oleh Mutawil, kisah Tentera Abrahah menyerang Kota Mekah dan Allah SWT turunkan Burung Ababil untuk mengagalkan serangan itu. Sudah tentu mereka belajar di sekolah juga dan ini membantu mengukuhkan pemahaman mereka.

#Hubungkait dengan peribahasa

Saya kaitkan juga dengan peribahasa, "Gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah". Terangkan maknanya. Tunjukkan pelanduk. Bandingkan saiz pelanduk dengan gajah. "Bangkai gajah tak dapat ditutup dengan nyiru". Mengapa? Nyiru itu apa? 



Bila mereka boleh gunakannya dalam ayat atau karangan? Zoo bukan hanya untuk anak-anak kecil. Zoo juga untuk anak-anak yang sedang meningkat usia. Pihak sekolah boleh usahakan untuk bawa anak-anak ke tempat-tempat seperti ini. Sekarang sememangnya Kidzania lebih mendapat tempat, zoo mungkin seperti tidak menarik tetapi percayalah ia pelaburan yang berbaloi. 

#Hubungkait dengan alam sekitar

Anak-anak akan lebih menghargai. Akan lebih megerti mengapa perlu ada kempen hadkan penggunaan plastik? Mengapa perbuatan buang sampah merata-rata itu tidak baik? Apa kesannya pada alam sekitar? Apa kesannya kepada manusia? Apa kesannya pada haiwan? Anak-anak akan memahami maksud kepupusan. Anak-anak juga memahami kempen menyelamatkan haiwan. Misalnya, Tapir. Mereka memahami maksud terancam. 


Bersebelahan dengan Batu Secret Zoo, Surabaya ada Museum Satwa. Pameran haiwan-haiwan diawet ada di dalamnya. Begitu juga muzium dalam negara  tetap ada juga pameran haiwan-haiwan yang telah diawet. Anak-anak dapat belajar dari semua ini, Insyaallah. 

#Beri anak-anak ruang bergerak bebas

Anak-anak di bandar. Ada antara kita tidak ada pilihan begitu juga anak-anak dengan kawasan rumah kecil dan pergerakan mereka terhad. Selain taman permainan, ruang luas untuk anak-anak bergerak bebas adalah di pantai dan juga tempat seperti ini. Bukan seperti dahulu, di kawasan perumahan ada yang membela ayam dan itik. Kini jika ia berlaku akan mengundang padah. Walaupun anda masih boleh lembu-lembu berkeliaran di kawasan Bandar Sentul. Apabila ke tempat seperti Mini Zoo atau Zoo, anak-anak berpeluang beri makan kepada haiwan  misalnya arnab, zirafah, kuda dan sebagainya. Ada juga peluang selain bergambar dengan haiwan, anak-anak boleh menunggang. Malah ada pertunjukkan haiwan. Bergantung pada tarikan yang ditawarkan oleh pihak pengurusan. Ada sesetengah Zoo menawarkan Night Safari. Pengalaman melihat habitat haiwan di waktu malam. 

#Kerjaya berkaitan dengan haiwan

Ada anak-anak, minat mereka dengan dunia haiwan sangat mendalam. Tidak salah untuk mereka tahu, minat boleh dikembangkan menjadi kerjaya.


Apabila bercuti kami cuba cari perkara-perkara yang boleh memberi keseronokkan kepada anak-anak. Anak-anak kecil lebih tertarik dengan aktiviti fizikal dan haiwan. Jika ke pantai, ketam yang mereka cari. Mereka teruja jika nampak biawak yang besar cuba melarikan diri ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Habis ayam itik bertempiaran lari dikejar. Mereka bersorak bersama-sama dengan lembu-lembu yang meragut rumput di padang. Ketika di Surabaya mereka tarik muka kerana kami menolak untuk mengunjungi Zoo Surabaya. Pada hal semalamnya kami baharu sahaja meneroka Batu Secret Zoo. 

 
Kadang kala bukan hanya keseronokkan sahaja yang kita dapat tetapi pengalaman dan pengetahuan yang berharga. Kita mahu bina genarasi yang lebih baik untuk masa hadapan, Insyaallah.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...