Skip to main content

Roti, Kenangan dan Kudapan Malam Roti Bakar Pisang

Harga roti Gardenia naik. Gardenia jenama roti yang agak popular di kalangan rakyat Malaysia. Bayangkan ketika PKP pertama kali diumumkan Mei lalu, bekalan roti Gardenia laku keras. Habis di pasaran. Bahkan ada kes lori roti Gardenia dirompak. Penangan Gardenia. Jadi apabila harga roti Gardenia sudah naik, apakah akan mempengaruhi permintaan terhadapnya?  

Saya masih ingat waktu saya kecil ada jenama roti, Peladang. Emak selalu beli.

Roti bukan makanan kegemaran cuma seingat saya, roti selalu jadi ganti nasi atau makanan berat dan pilihan saya untuk berjimat. Ketika zaman belajar di universiti memang sebuku roti akan digandingkan dengan bekalan serunding atau setin kecil tuna jadi ganti hidangan berat. Tak kira sebelah malam atau siang. Paling haru jadi santapan apabila duit belanja betul-betul kering, alas perut dengan dua ketul bun sekali makan. Saya beli sebungkus roti bun (kebiasaannya 6 ketul sebungkus). Roti bun manis atau roti bun perisa coklat atau kacang merah. Dapat tiga kali makan. 

Ketika kawan-kawan pergi makan di kafetaria, saya duduk di celah-celah tembok makan roti. Harga makanan di kafetaria ketika itu mahal. Hendak mencari pilihan yang lebih murah, kelas padat atau memang ketika itu betul-betul nazak. Tak berduit. Duit pinjaman belum masuk. Kalau ada pun duit ketika itu diutamakan untuk beli buku atau kegunaan belajar. Kawan-kawan tak tahu pun, saya cuma makan roti. Ada duit lebih sikit saya beli nasi dengan kuah dan seketul begedil untuk lapik perut. Bukan salah mereka, saya tak pernah bercerita. Meminjam bukan amalan saya. Apa yang dapat dibuat cuma bertahan. Walaupun Emak selalu pesan jangan tahan perut tapi ini pilihan saya. 

Asam garam hidup. Kenangan zaman belajar. Zaman jauh daripada Emak Ayah. Zaman susah. Tak ada rasa sedih pun cuma teringat sahaja. Alhamdulillah masih cukup makan. Zaman belajar memang zaman berdikari pun. Bukan saya sahaja, orang lain pun sama kan.

Lagipun berjimat dengan roti bukan perkara baharu buat saya. Ketika sekolah menengah saya selalu memilih sebuku roti manis Shah Jahan yang berharga 10 sen atau 15 sen jika berinti kacang merah atau kelapa. Lagi pula saya kurang gemar menikmati mee segera. Tak seperti pilihan kebanyakkan kawan-kawan. 

Sekarang di rumah, roti memang sentiasa ada kerana suami peminat roti. Anak-anak jadi terikut selera ayahnya. Ada pelbagai hidangan roti yang saya telah cuba.

Malam tadi buat kudapan ringkas, roti bakar pisang. Senang sahaja membuatnya.

Sapu roti dengan mentega atau majerin

Aturkan kepingan pisang di atasnya

Tabur sedikit gula. Saya guna gula perang yang digaulkan dengan serbuk kayu manis. Jangan banyak-banyak sebab pisang memang sudah sedia manis.

Bakar 5 - 7 minit 160C menggunakan air fyer. 


Selamat mencuba.

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Nasinya Tumpah Dan Talang

Nasinya tumpah adalah salah satu daripada cerpen-cerpen bermutu yang dihasilkan oleh pengarang tersohor, Fatimah Busu. Cerpen yang memenangi Hadiah Karya dan Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1972, ini juga diangkat dalam drama televisyen yang dilakonkan oleh Marlia Musa dan ND Lala. Saya mula membacanya ketika di bangku sekolah rendah. Ada apa dengan "nasinya tumpah"? Banyak. Antaranya, hikmah atas sesuatu perkara buruk yang berlaku. Mujur nasinya tumpah jika tidak, Bedolah pun akan sama meninggalkan dunia fana ini. Ini cerpen namun dapat menerbitkan rasa sayu. Sarat membawa mesej kemanusian dan kemasyarakatan. Bayangkan jika perkara sama menimpa diri atau ahli keluarga kita. Kutip cendawan, masak dan makan beramai-ramai. Saya sekeluarga juga pernah. Sedap! Sudah makan teringat semula cerpen ini. Memang menginsafkan. Bagaimana dengan keluarga yang memang apabila terjumpa cendawan bermakna itu rezeki mereka buat hari itu. Kutip, masak dan makan. Tanpa mengira sama ada ce...

Panduan Memilih Buku Untuk Anak Disleksia

Membaca jambatan ilmu. Mari kita pupuk minat membaca untuk anak-anak disleksia kita. Walaupun membaca akan jadi perkara yang paling meresahkan untuk mereka. Mula-mula kita kena pilih buku yang sesuai.  Pilihan buku yang baik untuk anak disleksia antaranya mesti mengambil kira: Ada lebih banyak gambar berbanding tulisan .  Saiz tulisan yang besar dan menarik . Kenapa? Anak disleksia menggunakan bahagian otak yang berbeza daripada anak normal untuk membaca. Jadi mereka cepat lebih. Lambat faham. Kita tentu tak mahu anak kita cepat letih. Kita mahukan anak kita seronok membaca dan sukakan buku. Dr Ong Puay Hoon ( Presiden Persatuan Disleksia Sarawak ) sarankan, sebaik-baiknya dalam satu muka surat hanya ada sebaris ayat. Saya sertakan contoh yang diambil dari buku No, David! Puan Lee Voon Yee ( Psikologi Klinikal PPUKM ) menyarankan buku-buku kanak David Shannon . David Shannon merakamkan keletah dan kelakuan anak-anak. Sekaligus buat anak-anak...