Skip to main content

Karnival Upin & Ipin 2014 di PICC Putrajaya: Satu Pengajaran

Lama sangat teringin hendak bawa anak-anak pergi ke Karnival Upin & Ipin tapi setiap kali karnival dibuat, bertindih pula dengan jadual kerja atau program keluarga. Kali ini Karnival Upin & Ipin akan diadakan di Putrajaya. Kali pertama secara besar-besaran. Lebih istimewa ada kartun animasi yang masa kecil-kecil dulu, mak ayahnya pun suka tengok. Kartun apa lagi, kartun Ultraman.

Saya tidak tahu tentang ibu bapa lain kerana tulisan saya dalam entri ini tidak mewakili pandangan dan luahan perasaan orang lain, melainkan diri saya, suami dan keluarga sendiri. Jika anda beranggapan sebaliknya, saya gembira kerana ianya bagus untuk anda.

Ada ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka menonton kartun. Apa lagi Ultraman. Memang betul ada kartun yang tidak sesuai untuk tontonan anak-anak. Kartun buat anak-anak leka pun, betul juga. Ibu bapa yang mengasuh anak-anak sendiri atau punya pengasuh yang komited mengawal pergerakan anak-anak, tentu dapat mengalihkan perhatian anak-anak daripada menonton kartun. Saya akui saya tidak ada keupayaan itu. Anak-anak saya memang menonton kartun baik Upin & Ipin ataupun Ultraman. Bagi saya, siri animasi Upin & Ipin masih sesuai ditonton oleh kanak-kanak kerana ada elemen-elemen pendidikan.


Mungkin ibu bapa lain tak buat tapi saya buat. Baru-baru ini ada Road Show Ultraman di Pavilion, saya bawa anak-anak ke sana. Memang anak-anak sangat gembira tetapi kemunculan Ultraman sangat sekejap. Orang pula ramai, tak kira kanak-kanak ataupun dewasa yang beratur hendak bergambar dengan Ultraman. Namun ianya bertepatan dengan pengumuman penganjur, ini hanya acara promosi. Hendak berlama-lama, bersakan-sakan, sila beli tiket untuk persembahan tahun hadapan, 'Ultraman Live in Genting 2015'.


Apabila kami dapat tahu tentang Karnival Upin & Ipin dengan kemunculan istimewa Ultraman, anak-anak memang teruja hendak pergi. Ya, anak-anak saya kan menonton televisyen. Mereka tengok iklan dan promosi itu. Mereka juga berkawan di sekolah. Kawan-kawan pun bercerita sama. Kami pun memang harap dapat bawa mereka ke sana. Sementelah cuti sekolah yang panjang ini, kami tidak akan bawa mereka berlibur. Sebelum sesiapa buat kesimpulan rambang, orang Melayu memang suka hiburan atau pesta ria, sila ambil maklum saya tidak sangka suasananya sebegini rupa. Saya dan suami tidak pernah heret anak-anak kami pergi ke Sure Heboh atau Jom Heboh. Tidak juga ketika kami masih bujang trang tang tang, sekali pun tidak dan kami tidak pernah memasang angan-angan untuk ke sana.


Silap saya kerana meletakkan harapan yang tinggi.  Saya fikir karnival ini tidak akan jauh bezanya dengan Smart Kids yang dianjurkan setiap tahun. Mengambil kira elemen-elemen pendidikan dan nilai-nilai  budaya yang diterapkan Les'Copaque Production Sdn Bhd pada siri animasi-animasi terbitannya, saya menjangkakan karnival ini akan memberi manafaat kepada anak-anak. Tidak hanya hiburan. Justeru tagline 'Inilah Kegembiraan!' telah bertukar menjadi 'Inilah Kekecewaan!'. Alhamdulillah, ini pengalaman untuk dikenang dan Insya Allah di masa-masa akan datang kami tidak mungkin akan pergi ke Karnival Upin & Ipin lagi. Bak kata Jay Jay, Cukuplah Sekali. Anak-anak saya juga menyatakan sokongan.

#1 Bermula dengan kesesakkan jalan raya untuk sampai ke PICC. Ramai sungguh peminat Upin & Ipin serta Ultraman. Saya nampak ramai kanak-kanak yang berbaju kartun Upin & Ipin. Ada yang bawa mainan. Anak-anak jadi teruja. 

#2 Terpaksa menapak jauh. Tempat parkir kereta penuh. Suami ambil keputusan turunkan kami dahulu, sementera mencari parkir. Aktiviti paling mencabar tentulah memanjat bukit PICC itu. Memang buat senaman dengan jayanya, petang itu. Saya bernasib baik kerana anak saya yang bongsu walaupun baru berusia 2 tahun tetapi tidak merengek hendak berdukung. Kuat sungguh berjalan sejauh hampir 1 kilometer. Kakak dan abangnya memang cergas. Namun melihat sekeliling, ada ibu bapa mengheret kereta sorong bayi. Ada yang terpaksa bawa bukan satu kereta sorong tapi dua. Ada yang datang bawa Opah dan Tok Wan. Ada ibu mengandung. Ada ramai bayi. Ada kanak-kanak yang menangis, tidak mahu berjalan. Pihak penganjur, tolong ambil perhatian warga OKU juga peminat siri animasi anda. Adik saya OKU yang boleh berjalan, bagaimana dengan yang tidak? Keadaan begini, adakah mesra bagi semua golongan? Tambahan pula tagline anda,'Inilah Kegembiraan!'


#3 Orang memang sudah sendat padat. Ada dua barisan panjang untuk masuk ke dalam dewan. Saya ikut beratur tetapi kemudiannya adik saya beritahu kena beli tiket untuk masuk. Kami pun bertanya pada satu keluarga pengunjung yang sudah mendapatkan tiket. Katanya, harga tiket untuk seorang adalah RM15.00. Saya tarik anak-anak keluar dari barisan. Bayar untuk apa? Bayar untuk bersesak-sesak. Dalam keadaan begitu, bukan sahaja hendak tengok pertunjukkan takkan mungkin anak-anak boleh nampak dengan jelas dan selesa. Apa lagi hendak bergambar dengan maskot-maskot kartun kegemaran mereka. Kemudian saya mendapat maklumat, untuk bergambar dengan maskot sahaja yang memerlukan bayaran. Pada penganjuran akan datang, pihak penganjur mohon berlaku jujur. Dalam iklan anda, mengapa tidak warwarkan tentang kadar bayaran ini? Print screen ini saya dapat dari http://upindanipin.com.my/blog/karnival-upin-ipin-2014-picc-putrajaya/ Blog rasmi bukan?! Tidak ada apa-apa maklumat tentang apa-apa bentuk bayaran yang perlu dibuat di dalam blog ini. Maklumkanlah supaya pengunjung lebih bersedia. Maklumkan juga aturcara program karnival.  

#4 Tempat acara berlangsung sangat sempit untuk lautan manusia. Tidak ada tempat yang tidak padat. Bahkan untuk laluan masuk dan keluar juga bersesak-sesak. Kami masuk melalui pintu tempat pemunggahan barang. Pun sesak. Mujur anak-anak saya tidak memberontak. Namun masing-masing kelihatan rimas. Setakat menonton dari skrin televisyen kecil yang disediakan penganjur, lebih baik anak-anak di rumah mereka boleh menonton dengan selesa.

#5 Keselamatan anak-anak adalah keutamaan. Dalam keadaan begitu, saya tidak boleh berkompromi lagi. Saya memang tidak sabar hendak bawa keluarga saya keluar dari situ. Mujur saya tidak terlibat sama dalam kempen promosi blog. Memang ada saya beritahu beberapa orang kawan tentang karnival ini, bagaimanapun mereka tidak ikut serta. Alhamdulillah, terlepas saya daripada rasa bersalah.

#6 Tambah memburukkan keadaan ketika itu, apabila terdapat dua acara lain mengambil tempat yang sama. Salah satu acara, memang melibatkan umat manusia yang ramai iaitu Majlis Konvokesyen Universiti MAHSA. Tahniah kepada semua graduan.

#7 Kami keluar dari PICC. Rasanya tempoh bersesak di jalan raya itu adalah lebih lama berbanding masa kami berada di dalam karnival. Pun anak-anak sedikit pun tidak protes. Memang mereka ada tanyakan tentang maskot tetapi saya terangkan maskot cuma ada di dalam dewan. Barangkali maskot ada keluar berlegar di luar dewan tetapi kerana kami tidak menunggu lama maka mungkin kami terlepas peluang itu. Bagus juga. Bayangkan kalau memang maskot keluar tetapi hendak dekat pun tidak upaya, pasti anak-anak lebih kecewa. Tujuan kami adalah hendak menggembirakan anak-anak, bukan sebaliknya. Betul, ini cuma kehendak bukan keperluan pun. Kehendak anak-anak. Dalam situasi ini bukan sahaja kehendak tidak tercapai tetapi keperluan juga tidak terpenuhi. Keperluan saya adalah mengembirakan anak-anak saya.

Pengajaran untuk kami suami isteri, kami hanya akan bawa anak-anak ke Smart Kids atau yang program yang lebih sesuai. Kaji dan kaji. Lihat susun atur program. Pastikan aktiviti yang ditawarkan bersesuaian untuk anak-anak. Smart Kids memang lebih berbaloi. Ada pelbagai aktiviti. Programnya lebih teratur. Mereka boleh bermain, belajar, masuk apa-apa peraduan yang dianjurkan, bergambar sepuas hati. Kalau nasib mereka baik, mereka akan dapat hadiah. Pendek kata, mereka gembira.


Memang pengunjungnya ramai tetapi barangkali tempat penganjuran besar dan luas, meskipun ramai tetapi tidak bersesak seperti kelmarin. Setakat ini kami sudah dua kali pergi ke Smart Kids. Menapak jauh kerana lokasi terletak di Dewan Tun Razak PWTC. Belajar dari pengalaman pertama, sukar dapat parkir. Kali kedua ke sana, kami menggunakan LRT. Lebih menarik kerana tahun ini penganjurannya bersekali dengan KLIBF. Kami pergi dua acara sekaligus. Penat tetapi gembira.


Penyudahnya petang Sabtu itu, kami ke Wetland Putrajaya. Damai. Anak-anak ajak suami main paddle boat. Mereka naik bertiga. Lengkap edisi senaman hari itu. Terubat kekecewaan.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...