Skip to main content

Cuti-cuti di Bukit Merah Laketown

Kami beli tiket ke Bukit Merah Lake Town ketika menghadiri Smart Kids pada bulan April. Ada banyak pilihan percutian. Tinggal pilih ikut kemampuan. Kami pilih Bukit Merah Laketown selain daripada merasakan tawaran promosi paling berbaloi, mampu dan memudahkan kami bawa keluarga saya bersama. Promosi lebih daripada separuh harga untuk penginapan, taman tema serta mini zoo. Menarikkan. Ya, sebab cuti sekolah lebih dua minggu itu iaitu hujung bulan Mei hingga pertengahan Jun, anak-anak tinggal di kampung.


Kami memilih untuk menginap 2 malam di Suria Service Apartments. 2 keluarga, 2 bilik. Cuti sekolah, memang ramai orang. Kami pun sampai lambat juga. Ada dua buah kenduri kahwin. Satu di Ipoh. Satu di Taiping. Campur sesat-sesat mencari rumah pengantin di Taiping, jadi lapar semula walaupun sudah makan nasi minyak di Ipoh. Urusan kami lambat di Bukit Merah Laketown ketika itu, cuma kerana menunggu bilik dikemaskan. Pembayaran sudah dibuat di booth Smart Kids. Pihak pengurusan menjamu orang ramai dengan hidangan ringan dan air. Cepat sahaja lesap licin.


Ini pemandangan dari bilik yang kami sewa. Anak masih kecil-kecil lagi, jadi bilik kecil ini masih muat. Kemudahan asas sahaja yang ditawarkan. Televisyen tanpa siaran berbayar ASTRO. Wifi cuma di lobi. Ada peti ais mini dan sebuah jug elektrik. Seperkara sekiranya anda menginap di sini, sila beritahu untuk dapatkan room service sebelum anda meninggalkan bilik. Jika tidak, bilik tidak akan dikemas. Sampah pun bertepuk situlah, tak ada orang akan kutip. Panggil mereka datang, inikan service apartment.


Penginapan sahaja. Pakej tidak termasuk sarapan. Soal makanan bukan masalah besar kerana di sekitar ada banyak kedai makan dan kedai runcit. Malas hendak keluar boleh makan-makan di Colours Restaurant tapi suami saya rajin hahaha. Suami sahaja yang keluar. Saya melayan anak-anak main air.


Sampai-sampai anak-anak sudah tak sabar hendak terjun ke dalam kolamnya yang luas itu. Mesti mereka rasa lama menunggu di lobi. Memang puas pun mereka main air. Sampai biru bibir dan kecut jari-jari. Pagi sebelum bertolak balik pun, main lagi air.


Esok paginya, kami tengok pertunjukan haiwan di Bukit Merah Laketown Ecopark. Seronok tengok aksi haiwan yang pandai mengikut arahan. Koleksi haiwan yang ada, tidak jauh berbeza dari mini zoo yang lain tapi sebab sudah termasuk dalam tawaran promosi dan anak-anak sukakan haiwan, kami luangkan masa di sini. Mulanya kami bercadang untuk ke Pulau Orang Utan. Bayaran untuk tiket ke Pulau Orang Utan tidak termasuk dalam pakej diskaun. Terakhir kami bercuti  di sini termasuk ke Pulau Orang Utan ketika Kak Long berumur 1 tahun 7 bulan. Ketika itu kami menginap di Kampung Air. Mulanya memang berangan hendak bagi anak-anak merasai pengalaman baru dengan melihat habitat mamalia ini dari bayi hingga dewasa. Bagaimanapun yang membantutkan hasrat ke sana sebab dikhabarkan sudah tidak ada lagi hospital orang utan di situ. Bayi dan anak orang utan sudah besar belaka.


Sesudah makan tengah hari, anak-anak sudah bersedia untuk basah (main airlah). Kupon makan tengah hari pun termasuk dalam pakej diskaun tapi kena tambah beli beberapa keping lagi. Nasi ayam yang dijual di situ, boleh tahan rasanya. Bukan main masak tangkap muat macam di sesetengah medan selera. Cuaca sedang elok sahaja ketika kami masuk tetapi orang sudah sedia ramai di Bukit Merah Laketown Waterpark. Barangkali sejak pagi ada yang masih belum lagi keluar. Tiba-tiba hujan turun merencat keseronokkan anak-anak dan adik-adik saya bermain. Mujur masih ada ruang berteduh. Cabana untuk disewa semuanya penuh. Anak saya yang bongsu tidur lena dipeluk sejuk hujan. Hujan mengundang lapar, betul tak?! Kasihan tengok adik-adik yang buat praktikal dari UiTM di gerai burger. Tak henti-henti memasak. Memang lama menunggu. Walaubagaimanapun kerana adik berdua itu, maaf saya lupa nama mereka tetap sabar melayan pelanggan yang ramai. Lama sekalipun pelanggan tidak ada yang marah-marah. Tahniah pada anda berdua.


Memang tarikan permainan yang ada, tak sebanyak atau sebagus di taman tema terkenal di Sunway atau Tambun tapi memadai, saya kira terutama pada keluarga besar. Sesuai dengan harga tiket masuk. Berbanding taman tema air yang lain, saya perhatikan peraturan di sini tidak begitu ketat. Walaupun ada papan tanda larangan membawa makanan dari luar tetapi ramai sahaja yang berkelah sakan. Ada baiknya kerana saya percaya ibu bapa cuba mencari tempat untuk membawa anak-anak berlibur tetapi desakan ekonomi keluarga kadang kala membuatkan mereka serba salah.  Bawa bekalan makanan dari rumah mungkin dapat menjimatkan wang setelah berhabis membayar tiket masuk. Kalau kita rasa kita mampu Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana di luar sana, ada keluarga tak mampu memenuhi kehendak anak-anak. Lagi satu, saya tak fikir jualan makanan dan minuman di dalam terjejas kerana pengunjung begitu ramai. Hujan pula. Apabila hujan sidang sahaja, bergegas lari turun ke air semula. Sebenarnya dalam renyai hujan, adik-adik saya sudah pimpin tangan anak saudara berdua itu main air. Lewat petang, baru kami pulang ke bilik. Saya ingat mereka sudah puas, rupanya ada hati hendak mandi pula di kolam. Memang tak dapat ya. Hai, anak-anak!

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...