Skip to main content

Bukan Hidup, Kalau Tidak Ada Kejutan

Selamat tinggal Mac yang penuh liku. April disambut dengan ujian. Syukur Alhamdulillah, semuanya dengan pengakhiran yang baik. Jadual bulan Mac sendat padat telah ditamatkan dengan keadaan kesihatan saya yang kurang memuaskan. Demam. Jadi saya tidak dapat menyediakan beberapa perkara untuk majlis menyambut menantu adik.  

Kemudian sehari selepas itu suami dan anak pula demam. Saya terpaksa juga pergi kerja kerana ada urusan penting yang sepatutnya dibuat pada hari saya demam. Saya tidak boleh tangguhkan urusan itu. Cuma petang baru saya dapat membawa suami dan anak ke klinik. Ada isu itu dan ini kerana pertukaran perkhidmatan klinik panel yang melambatkan proses menerima rawatan.


Lusanya saya kembali bekerja tetapi satu lagi kejutan berlaku. Pihak taska menghubungi memberitahu anak saya jatuh di bilik air. Terpaksa suami tinggalkan seminar untuk bawa anak ke klinik. Doktor beritahu lukanya sudah tembus dan perlu dijahit. Suami bergegas ke hospital. Terima kasih doktor dan kakitangan Hospital Ampang yang cepat memberikan rawatan kepada anak saya. Saya bergegas, uruskan anak-anak yang lain. Pergi ke sekolah dan taska, jemput mereka dan bersiap untuk ke hospital. Mengikut perancangannya, kami sepatutnya bertolak balik untuk majlis sambut menantu pula. Saya fikir kami tentu takkan dapat turut serta jika anak saya dimasukkan ke wad. Alhamdulillah, hasil pemantauan doktor, anak saya boleh pulang. Syukur.


Ini rupanya selepas tempoh 24 jam. Bengkak. Sesekali apabila mandi dan cuci mulut, Adik Fitri mengaduh, ouch! Kasihan adik. Semoga Adik Fitri cepat sembuh. Bagaimana ianya boleh berlaku kepada anak saya yang baru berusia 18 bulan, masih berlegar di benak saya sendiri. Menjadi tanya tanya yang besar.


 

Itu kisah sebelum bertolak ke majlis menyambut menantu. Selepas selesai majlis pun ada kisah juga. Kisahnya sebaik kami sekeluarga sampai ke rumah emak dan ayah, suami terperasan tayar kereta kami pancit. Pagi keesokan harinya, pekerja kedai tayar itu tunjukkan tayar yang sudah pecah di dalamnya. Katanya, mujur sepanjang perjalanan balik itu, hujan sepanjang hari. Jadi tayar itu tidak meletup di jalan raya. Nauzubillah. Kami pernah ditimpa kemalangan berpunca daripada tayar meletup. Memang Allah melindungi. Padahal keempat-empat tayar adalah tayar baharu. Bagaimanapun siapa kita hendak mempersoalkan apa yang telah terjadi. Paling penting tiada kemalangan jiwa.

Esok, lusa entah apa pula kan. Hidup mesti jalan terus, selagi hayat dikandung badan.

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Panduan Memilih Buku Untuk Anak Disleksia

Membaca jambatan ilmu. Mari kita pupuk minat membaca untuk anak-anak disleksia kita. Walaupun membaca akan jadi perkara yang paling meresahkan untuk mereka. Mula-mula kita kena pilih buku yang sesuai.  Pilihan buku yang baik untuk anak disleksia antaranya mesti mengambil kira: Ada lebih banyak gambar berbanding tulisan .  Saiz tulisan yang besar dan menarik . Kenapa? Anak disleksia menggunakan bahagian otak yang berbeza daripada anak normal untuk membaca. Jadi mereka cepat lebih. Lambat faham. Kita tentu tak mahu anak kita cepat letih. Kita mahukan anak kita seronok membaca dan sukakan buku. Dr Ong Puay Hoon ( Presiden Persatuan Disleksia Sarawak ) sarankan, sebaik-baiknya dalam satu muka surat hanya ada sebaris ayat. Saya sertakan contoh yang diambil dari buku No, David! Puan Lee Voon Yee ( Psikologi Klinikal PPUKM ) menyarankan buku-buku kanak David Shannon . David Shannon merakamkan keletah dan kelakuan anak-anak. Sekaligus buat anak-anak...

Nasinya Tumpah Dan Talang

Nasinya tumpah adalah salah satu daripada cerpen-cerpen bermutu yang dihasilkan oleh pengarang tersohor, Fatimah Busu. Cerpen yang memenangi Hadiah Karya dan Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1972, ini juga diangkat dalam drama televisyen yang dilakonkan oleh Marlia Musa dan ND Lala. Saya mula membacanya ketika di bangku sekolah rendah. Ada apa dengan "nasinya tumpah"? Banyak. Antaranya, hikmah atas sesuatu perkara buruk yang berlaku. Mujur nasinya tumpah jika tidak, Bedolah pun akan sama meninggalkan dunia fana ini. Ini cerpen namun dapat menerbitkan rasa sayu. Sarat membawa mesej kemanusian dan kemasyarakatan. Bayangkan jika perkara sama menimpa diri atau ahli keluarga kita. Kutip cendawan, masak dan makan beramai-ramai. Saya sekeluarga juga pernah. Sedap! Sudah makan teringat semula cerpen ini. Memang menginsafkan. Bagaimana dengan keluarga yang memang apabila terjumpa cendawan bermakna itu rezeki mereka buat hari itu. Kutip, masak dan makan. Tanpa mengira sama ada ce...