Skip to main content

Demam Fatimah Busu dan Aktiviti Hujung Minggu Syawal

Demam. Di pejabat lepas seorang, seorang demam. Macam beratur ambil giliran. Anak-anak pun kurang sihat. Malam ahad lepas, anak yang sulung batuk hingga muntah. Adiknya juga sudah mula batuk-batuk. Barangkali keadaan cuaca yang tidak menentu turut sama menyumbang. Semoga sakit ini tidak berlanjutan dan cepat sembuh. Amin.

Saya sendiripun demam. Demam Fatimah Busu. Dua buah novelnya sudah ada dalam genggaman. Taaadaaa.


The Missing Piece 1 dan 2. The Missing Piece 2 tiba dahulu dari kedai buku terpakai. Saya kira, bukan buku terpakai kerana fizikalnya masih baik. Tidak ada kesan lipat atau contengan langsung. Kondisinya memang tidak seperti buku lama. Cuma tak ada bau kedai.

The Missing Piece 1, baru tiba Jumaat lepas dari Kedai Buku.com. Masih panas. Alhamdulillah, saya tidak perlu lagi meninjau dari satu kedai ke kedai yang lain untuk memiliki koleksi ini. Untuk makluman, ketika ini di MPH Subang sahaja yang masih ada stok. Itupun hanya 2 naskhah sahaja. Takkan semata-mata sebab itu, saya mesti desak Cik Abang ke sana. Haruslah ditolak mentah-mentah. Tak payah tanya, tahu sudah apa jawabannya. Fikir punya fikir, lebih baik beli menerusi online sahaja.

Baru menggagahkan diri membacanya. Cuti hujung minggu dipenuhi dengan memenuhi undangan kawan-kawan.  Sabtu ke Putra Height meraikan perkahwinan dua sahabat lama di bangku sekolah iaitu Raja Nor Ayu dan Mohd Naim yang bertemu jodoh. Sesat campur terperangkap dalam kesesakan lalulintas, hampir pukul 4:30 petang barulah tiba ke rumah pengantin perempuan. Maklumlah sudah masuk minggu terakhir Syawal, ramai yang ambil kesempatan menganjurkan rumah terbuka. Mujurlah masih ada rezeki kami makan nasi minyak pengantin. Sesudah itu dalam perjalanan pulang, singgah sebentar di rumah terbuka kawan suami. 

Keesokkan harinya ke rumah terbuka dan sambutan hari lahir Iman anak sulung Nasha. Kesuntukan masa mencari hadiah yang sesuai untuk Iman. Kesempatan singgah di sebuah kedai buku berhampiran Hospital Tawakal pada rabu lepas, maka itulah yang jadi pilihan sebagai hadiah. Buku Putera Fariri dan Buku Resipi Ajaib, Hulalaland Taman Ajaib dan Koleksi Komik Young Scientist pilihan untuk si kecil. Buntu juga sebenarnya memilih buku-buku yang sesuai. Tambahan pula pilihan sedikit terbatas. Ini bukan kedai buku besar, jadi koleksi jualannya tidak meluas. 


Buku Putera Fariri dan Buku Resipi Ajaib memang merupakan salah satu buku dalam koleksi buku anak-anak. Mereka menyukainya. Sewaktu membantu saya membalut hadiah, mereka berkenan dengan buku Hulaland Taman Ajaib. Puas juga memujuk. Insya Allah jika tiada aral, cadangnya hendak bawa anak-anak ke Ekspo Buku Islam. Jika ada dijual di sana, boleh belikan untuk mereka juga. Alhamdulillah, minat membaca ada dalam diri mereka berdua. Sabar ye, Sayang.


Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Panduan Memilih Buku Untuk Anak Disleksia

Membaca jambatan ilmu. Mari kita pupuk minat membaca untuk anak-anak disleksia kita. Walaupun membaca akan jadi perkara yang paling meresahkan untuk mereka. Mula-mula kita kena pilih buku yang sesuai.  Pilihan buku yang baik untuk anak disleksia antaranya mesti mengambil kira: Ada lebih banyak gambar berbanding tulisan .  Saiz tulisan yang besar dan menarik . Kenapa? Anak disleksia menggunakan bahagian otak yang berbeza daripada anak normal untuk membaca. Jadi mereka cepat lebih. Lambat faham. Kita tentu tak mahu anak kita cepat letih. Kita mahukan anak kita seronok membaca dan sukakan buku. Dr Ong Puay Hoon ( Presiden Persatuan Disleksia Sarawak ) sarankan, sebaik-baiknya dalam satu muka surat hanya ada sebaris ayat. Saya sertakan contoh yang diambil dari buku No, David! Puan Lee Voon Yee ( Psikologi Klinikal PPUKM ) menyarankan buku-buku kanak David Shannon . David Shannon merakamkan keletah dan kelakuan anak-anak. Sekaligus buat anak-anak...

Nasinya Tumpah Dan Talang

Nasinya tumpah adalah salah satu daripada cerpen-cerpen bermutu yang dihasilkan oleh pengarang tersohor, Fatimah Busu. Cerpen yang memenangi Hadiah Karya dan Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1972, ini juga diangkat dalam drama televisyen yang dilakonkan oleh Marlia Musa dan ND Lala. Saya mula membacanya ketika di bangku sekolah rendah. Ada apa dengan "nasinya tumpah"? Banyak. Antaranya, hikmah atas sesuatu perkara buruk yang berlaku. Mujur nasinya tumpah jika tidak, Bedolah pun akan sama meninggalkan dunia fana ini. Ini cerpen namun dapat menerbitkan rasa sayu. Sarat membawa mesej kemanusian dan kemasyarakatan. Bayangkan jika perkara sama menimpa diri atau ahli keluarga kita. Kutip cendawan, masak dan makan beramai-ramai. Saya sekeluarga juga pernah. Sedap! Sudah makan teringat semula cerpen ini. Memang menginsafkan. Bagaimana dengan keluarga yang memang apabila terjumpa cendawan bermakna itu rezeki mereka buat hari itu. Kutip, masak dan makan. Tanpa mengira sama ada ce...