Skip to main content

Marble Chocolate Cheese Cake

Hero cilik saya memang minta buatkan kek pada hari ulangtahunnya tempoh hari tetapi tak sempat saya tunaikan permintaannya. Lagipun kek ulangtahunnya sudah saya buat awal-awal lagi ketika hari ulangtahun kakaknya. Kemudian di kampung, suami beli pula kek ulangtahun untuk mereka kongsi dan raikan bersama sepupu-sepupu. Ulangtahunnya yang lalu, kami pergi makan-makan di Naili's Place Sentul. Sesuatu yang sangat jarang kami lakukan pada hari bekerja.

Hari Isnin lepas, jiran hulurkan sepinggan pulut kuning berlauk rendang ayam sempena kejayaan anaknya mendapat biasiswa dan melanjutkan pelajaran ke Kolej Yayasan Saad. Alhamdulillah tumpang seronok dengan kejayaannya. Orang berbudi kita berbahasa. Orang memberi kita merasa. Ingat tak iklan ini di kaca tv dulu-dulu kala? Giliran saya membalasnya.

Begitulah rancangannya. Krim keju masih ada. Resipi Marble Chocoloate Cheese Cake yang saya ambil dari blog Kak Umi yang jauh nun di Kuantan. Terima kasih atas perkongsian ilmu ini.

Bahan A

180 gm mentega
170 gm gula halus
3 biji telur
20 gm serbuk koko (saya anggarkan 2 sudu besar sebab malas menimbang, sikit sangat)
120 gm tepung
1 sudu kecil serbuk penaik (ayak bersama tepung)

Bahan B

250 gm krim keju (suhu bilik)
60 gm gula halus
1 sudu kecil esen vanila
1 biji telur gred A

Cara membuatnya

Panaskan ketuhar pada suhu 160C.

Putar mentega dengan gula hingga putih.

Masukkan telur satu persatu sambil terus memutar hingga adunan kembang dan gula hancur.

Perlahankan kelajuan, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Gaul rata dengan spatula.

Dalam mangkuk pengadun yang lain (pastikan kering), masukkan krim keju, esen vanila dan gula. Putar hingga sebati.

Masukkan telur dan putar hingga gula hancur serta adunan berkrim.

Tuangkan separuh adunan coklat ke dalam loyang, ratakan.

Tuang kesemua adunan B iaitu krim keju, ratakan.

Tuang baki adunan coklat dan ratakan.

Bakar selama 40 - 45 minit atau sehingga masak.



Ini cubaan kali kedua, Alhamdulillah. Cubaan kali pertama awal tahun lalu. Malam itu juga saya bakar kek. Sesudah kek sejuk, si cilik ke dapur dan menyangka itu adalah kek ulangtahunnya. "Eh eh kek happy birthday Abang Ngah." Padahal saya tak hias apapun. Terus saja, jari-jari comel itu menguis kek. "Boleh tak Abang Ngah potong dengan pisau ni?". Pisau plastik ada di tangannya. Pahlawan Islam ada pedang. Jadi pisau itu seakan-akan pedang padanya. "Tak boleh, pisau itu kotor". Tak sampai hati melihatnya.


Saya bawa kek ke ruang tamu, beri pisau kepada dua beradik dan capai kamera. Seronok betul mereka. Tahu-tahu sahajalah anak-anak potong kek. Semestinya bahagian itu tak boleh berikan kepada orang lain, melainkan kami makan sendiri. Terus saya potong bahagian itu untuk kami sekeluarga makan. Sedar-sedar sudah separuh kek licin. Alhamdulillah. Suami memang suka kek keju. Adik-adik pun suka juga. Seronok rasa hati. Lain kali boleh cuba lagi. Nampaknya kena buatkan yang lain untuk balasan pulut kuning itu. Tak sampai tengahari keesokkannya, kek itu licin dalik.

Comments

Popular posts from this blog

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Pertarungan Atlet Muay Thai Malaysia di ONE Championship & RWS

Lima orang atlet Malaysia akan bertarung pada hujung minggu ini di Thailand. Semoga bendera Malaysia, bakal berkibar megah. Selamat maju jaya Johan Jojo Ghazali, Wan Muhammad Sabri Wan Zuki, Adam Rakib, Elias Ghazali dan Mikhail Miki Ghazali. Jojo, Adam dan Sabri akan bertarung pada 6 Februari 2026 di Stadium Lumpinee, Bangkok. Alif Rakib akan masuk gelanggang menentang Prajanchai bagi merebut tali pinggang kejuaraan. Semua mengharapkan ayam tambatan Malaysia mampu mengulang sejarah, menang bergaya. Semoga semua atlet negara yang bertanding akan mengulangi kejayaan sebagaimana yang dicipta oleh Rifdean Masdor pada 16 Januari 2026 yang lalu. Kita juga harapkan lebih ramai wakil negara akan memenangi kontrak beradu di ONE Championship. Suka dengan semangat atlet Muay Thai kita.  Kalau sebelumnya negara terkenal dengan adik beradik Sidek dalam Badminton. Kita ada adik beradik Yoong Hanifah dalam Luncur Air. Ada trio adik beradik Wan dalam Permotoran. Negara bangga dengan pencapai...