Skip to main content

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi.

Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil (episod 1 dan 2). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. (episod 8)


Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang Won ketika mencari ibunya yang hilang. Kemudian abangnya, Ddang Sae (Lee Bang Ji) pula menghilang (episod 4). Boon Yi malah menganggap ahli keluarganya yang meninggalkan beliau, telah lama mati (episod 13). Kesepakatan beliau dengan Lee Bang Won adalah kerana keyakinan beliau kepada pemuda itu (episod 11). Orang yang sentiasa ada di sisinya. Menghulurkan tangan ketika diperlukan. Boon Yi menilai semula kebaikkan yang dihulurkan Lee Bang Won sebelumnya, membebaskan abangnya Ddang Sae dari menjadi tawanan (episod 2), menyelamatkan beliau daripada perompak yang menyamar sebagai lanun Jepun (episod 5), tidak melaporkan jenayah Boon Yi, membakar gudang simpanan makanan kepada penguasa Hong In Bang (episod 6), prihatin dengan keselamatannya (episod 6) dan  cuba menyelamatkannya dari menjadi tawanan Hong In Bang (episod 6). Semua kebaikkan itu, malah dibalas Boon Yi dengan menggigit lengan Lee Bang Won (episod 5 dan 6) dan mencuri pakaian dan mengikat beliau pada sebatang pokok di dalam hutan (episod 6). Sehinggalah Boon Yi berasa benar-benar yakin ketulusan Lee Bang Won (episod 8). Tidak ada bezanya antara dia dan Lee Bang Won. Setidak-tidaknya matlamat mereka sama, mahu menamatkan ketidakadilan dalam tampuk pemerintahan sediada (episod 11). Namun beliau cuma menyedari kelainan perasaannya terhadap Lee Bang Won apabila pemuda itu, membongkokkan badan dan cuba memakaikan kasut di kakinya (episod 10).



Perasaan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Sebaliknya Lee Bang Won benar-benar yakin dengan perasaannya terhadap Boon Yi apabila mengetahui beliau adalah kanak-kanak perempuan yang pernah ditolongnya ketika mereka masih kecil. Kegembiraan Lee Bang Won meruap sebagaimana keterujaan Boon Yi ketika mendapat sepasang kasut baru, mahal dan yang tak pernah diimpikannya sama sekali (episod 13).


Sepasang kasut itu, besar maknanya buat Boon Yi. Hong In Bang mengandaikan Boon Yi adalah gundik Lee Bang Won. Dek kerana musykil dengan keberanian Boon Yi yang sanggup mengadaikan nyawa untuk datang kepadanya iaitu musuh Boon Yi. Bahkan memohon pertolongan untuk membebaskan Lee Bang Won dari tahanan. Jawapan Boon Yi,
"Tuan muda belikan saya sepasang kasut."
"Apa?"
"Orang bangsawan lain merampas apa sahaja yang menjadi kepunyaan kami tetapi tuan muda menghadiahkan saya sepasang kasut."
(episod 11)
 
Itulah pegangan Boon Yi terhadap Lee Bang Won. Satu-satunya orang bangsawan yang  menghulurkan tangan di saat semua yang lain menindas dan merampas semua milik mereka. Sepasang kasut itu juga beri petanda kepada Lee Bang Won, Boon Yi dalam bahaya (episod 21).

 
Memori kasut sepasang itu juga memberi petunjuk buat mereka berdua. Hanya dikongsikan kedua mereka dan saling menghargai memori sepasang kasut (episod 21).


Peluang untuk hidup bersama sebetulnya menghampiri angka sifar buat mereka berdua dan Boon Yi, sedari awal menerima realiti hidup mereka. Tambahan pada zaman itu, jurang darjat antara mereka terlalu lebar. Satu demi satu alasan Boon Yi, berpaksikan realiti untuk menolak cinta Lee Bang Won.
"Mengingatkan kamu adalah Lee Bang Won sedangkan kami Boon Yi, Chi Wol, Sa Wol tidak ada nama keluarga pun" 
"Punya hubungan cinta dengan kamu, entah hukuman apakah yang akan saya terima nanti"
"Gundik? Saya tidak mahu jadi gundik kamu."(episod 13)

Semua alasan yang tidak dapat diterima oleh Lee Bang Won. Berasa Boon Yi mempermainkan perasaan dan menipunya, membuatkannya separuh gila dan marah. 

"Kamu tidak akan membatalkan niat kamu hanya semata-mata kerana saya" (episod 14)


Ya, beliau membenarkan kenyataan Boon Yi kerana Boon Yi sangat kenal dengan sifatnya. Mengabaikan rancangannya hanya semata-mata kerana cintanya terhadap Boon Yi, tidak. Tentulah, tidak. Itu tidak akan berlaku. Sekalipun pengakuan cinta Boon Yi kepadanya, sebelum majlis perkahwinan diadakan. Majlis perkahwinan mesti diteruskan. Perkahwinan bukan atas dasar cinta tetapi politik dan kepentingan perjuangan mereka semata-mata (episod 15).  Pengakuan cinta Boon Yi walaupun didambakan namun tetap membuatkan Lee Bang Won, terpana. Hanya satu yang mampu dijanjikan, "Kamu... Saya benar-benar menyintai kamu. Saya tak tahu apa yang perlu saya lakukan tetapi saya akan menyintai kamu sehingga ke akhir hayat saya" (episod 14)


Ketika itu, Boon Yi rasa sudah sampai masanya untuk "melepaskan" kasutnya. Sememangnya Boon Yi tidak mengharapkan apa-apa daripada 'kekasihnya'. Pun begitu, bercinta tak semestinya bersatu. Cinta keduanya utuh, saling menghulur tangan di saat masing-masing memerlukan. Lee Bang Won menyelamatkan Boon Yi, bukan dua kali tetapi tiga dan lebih. Boon Yi menyelamatkan Lee Bang Won, tidak hanya Lee Bang Won tetapi seluruh ahli keluarga termasuk isterinya (episod 21). "Kamu pernah berkata akan bersama beta dan akan terus berada di sisi beta. Tidakkah ianya kedengaran, beta merayu supaya kamu memilih beta? Tidakkah ianya kedengaran, beta benar-benar memerlukan kamu?"(episod 39)

Berhadapan pilihan yang sukar, tidak hanya kerana beliau adalah satu-satunya orang yang sangat memahami perjuangan dan cita-cita Lee Bang Won tetapi juga harus memilih untuk meneruskan sokongan terhadap perjuangan yang diusahakan bersama Sambong. Dalam masa yang sama, tidak mengabaikan sejumlah pengikut setianya. Dirinya sendiri? Bagaimana dengan dirinya sendiri? Hatinya berbelah bahagi. Dilema yang menyakitkan, diakhiri dengan kematian, pengikut termudanya Seondol. Sekali lagi Boon Yi "melepaskan" kasutnya. Sebelah kasutnya telah dilepaskan pergi bersama Seondol. Lirih Boon Yi kesal,"Kenapa saya cuma akan belajar, setelah perkara buruk terjadi?" (episod 40)

Apakah kali ini memang waktu yang tepat untuk Boon Yi benar-benar melangkah pergi? Melepaskan cintanya. Pada ketika dan saat, Lee Bang Won benar-benar didorang ke sudut yang paling sempit dan gelap. Sebagaimana janjinya, Lee Bang Won menghormati pilihan Boon Yi. Tidak untuk dijadikan gundik. Tidak juga untuk diheret dalam perbalahan antara dia dan Sambong. Demi keselamatan, demi perikemanusiaan, juga demi rasa kasih dan sayang tetapi sanggupkah pula beliau mengetepikan Lee Bang Won buat pertama kali? Apakah Lee Bang Won juga benar-benar rela ditinggalkan belahan jiwanya? Benar Boon Yi, watak rekaan tapi siapa dapat menafikan sebetulnya dalam sejarah sememangnya ada seseorang yang sememangnya menjadi nadi inspirasi buat Lee Bang Won. Jangan lupa, ada sejarah yang dipinggirkan oleh manusia. Sejarah itu cerita benar. Cerita benar yang adakalanya kejam dan menyakitkan. Sekali lagi, masa untuk membuat pilihan.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke