Skip to main content

Saudara Baru

Saya sudah selesai mengulit novel 'Hujan Sudah Teduh'. Tahniah kepada penulisnya, Zaharah Nawawi. Satu novel yang baik, yang mengangkat isu tentang saudara baru dalam Islam. Cuma latar masanya, tidak jauh selepas negara kita merdeka. Tidak dapat dipastikan samaada latar masa antara dulu dan kini, masih mempengaruhi penerimaan masyarakat terhadap saudara baru Islam atau mualaf.

Dalam novel 'Hujan Sudah Teduh', penerimaan masyarakat Melayu terhadap Yang amat menyedihkan. Dalam novel ini, pengarang menekankan beberapa kali penerimaan masyarakat sebegitu rupa adalah disebabkan kebencian terhadap komunis yang masih belum bersisa. Yang watak utama dalam novel ini adalah anak sepasang suami isteri penanam sayur yang berbangsa Cina. Yang diserahkan ketika usianya masih sangat mentah lantaran kesempitan hidup. Bermakna Yang sememangnya memeluk Islam sejak mula dan sememangnya Yang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada keluarga angkatnya.

Namun Yang mengalami penderaan fizikal dan mental dari masyarakat di kampungnya sedari usianya 5 tahun lagi (sebaik menjejakkan kaki ke sekolah). Penghinaan, fitnah dan buruk sangka terhadap Yang tidak kunjung padam. Kahwin salah, tidak kahwin pun salah. Serba tidak kena di mata masyarakat di situ. Semua penderitaan ini dihadapi sehingga tidak punya air mata untuk dititiskan. Antara momen sedih yang dilukiskan pengarang termasuklah kematian ibu angkatnya, kematian suami keduanya, Karim dan keguguran akibat dibelasah seteruknya oleh suami ketiganya, Pak Mail serta disekat daripada berjumpa dengan kedua orang anaknya. Kasihan Yang.

Persoalannya, adakah sehingga hari ini masyarakat masih dengan pendirian yang sama atau sekadar acuh tak acuh terhadap saudara baru ini?

Dalam ceramah 'Pengalaman Sebagai Saudara baru' yang disampaikan oleh Saudara Mohd Zul Lee Abdullah atau Alex Lee, beliau menyelar sikap sesetengah masyarakat terhadap saudara baru yang menganut Islam. Ada di kalanggan anggota masyarakat yang sering  beranggapan saudara baru memeluk Islam adalah untuk membolehkan perkahwinan dengan pasangan beragama Islam dilangsungkan atau untuk mendapatkan zakat. Beliau menafikan memeluk Islam untuk berkahwin dengan gadis Melayu. Hingga kini beliau masih belum bertemu jodoh. Menurut beliau lagi, sejak memeluk agama Islam sehingga kini (12 tahun), beliau belum pernah menerima zakat. Sedangkan sebagai saudara baru, sememangnya peruntukkan zakat untuk saudara baru sememangnya, ada.

Beliau memeluk agama Islam setelah didatangi mimpi yang serupa selama 14 hari berturut-turut. Setelah diceritakan kepada ustaz, dipercayai lelaki yang hadir dalam mimpinya itu adalah junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Tahun-tahun awal beliau sebagai saudara baru adalah sangat mencabar kerana telah diusir daripada keluarga kandungnya, terpaksa makan sisa makanan di dalam tong sampah dan tidur di kaki-kaki lima. Menyedihkan.  

Saudara Zul Lee menegaskan saudara baru mesti kuat dari segi mental dan fizikal untuk terus bertahan sebagai Muslim kerana penerimaan segelintir masyarakat tidak seindah seperti yang sepatutnya.Ini sedikit sebanyak menjawab persoalan mengapa, ada saudara baru yang mengambil keputusan balik ke pangkuan agama anutan mereka sebelumnya.  

Ada sebuah rumah perlindungan untuk saudara-saudara baru, terletak di Melaka. Semestinya ada lebih lagi di serta Malaysia ini. Rumah perlindungan di Melaka ini telah menubuhkan perniagaan bernama Rezeki Saudara Baru (RSB) yang menjual tasbih buatan tangan daripada batu kristal yang cantik. Sekiranya terjumpa di mana-mana, boleh dibeli kerana ini salah satu usaha kita menyokong saudara baru mendapatkan rezeki. Sekaligus juga sebagai menghargai nilai kreativiti dan usaha mereka.

Saya juga sedang mengulit dua buah buku tentang pengalaman saudara baru. Liku-liku pencarian nur Islam (Sulaiman Dufford) dan Allah is calling (Zainudin Hashim). Kisah bagaimana saudara-saudara baru menerima hidayah dan memeluk agama Allah. Pandangan masyarakat bukan Islam mengenai Islam sangat mendukacitakan. Islam dianggap agama yang penuh kekerasan. Media antara yang memainkan pernan mengasak minda masyarakat membenci Islam. Namun sinar Islam tetap muncul sehingga mereka yang menerima hidayah Allah ini berusaha sedaya upaya mendalami Islam. Ada di antaranya adalah individu-individu ternama di serata dunia. Malah ada di antara mereka ini, lebih menghayati dan mengamalkan ajaran Islam lebih daripada ada di kalangan kita yang sememangnya lahir sebagai Muslim.

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Ombak Bukan Biru Fatimah Busu

Akhirnya novel Ombak Bukan Biru karya penulis terkenal Dr Fatimah Busu jadi milik saya 21 Jun 2014 lalu. Alhamdulillah. Merata saya cari novel ini. Keterujaan untuk memilikinya sehingga sanggup memesan dari kedai buku terpakai. Saya diingatkan harganya akan menjadi lebih mahal dari harga pasaran. Saya menyatakan kesanggupan. Selepas berjaya memiliki The Missing Piece 1 dan 2, rasa tak lengkap selagi belum dapat membaca Ombak Bukan Biru. Terdetik di hati bagaimana Imrah bertemu, bercinta dan akhirnya berjaya mendirikan rumahtangga dengan lelaki sejati dalam hidupnya, Lawrence. Kemudiannya mereka terpisah, apabila Imrah lari. Siapa yang pernah menatap The Missing Piece, barangkali ada yang jatuh hati dengan watak Lawrence. Sememangnya dalam The Missing Piece serba sedikit, pengarang memasukkan latar belakang cerita tetapi hati kuat hendak mendakap Ombak Bukan Biru. Benarkah? Sungguh benarkah ombak itu bukan biru? Setelah mendakapnya, saya dapati The Missing Piece 1 dan 2 t...