Skip to main content

Zulfarhan Osman bin Zulkarnain: Ini Neraca Keadilan Dunia

Hari yang dinantikan telah tiba. 2 November 2021. Setelah empat tahun pemergian Pegawai Kadet Laut UPNM Allahyarham Zulfarhan Osman bin Zulkarnain. Tidak hanya kedua ibu bapa Allahyarham. Seluruh ahli keluarga Allahyarham. Seluruh ahli keluarga tertuduh. Bahkan rakyat Malaysia yang masih terkesan dengan berita mengejut pemergian tragis Allahyarham ketika minggu pertama bulan Ramadan, 1 Jun 2017 (6 Ramadan 1442). Bertahun-tahun sentiasa mengikuti perjalanan kes kematian ini. Sebak menyerbu tatkala mendengar harapan Puan Hawa dan Encik Zulkarnain ketika ditemubual wartawan pada pagi sebelum keputusan kes perbicaraan bermula. Ini neraca keadilan dunia. 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas kesemua tertuduh atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Allahyarham Zulfarhan Osman. Bagaimanapun kesemua tertuduh terlepas daripada hukuman gantung sampai mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Enam orang tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Allahyarham Zulfarhan Osman di bawah Seksyen 304 (a) kanun sama. Manakala kesemua 17 orang turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan untuk mendapatkan pengakuan bahawa arwah mencuri riba.

Alhamdulillah keputusan kes kematian Allahyarham Zulfarhan telah disabitkan. Walaubagaimanapun ini belum dimuktamadkan lagi. Proses rayuan pula akan mengambil tempat. Sekali lagi akan memakan masa bertahun lamanya. Tidak hanya memerlukan sumber kewangan yang tidak sedikit. Masa dan tenaga juga. Kekuatan emosi dan mental untuk mengharunginya. Semoga semua urusan dipermudahkan.

Dalam satu temuramah media, kedua ibubapa Allahyarham meluahkan;

"...Ia amat menghancurkan hati ibunya. Dia melahirkan bayi lelaki yang sihat dan sempurna" - Encik Zulkarnain.

"Saya boleh terima anak saya sudah meninggal tetapi saya tidak boleh terima cara dia meninggal" - Puan Hawa.

Tanyalah mana-mana ibubapa pun, siapakah yang tak rasa terpukul apabila anaknya yang sihat tiba-tiba diberitakan meninggal dunia? Anak kesayangan telah terbunuh dengan kejam di tempat yang sepatutnya selamat iaitu tempat pengajiannya. Universiti. Siapakah yang tidak trauma? Luluhnya hati apabila Puan Hawa mengatakan,  

Arwah Zulfarhan adalah lambang kasih sayang pertama saya dan suami dalam membina rumahtangga.

Semoga Puan Hawa dan Encik Zulkarnain diberi sebesar-besar kesabaran dan ketenangan menghadapi dugaan ini. Aamiin.


Menurut Pakar Perubatan Forensik Hopital Serdang, Dr Salmah Arshad, antara tanda yang kelihatan pada Allahyarham Zulfarhan adalah hipervolemia, jantung bengkak dan kerosakkan pada ginjal. Kombinasi penyebab punca kematian Zulfarhan. Terdapat 90 tekapan seterika wap pada badan arwah kecuali pada wajah dan belakang tapak tangannya. Hanya 8 tekapan diakui dalam keterangan bela diri tertuduh. Namun 82 tekapan itu tidak dapat dikenalpasti termasuk tekapan pada kemaluan. Arwah bagaimanapun mungkin masih berpeluang diselamatkan. Bertepatan dengan penghakiman kes oleh Datuk Azman Abdullah seandainya doktor di klinik yang merawatnya lebih prihatin dan tidak membuta tuli, mempercayai mangsa terlibat dengan letupan dalam latihan sehingga terkena kesemua bahagian tubuh termasuk alat sulitnya kecuali muka.   

Sebetulnya tidak ada kata-kata yang tepat untuk menggambarkan penderitaan yang ditanggung arwah dalam hari-hari terakhirnya untuk pulang bertemu Yang Maha Esa. Hanya ada air mata. Pesanan arwah terhadap dua orang sahabatnya supaya menyapu ubat tatkala dirinya sedang lena kerana arwah merasa sangat sakit jika dilakukannya dalam keadaaan sedar. Sakit yang tak tertanggung itu telah membawa pada kematiaannya. Tanpa kehadiran orang tersayang di sisi. Bayangkan jika itu berlaku ke atas ahli keluarga atau orang kesayangan kita. 

Bagaikan sebatang paku yang tercacak di dinding kayu walaupun sudah dicabut tetap meninggalkan bekas. Besar jiwa keluarga arwah memaafkan kesemua tertuduh sekalipun luka di hati masih berbekas. 

Pencetus kes kematian ini bukan BULI semata-mata. Buli itu datang selepas percaya kepada TILIKAN seorang bomoh. Seorang bomoh yang mengatakan arwah mencuri komputer riba. Hilang pertimbangan dan kewarasan sehingga membelasah secara berkumpulan supaya arwah mengaku. Komputer riba itu sehingga sekarang tak tahu lesap entah ke mana? Entah siapa pencurinya? Malah arwah tidak dapat dibuktikan mencuri komputer riba oleh mana-mana tertuduh sepanjang perbicaraan berlangsung. Masa hadapan yang cerah, bertukar kelam. Paling menyedihkan nyawa seorang anak muda, berakhir di tangan orang yang dipanggil sahabat dengan tragis.

Semasa hayatnya, Allahyarham P. Ramlee membawakan kepada masyarakat karya Nujum Pak Belalang yang sarat dengan sindiran. Namun zaman berganti zaman, masih ramai yang percaya dengan 'tilikan' tanpa mengira taraf pendidikan. Khurafat tolak tepi. Syirik tolak tepi. Percaya bulat-bulat. Akibatnya nyawa seorang anak muda menjadi korban. Bahkan hancur hidup berbelas orang anak muda yang sepatutnya mencurahkan bakti pada agama, keluarga dan ibu pertiwi. Alangkah sayangnya.

Banyak yang perlu dipelajari daripada kes ini. Kepincangan sistem pengurusan. Kecuaian. Sambil lewa. Paling penting sebagaimana yang disebutkan oleh Datuk Azman dalam penghakiman kes, nyawa arwah mungkin masih boleh diselamatkan jika jurulatih itu tidak pendek akal menularkan kandungan surat layang di dalam kumpulan WhatsappBerfikir sebelum bertindak. Tajam dan pedas kata-katanya tapi itulah hakikatnya. Kes kematian arwah Zulfarhan sepatutnya membuka mata dan minda kita. Pilihan di tangan kita.  

Panjang lagi perjalanan kes ini walaupun cuma menagih pertimbangan mahkamah dunia. Keadilan dunia. Semoga roh arwah tenang di sisi para syuhadah di sana. #prayforzulfarhan #justice4zulfarhan

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...