Skip to main content

Doa Anak Soleh Untuk Pak Ngah

Ada suatu petang, guru mengaji mengadu Adik buat perangai masa mengaji. Sebelum guru mengaji bercerita lebih lanjut, saya minta maaf banyak-banyak bagi pihak Adik. Ini bukan kali pertama Adik buat perangai semasa mengaji.

Petang itu selepas balik dari kerja, saya panggil Adik. Saya tanya apa perangai yang Adik buat. Saya cakap saya tak mahu dengar daripada guru mengaji. Saya mahu Adik sendiri beritahu saya. (Memang betul. Saya beritahu guru mengaji saya akan tanya Adik sendiri). 

Adik mengaku buat perangai. Guru mengaji tegur suruh betulkan bacaan yang sama berkali-kali sebab itu Adik meradang. Semasa bercerita air mata Adik sudah mentitik-nitik. Adik kalih muka tak mahu pandang saya.

Saya tak mahu marah-marah walaupun saya rasa malu dan resah dengan kelakuan Adik. 

Saya gosok belakang Adik. Sambil gosok saya beritahu Adik, memang tanggungjawab guru mengaji untuk betulkan kesalahan Adik. Saya terangkan apa yang berlaku jika Adik tersalah baca. (Ini nasihat ulangan sebenarnya). Kemudian saya katakan pada Adik,

"Adik sedekahkan tak surah yang Adik baca untuk Pak Ngah?"

Adik anggukan kepala.

"Adik tahu tak apabila kita meninggal dunia, Nabi Muhammad saw kata ada tiga perkara yang akan terus menolong kita dalam kubur"

Sambil itu saya terus gosok belakang Adik. 

"Satu, sedekah. Macam Adik selalu buat masa Adik jumpa orang susah yang jual tisu, orang yang minta sedekah, orang OKU yang jual barang dekat pasar minggu."

"Dua, ilmu yang berguna pada orang lain. Macam Adik tolong Adriana buat homework"     

"Tiga, doa anak yang soleh. Macam yang Adik selalu doakan Pak Ngah lepas solat. Adik selalu baca surah Al Fatihah. Surah-surah Lazim. Surah yang Adik baca masa mengaji Al-Quran dengan Teacher."

Adik masih menangis. Menangis tak bersuara. Sekejap-sekejap Adik kesat air mata dengan baju.

"Pak Ngah tak ada anak. Tapi Pak Ngah ada anak saudara. Kak Long, Abang Ngah, Adik, anak-anak saudara Pak Ngah kena tolong Pak Ngah. Jadi anak soleh yang selalu doakan Pak Ngah. Selalu sedekahkan surah-surah untuk Pak Ngah"

Tangis senyap itu jadi lebih kuat. Sudah tersenguk-senguk. Semua anak-anak saudara memang sayangkan Pak Ngah. Pak Ngah lebih sebagai kawan sepermainan berbanding bapa saudara. Pak Ngah yang berfikiran dan berperangai setanding dengan anak-anak saudara. Main bola. Pak Ngah akan jadi goal keeper. Walaupun bola selalu lolos. Main badminton. Walaupun Pak Ngah pukul tak pernah kena. Apabila ke Kedai ECO mesti belikan mainan untuk Pak Ngah. Anak-anak tahu kesukaan Pak Ngah. Sesekali terdengar anak-anak mengimbas kenangan bersama Pak Ngah sesama mereka. Kenangan manis belaka. 

Ini kali kedua anak-anak berhadapan dengan kehilangan orang terdekat untuk selamanya. Bagaimanapun ketika kami kehilangan ayah mentua, anak-anak masih terlalu kecil untuk memahami makna kehilangan. Bahkan Adik langsung tidak ingat akan Tok Ayahnya. Berbeza dengan kehilangan Pak Ngah mereka. Pemergian Pak Ngah sangat dirasai. 

Pak Ngah, adik saya seorang OKU. Terencat akal. Pergi meninggalkan kami, 2 September yang lalu. Saat mengulang datang ke kubur berziarah, perkara pertama diucapkan, "Hello. Hello Pak Ngah" Sama seperti berjumpa semasa Pak Ngah masih hidup. 

"Adik, bagi salam pada Pak Ngah. Assalamualaikum Pak Ngah"

Teguran untuk Adik akan berterusan. Semalam, hari ini, esok dan seterusnya. Sifatnya manusia yang selalu lupa. Perlu peringatan. Saya akan cuba sedaya upaya mencari cara terbaik memberi kefahaman kepada Adik. Semoga Allah sentiasa merahmati Adik dan semua anak-anak saya. Aamiin.

Semoga ikatan dan kasih sayang untuk Pak Ngah sentiasa berkekalan. Selamanya. Aamiin. 

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...