Skip to main content

Tolong Jangan Senyapkan 'Silenced' - Penderaan Fizikal, Mental & Seksual Kanak-kanak

Pernah tonton Silenced? Kalau belum, mari tonton. Percayalah, ianya berbaloi.


Ini bukan tentang K Pop. Tidak sama sekali berkiblatkan hiburan. Sudah lama saya tulis tentang ini tetapi setiap kali ada kes baharu, saya kembali mengolah. Sehingga hari ini ketika netizen rancak bercakap tentang #justiceforbella. Semoga keadilan dapat tertegak buat Adik Bella dan Adik Bella dapat sempuh sepenuhnya. Bukan calang-calang trauma yang dipikul sepanjang hayatnya. 

Saya sudah menonton Silenced berkali-kali. Saya memang anjurkan kalangan keluarga saya menontonnya. Hampir kesemua ahli keluarga saya telah menontonnya. Sediakan tisu bersama anda. 

Silenced (2011) merupakan filem berdasarkan novel The Crucible (2009) yang diangkat daripada kisah yang benar-benar terjadi di Korea Selatan. Mangsa penderaan fizikal dan seksual di Sekolah Gwangju Inhwa melibatkan pelajar kelainan upaya. Sekolah ini mula ditubuhkan pada 17 April 1961. Pada mulanya ditubuhkan oleh Pusat Kebajikkan Orang Pekak dan Bisu Jeonnman dan terus dikembangkan dengan menerima pelajar menengah tinggi pada tahun 1993. Pelajar-pelajar sekolah ini kebanyakkannya anak yatim dan miskin yang mempunyai masalah pertuturan dan pendengaran. 

Bisu.

Pekak.

Manusia yang mengaku sempurna mengambil kesempatan sepenuhnya ke atas ketidakupayaan ini. Mengambil kesempatan kepada kanak-kanak yang sedia lemah. Mengambil kesempatan atas kedaifan anak-anak ini. Mengambil kesempatan dengan mengaut sumbangan orang awam. Menyuap pihak berkuasa. Mengambil kesempatan daripada imej 'warak' yang ditonjolkan. Sekolah berasrama penuh. Segala tindak tanduk dalam kawalan. Kedap. Tertutup.

Pelakunya merupakan pengetua dan juga guru-guru di sekolah itu. Perilaku jahat ini hanya terbongkar apabila guru baharu Kang In Ho lakonan Gong Yoo mengajar pendidikan seni, bertugas di sana. Usaha Kang In Ho menyelamatkan anak-anak kurang upaya ini disokong kuat oleh aktivis masyarakat bernama Yoo Jin lakonan Jung Yu Mi.

Menitis air mata menontonnya. Apa lagi yang hendak dikatakan?   

Menaguk di air keruh
Harapkan pagar, pagar makan padi

Lebih menyedihkan hukuman yang dikenakan, tidak setimpal ke atas pelakunya. Malah pembelaan melalui undang-undang sangat berat sebelah. Kesalahan ditutup oleh pihak berkuasa, agensi-agensi berkaitan dan yang lebih menyedihkan, masyarakat setempat.

Kononnya pelaku merupakan orang yang 'warak'. Konon pelakunya merupakan tokoh masyarakat, di belakang mereka merupakan gereja. Sekolah berasrama Gwanju Inhwa ini dipelopori oleh keluarga pesalah bagi memberi peluang kepada anak-anak kurang upaya ini mendapat pendidikan. Tidak kurang tuduhan mengatakan mangsa-mangsa berbohong dan sengaja mahu menjatuhkan reputasi pelakunya. Keluarga mangsa yang sedia daif disogok dengan wang untuk menutup mulut. Lebih tepat lagi mengugurkan kes.

Ketidakadilan yang benar-benar berlaku ini menimbulkan kesedaran kepada penulis Gong Ji Young. Maka terhasillah karya, Dogani atau The Crucible, novel yang mengetengahkan ketidakadilan ini ke mata dunia. Gong Ji Young melawat sekolah ini lebih daripada 10 kali dan berjaya menemubual pelajar-pelajar termasuk mangsa kejadian. Juga Silenced yang turut menghebahkan kepada umum, noda-noda hitam di Sekolah Gwanju Inhwa.  


Memang pesalah-pesalah terlepas dari hukuman setimpal. Ketika kes dibicarakan di mahkamah pada tahun 2005, sebanyak 6 orang guru telah didakwa dengan 8 orang mangsa tampil ke mahkamah. Bagaimanapun hanya 2 orang guru sahaja yang disabitkan dengan kesalahan rogol dan dijatuhi hukuman penjara kurang setahun. Pada awalnya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas pengetua yang juga anak kepada pengasas sekolah itu. Kemudiannya hukuman itu diringankan dengan hanya memberikan tempoh percubaan dan denda sebanyak 3 juta won. Semua pesalah lain turut menerima hukuman ringan. Kesemua mangsa disingkirkan dari sekolah tersebut setelah perbicaraan tamat. Sekolah hanya mengekalkan 22 orang pelajar sahaja. Lebih menyedihkan sekolah terus menerima subsidi negeri berjumlah 1.8 bilion won setiap tahun dan yang menakutkan adalah sebahagaian guru-guru yang telah disabitkan kesalahan ini kembali mengajar di sekolah tersebut. Seolah-olah kes yang dibicarakan di mahkamah tidak memberi kudis pun.

Sementelah pula had undang-undang 10 tahun terpakai di Korea Selatan untuk satu-satu jenayah yang dilakukan menyebabkan kes jenayah yang berlaku di sekolah ini sejak tahun 1964 tidak dapat dibawa ke muka pengadilan. 

Tahu kesan daripada penghasilan filem ini? Sekolah Gwanju Inhwa menamatkan operasinya secara rasmi pada November 2011 setelah dua bulan filem ini ditanyangkan. Ketika ditutup sekolah tersebut mempunyai 22 orang pelajar, 57 orang menginap di asrama dan 55 orang lagi sedang menerima latihan. Kesemuanya dipindahkan. Public pressure melawan ketidakadilan undang-undang turut memberi tekanan ke atas orang-orang politik Korea Selatan. Namun setidak-tidaknya sekolah yang dipelori oleh pesalah, ditutup. Kejayaan kecil yang perlu diraikan.

Selain daripada meraih pelbagai anugerah di festival filem dan diangkat sebagai filem bertema kemanusian di serata dunia, kejayaan terbesar filem ini adalah mengubah landskap undang-undang negara itu. 

Betul. Kejayaan yang paling besar diraih adalah dengan kelulusan parlimen ke atas Rang Undang-undang Dogani pada Oktober 2011 yang menghapuskan had undang-undang ke atas kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan wanita. Pada bulan Julai 2012, Mahkamah Daerah Gwangju menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas pentadbir Sekolah Gwangju Inhwa yang berusia 63 tahun kerana telah melakukan serangan seksual terhadap seorang pelajar berusia 18 tahun pada bulan April 2005. Dia juga didakwa melakukan penderaan fizikal ke atas pelajar berusia 17 tahun yang telah menyaksikan jenayah tersebut (mangsa dilaporkan cuba membunuh diri selepas itu). Pentadbir, yang hanya dikenali dengan nama keluarga Kim, juga diperintahkan memakai gelang kaki elektronik selama 10 tahun selepas dibebaskan.

Itu cerita negara orang. Negara kita pun tak terkecuali. Ramai yang tidak tahu menurut takrifan undang-undang di Malaysia had umur seorang kanak-kanak itu sehingga berumur 18 tahun. Kes dera fizikal paling kerap mengisi dada akhbar. Ada anatara kes-kes ini membawa maut kepada kanak-kanak. Ada satu lagu tentang penderaan kanak-kanak bertajuk Derita nyanyian Kumpulan Orkid (1992). Ketika itu negara digemparkan dengan kes penderaan yang membawa maut ke atas Adik S Balasundram oleh bapa kandungnya pada tahun 1990.  

Ini statistik Jenayah Seksual Kanak-kanak di negara kita dari Januari hingga Jun 2020. 


Silenced ini sebenarnya mengingatkan tentang satu kes buli seksual yang berlaku di negara kita. Melibatkan seseorang yang mempunyai kaitan dengan orang ternama dan merupakan tokoh masyarakat. Namun ada banyak 'silap mata' sehingga menjadikan kes itu NFA (tiada pendakwaan lanjut) setelah bertahun-tahun mangsa berjuang untuk membawa kes ke muka pengadilan. Dalam erti kata lain tak ke mana. Kes itu memang beri kesan mendalam. Tak tahu entah berapa banyak kes yang turut menerima nasib yang sama. Malangnya di negara ini, kes-kes yang berlaku hanya 'panas' sekejap. 'Cepat sahaja dihilangkan angin'. Berapa banyak kes-kes baik penderaan fizikal atau seksual 'dihidangkan' kepada rakyat kemudiaannya hilang tanpa susulan sehinga kes selesai? Terutama kes yang memakan masa bertahun-tahun.  



Beban membuktikan kesalahan jadi asbab terbaik pelaku melepaskan diri dari hukuman terutama kes cabul ke atas kanak-kanak. Kebanyakkan kes melibatkan kanak-kanak ini juga dilakukan oleh kalangan ahli keluarga ataupun sesorang yang rapat dan ada berdekatan dengan mereka seperti kekasih si ibu, bapa tiri, ibu tiri, jiran, suami pengasuh, kenalan keluarga dan sebagainya. Sukar bagi kanak-kanak kerana mereka ini sepatutnya tempat pergantungan keluarga. Apa nasibnya apabila misalannya bapa mereka sendiri ditahan? Di mana mereka hendak tinggal? Dalam kebanyakkan keadaan mereka sebagai mangsa yang 'dikeluarkan' dari rumah. Misalnya, abang merogol adik. Adik dipindahkan ke kampung. Seolah-olah mereka sebagai pelaku. Emosi. Paling sukar tentulah kerana perkara buruk ini tidak akan 'hilang' daripada memori mereka. Malah memburukkan keadaan adalah mereka telah 'didedahkan' dengan perlakuan seks. Sedangkan itu terlalu awal buat mereka. 

Apabila media mendedahkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun diisytihar sebagai ibu termuda di Britain, sedih rasanya. Ya betul, negara kita apa kurangnya. Setiap 17 minit seorang bayi di luar nikah dilahirkan, tak mengambil kira usia ibunya. Maksudnya termasuk ibu dari kalangan kanak-kanak. Macam mana ya seorang kanak-kanak hendak membawa seorang atau lebih lagi nyawa di dalam rahimnya? 

Pendidikan seks kepada anak-anak perlu bermula daripada kita di rumah. Akhi Fairuz antara yang banyak menganjurkan seminar pendidikan seks kepada anak-anak dari pelbagai peringkat umur. Malah ada buku juga dihasilkan. Syed Azmi dalam video-videonya di facebook banyak membimbing dalam menangani kes-kes jenayah baik penderaan mahupun seksual terhadap kanak-kanak. Langkah yang perlu dibuat. Bawa kanak-kanak ke hospital untuk mendapatkan laporan pemeriksaan. Cara mempersiapkan kanak-kanak untuk membuat laporan polis dan paling penting kanak-kanak itu tahu mengapa laporan polis itu dibuat. 



Mohon tidak ada tangan yang cuba untuk senyapkan kes-kes seperti ini. Dakwaan mencemarkan nama agama atau sesuatu institusi tidak boleh dijadikan alasan menidakkan berlakunya penderaan fizikal, mental atau seksual. Apabila kita bercakap tentang salah laku ianya tidak terhad kepada satu-satu agama sahaja. Tidak ada satu agama menganjurkan perkara yang jahat. Lihatlah dalam filem ini, Silenced pelaku berselindung di sebalik gereja. Pelaku ini sebetulnya adalah penunggang agama sebenar. Menggunakan agama untuk menghalalkan setiap tindakan. Memalukan. Berhenti berpihak kepada mereka yang berpengaruh dalam masyarakat tetapi sebenarnya musang berbulu ayam. 

Penderaan secara mental di kalangan kanak-kanak juga sukar untuk diketengahkan. Melainkan diiringi dengan penderaan fizikal dan seksual. Ada satu kes berlaku pada tahun 2018. Tekanan emosi dan mental, menyebabkan seorang kanak-kanak membunuh diri ekoran dituduh mencuri telefon bimbit seorang guru. Satu nota ditinggalkan menyatakan sumpahnya tidak melakukan perbuatan itu. Alangkah sedihnya. 

Mari kita jaga anak-anak kita. Anak-anak di luar rumah kita juga anak-anak kita. Anak-anak di mana pun bumi yang mereka pijak itu, anak-anak kita juga. Anak-anak mangsa perang, anak-anak kita juga. Anak-anak pelarian, anak-anak kita juga. Anak-anak bangsa apa pun mereka, anak-anak kita juga. Salah seorang daripada mereka mungkin akan jadi ahli keluarga kita, saudara mara kita. Agama kita menganjurkan kasih sayang. Agama kita menganjurkan kita menyantuni tidak hanya orang-orang tua, fakir miskin tetapi juga kanak-kanak. Agama kita menganjurkan persaudaraan. Kita yang mencorakkan anak-anak kita. Usaha yang sangat mencabar sebenarnya. Semoga Allah merahmati kita dan melindungi kita semua. #kitajagaanak-anakkita

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...