Skip to main content

Ulasan Novel Selendang Sukma

Tajuk : Selendang Sukma

Penulis : Isa Kamari

Penerbit : Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)

ISBN: 978-967-430-408-9

Harga: 35.00

No Resit: ITBM01000347

Muka surat : 378

Sekalung tahniah kepada penulis, Isa Kamari. Tahniah juga kepada penerbit, ITBM dan seluruh tenaga kerja sehingga novel ini sampai ke tangan pembaca. Ini bukan sekadar bacaan untuk pelepas lelah. Ada ilmu yang boleh dikutip bersamanya. Penulis menggunakan teknik imbas muka dan imbas kembali, menjadikan jalan ceritanya, begitu menarik.



Bermula dengan pertemuannya yang memekarkan bibit cinta dengan gadis tempatan bernama, Dewi. Ilham hadir di Bali atas tawaran pembinaan hotel oleh Pak Lempad, yang kemudiannya disusuli syarat. Syarat yang meletakkan dirinya di dalam dilema antara untung dan rugi dalam perniagaan yang diusahakannya. Rentetan daripada itu, pembaca dibawa menyelusuri sisa gelap hidupnya yang berpaksikan duniawi. Pembaca diperkenalkan dengan watak antagonis novel ini, Jennifer selaku pengurus perniagaan, Simon merupakan pekerja Ilham Architects dan Zaman pula adalah pesaing sejak dari universiti dan pemilik Zaman Architects, yang tanpa Ilham sedari bersekongkol untuk menjatuhkannya. Usaha mereka hampir mengorbankan nyawa Syamsiah dan mengakbitkan Ilham kehilangan kontrak projek pembinaan hotel di Ungasan.

Kehadiran Ilham di Bali juga tidak disenangi oleh Ketut Riharja. Cuba memenangi hati Dewi tetapi gagal. Ketut Riharja bukan sahaja cuba menodai Dewi tetapi juga telah mengenakan ilmu hitam ke atas ayah Dewi, Pak Riwayat. Salah faham telah menimbulkan ketegangan dalam hubungan Ilham dan Pak Riwayat kerana menyangka Ilham merupakan punca sakit kaki yang dideritainya. Sementelah kuatnya pengaruh dukun bagi penganut agama Hindu di Bali. Atas dasar itu juga, penulis memperlihatkan sikap berhati-hati masyarakat Bali dengan menghadkan ruang di dalam rumah yang boleh dikunjungi tetamu.

Konflik hubungan keluarga Ilham juga berpunca daripada salah faham menyebabkan ikatan keluarga yang longgar, sehingga Ilham tidak mengetahui hubungan baik antara ayahnya, Pak Sadikin dengan Pak Lempad. Rahsia dan konflik keluarga juga semakin rumit, apabila pembaca didedahkan hubungan Pak Lempad dengan Zaman. Ada apa dengan arkitek muda ini?



Sekiranya anda penggemar sastera sejarah, novel ini mesti anda baca. Penulis menyelongkar bukan hanya sejarah pura di Gunung Kawi, Pura Bekaseh, Pura Luhur Uluwatu tetapi juga sejarah agama awal yang bertapak di Bali. Bagaimana berbezanya anutan agama Hindu di Bali dengan anutan agama Hindu di India? Tidak ketinggalan sejarah kedatangan Islam di Bali. Sejarah asal penduduk di pulau Bali. Penulis banyak menggunakan bahasa asal penduduk Bali dalam menerangkan tentang sesuatu adat dan kepercayaan yang diamalkan oleh orang Hindu di Bali. Pembaca dibekalkan dengan glosari bagi memahaminya.

Selain sejarah. Politik adalah aspek yang memang selalu jadi persoalan pilihan penulis. Cuma kali ini bukan keutamaan pada sejarah dan politik Singapura. Isu penggunaan kalimah Allah, penglibatan segelitir umat Islam dalam siri serangan bom, umat Islam dilabel sebagai pengganas, antara yang diutarakan. Penulis cuba memberi jawapan yang bukan sahaja asbab yang masih kabur malah di kalangan umat Islam sendiri. Mengapa ada keganasan kerana Islam tidak pernah menganjurkan keganasan? Penulis menggunakan rujukan Allah's Torch tulisan Tracy Dahlby untuk menjawab persoalan itu. (Rujuk halaman 214). Keganasan tidak dianjurkan dalam Islam. Keganasan juga tidak dianjurkan agama-agama lain tetapi tetap ada yang terlibat dalam keganasan. Penulis menggambarkannya dalam tragedi pengeboman yang berlaku untuk kali ketiga di Bali. Bersandarkan tidak ada agama yang menggalakkan permusuhan, penulis memperlihatakan kerjasama boleh terjalin antara pelbagai penganut agama dengan pembinaan yayasan anak-anak yatim.


Saranan saya juga pada pencinta budaya, jangan abaikan novel ini. Sebagai seorang arkitek, penulis tidak lari dari berkongsi pengalaman serta perincian seni bina di Pulau Bali. Pemerhatian dan pengalamannya banyak dituangkan di dalam novel ini seperti bagaimana pengukir di Bali menurutkan ilmu itu kepada bangsa mereka. (Rujuk halaman 106) 




Menerima kekurangan pasangan dan melengkapi adalah cinta ideal yang diimpikan setiap pasangan. Itu yang dilakukan Dewi. Ilustrasi muka depan, sekuntum bunga mekar mencerminkan Dewi, putih warnanya menggambarkan kemurnian hati dan selendang mewakili kelembutan keperibadiannya. Dewi tidak menyeret Ilham yang longgar pegangan agamanya untuk menganuti kepercayaan agama Hindu. Sedangkan Dewi adalah penganut tegar agama Hindu. Dewi berpendapat mereka perlu memahami agama masing-masing untuk mendekatkan lagi hubungan mereka. Ilham terpukul oleh rasa malu, mula lebih mendalami Islam. Lebih menarik, penulis meletakkan teka-teki kepada pembaca, apakah Dewi kemudiaannya memeluk agama Islam berdasarkan tudung yang dikenakannya di pengakhiran cerita? Sekalipun bukan, adalah tidak keterlaluan dikatakan bahawa penulis sendiri meletakkan harapan dengan tidak mematikan watak Dewi. Supaya Dewi lebih mendalami.

Penamat cerita yang sedih pada zahirnya dengan kematian Ilham. Cinta Ilham dan Dewi tidak bersatu di pelaminan. Namun lebih besar daripada itu, Ilham kembali ke rahmatullah di atas jalan yang benar dan menemukan ketenangan jiwa yang didambakan sekian lama. Penyudah yang lebih manis.


Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...