Terasa sekejap benar masa berlalu. Ramadan sudah sampai ke penghujungnya. Jalan raya sedang sesak padat ketika ini. Harapnya kita semua pengguna jalan raya akan sampai ke destinasi tujuan dengan selamat. Masih ada geruh di hati setiap kali menaiki kenderaan. Trauma akibat kemalangan itu masih bersisa. Namun hidup harus diteruskan. Kali ini giliran kami sekeluarga beraya di Utara. Jika sebelum ini masih sempat juga meluangkan masa ke Pantai Timur tetapi besar kemungkinan tahun ini, kami tidak dapat meraikan syawal di Pantai Timur. Keadaan kesihatan dan juga cuti jadi benteng membataskan. Bercakap tentang kesihatan, Alhamdulillah kedudukan bayi dalam kandungan saya, kembali normal. Dua orang doktor pakar mengesahkannya. Perancangan Allah SWT memang lebih mengesankan. Ini hadiah besar buat kami sekeluarga untuk meraikan syawal.
Ketika ramadan masuk ke penghujungnya, bumi Iran dilanda gempa bumi dengan korban jiwa yang ramai. Juga bumi Xinjiang yang ditindas kerajaan China turut bergegar. Masih ramai saudara kita di serata pelusuk bumi yang sedang dianaiyai dan belum ada penghujung keadilan buat mereka. Dalam keseronokan menyambut syawal ini, mari sama-sama kita panjatkan doa buat mereka supaya terus tabah dengan ujian demi ujian. Amin.
Bagi semua pembaca malah pengikut blog kecil saya: Sejuta Warna Pelangi, terima kasih. Setinggi-tinggi penghargaan buat anda yang sudi meluangkan masa membaca catatan saya yang tidak seberapa. Maafkan saya sekiranya ada antara tulisan atau pendapat saya yang kurang manis dan tidak anda disenangi. Untuk menyajikan entri-entri terbaru, adalah cabaran besar selepas ini kerana Insya Allah saya akan menerima orang baru. Maafkan jika nanti anda hampa apabila singgah ke sini. Pun begitu jangan serik, saya masih berminat meneruskan blog kecil ini. Akan datang semua di tanganNya.
Selamat Hari Raya
Maaf Zahir & Batin
Comments
Post a Comment