Skip to main content

Berada di Ambang Maut

Alhamdulillah, kami sekeluarga terselamat. Saya, suami, ayah dan anak-anak termasuk anak yang saya kandung ketika itu berusia 32 minggu, selamat. Kejadian pada hari Sabtu, Ramadan yang ke 9, 28 Julai 2012 sekitar jam 4:30 petang, di Lebuhraya Utara Selatan.

Ini gambar yang dirakamkan adik sejurus selepas kemalangan. Ada banyak gambar tetapi cukuplah sekeping ini buat ingatan abadi di sini.


Kronologi:

#1 Kami ke UNISEL Bestari Jaya. Adik bongsu melanjutkan pelajaran di sana. Ayah, emak dan dua lagi adik dari Utara. Tidak ada rancangan daripada mereka untuk bermalam di rumah kami kerana ayah tidak mahu melepaskan peluang solat terawih serta tadarus di kampung. Saya sediakan dadih strawberi buat bekal iftar mereka. Sesudah kami solat di Masjid Umar Abdul Aziz UNISEL, keluarga berubah fikiran. Pada mulanya, adik lelaki yang kelainan upaya (OKU) duduk di belakang bersama-sama dengan anak-anak. Tiba di asrama adik bongsu, saya minta adik lelaki bertukar kereta. Bukan apa, perangai adik seperti anak-anak. Kalau tidak adik menyakat, anak-anak yang akan mengusiknya. Sudahnya akan jadi riuh rendah dan akan menggangu pula suami hendak memandu. Allah Maha Pengatur, jika adik tetap bersama di dalam kereta kami, entah bagaimana keadaannya. Adik saya OKU, tidak tahu bagaimana untuk meluahkan trauma yang dihadapinya. Beliau pernah terlibat dalam kemalangan motorsikal bersama adik yang lain sehingga dirawat doktor jiwa bagi memulihkan traumanya.

#2 Perjalanan pulang lancar. Lebuhraya agak lengang. Anak-anak tertidur di pangkuan ayah. Kami suami isteri sedang berbual tentang Olympik dan macam-macam perkara termasuk pengalaman saya bersalin di tangan Dr Amelia, tiba-tiba tayar kereta meletup. Ada kereta di belakang mula menyedari dan membunyikan hon. Suami sedaya upaya mengawal steering kereta yang sudah mula hendak terbabas ke kiri jalan. Semuanya berlaku sangat cepat. Apa yang kami semua nampak adalah putih sahaja saat kereta berpusing. Putih. Barangkali memang maut sudah sangat dekat. Saya dengar suara ayah bertakbir. Saya hendak menoleh ke belakang tetapi tidak dapat. Memang tidak ada apa yang dapat dilakukan. Hanya kalimah-kalimah Allah yang mampu diucapkan. Hanya padaNya saya serahkan sepenuhnya. Tidak ada terlintas apa-apa lagi melainkan panggilan maut sudah datang. Subahanallah, rupanya masa saya dan keluarga belum sampai. Allah SWT hanya memberi peringatan dan masih memberi peluang. Seingat saya kereta berpusing 3 kali sebelum terhenti walaupun enjin kereta tidak mati.

#3 Perancangan Allah yang terbaik dalam semua situasi. Kebetulan sekali, dua buah kereta polis baru selesai menguruskan satu kemalangan berhampiran. Walaupun ada anggota yang sudah menghubungi ambulan, mengenangkan keadaan saya yang sarat mengandung, mereka mengambil keputusan untuk menghantar saya dan ditemani ayah ke Hospital Sungai Buloh terlebih dahulu. Adik mengikut dari belakang. Sementara suami menguruskan kereta kami. Setinggi penghargaan buat semua anggota polis yang membantu kami sekeluarga. Anggota inilah yang bukan sahaja membawa saya ke Unit Kecemasan bahkan membantu urusan di sana supaya lebih lancar. Juga kepada orang ramai pelbagai bangsa terutama sekumpulan pemuda India yang paling awal tiba membantu mencari cermin mata suami yang terpelanting serta mengeluarkan ayah dan anak-anak saya dari kereta. Ramai yang menawarkan diri membantu, terima kasih.


#4 Ketika awal kemalangan tak terasa sakit yang teruk. Cuma muka sebelah kanan terasa hangat berbahang, perut terasa tegang dan keras, jari telunjuk kanan dan siku sebelah kiri sedikit berdenyut. Tetapi setelah terlantar terasa seluruh badan begitu sakit sekali. Oleh kerana bimbang saya mengalami kecederaan leher, doktor memutuskan leher saya di x-ray dengan langkah keselamatan supaya sinaran itu tidak menggangu bayi. Entah berapa ramai doktor yang merawat dan memantau sebelum saya kemudiannya dipindahkan ke wad di Dewan Bersalin.

#5 Saya tahu keluarga saya ada di luar, saya dapat dengar suara Kak Long dan Abang Ngah ketawa dan bermain sesama sendiri. Saya tahu tentu keluarga terpaksa iftar sekadarnya di perkarangan Dewan Bersalin itu sahaja. Kemudian saya dengar emak meminta kebenaran untuk masuk tetapi tidak ada pelawat dibenarkan masuk di sini. Saya dengar jururawat meminta emak ke Unit Kecemasan mendapatkan buku rekod mengandung saya. Saya dengar juga jururawat kemudiannya meminta keluarga saya untuk pulang berehat sahaja. Saya hanya dapat mendengar, suara emak, suara suami tetapi tidak dapat bergerak. Sejak dari Unit Kecemasan, saya dipakaikan penyokong leher. Semua urusan seterusnya hanya di atas katil. Rasa keseorangan, sangat kerdil dan membebankan orang lain. Beginilah rasanya tatkala nikmat yang diberi Allah, ditarik balik.

#6 Doktor datang mengambil darah bagi persediaan kemungkinan saya akan dibedah. Suntikan menguatkan paru-paru bayi juga diberi. Dalam erti kata lain, semuanya kini tergantung pada keadaan bayi saya. Jika keadaan bayi tidak memuaskan, saya akan dibedah. Jujurnya saya tidak bersedia. Persiapan menyambut kelahiran ini hampir kepada tiada. Masih di peringkat cadangan. Puasa saya secara rasminya telah terbatal sejurus saya menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh ini, walaupun saya tak dibenarkan menjamah makanan dan minuman. Puasa saya hanya berakhir pada Ahad sekitar jam 9:30 pagi, setelah doktor berpuas hati dengan keadaan bayi saya. Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang merawat saya sepanjang saya berada di Hospital Sungai Buloh terutama Doktor Yusrina, Doktor Akmal, Doktor Chuah, Doktor Hamzah, Jururawat Normasjuwita dan lain-lain.

#7 Alhamdulillah, bayi saya berjaya mengatasi traumanya dan bergerak seperti biasa. Denyutan jantungnya juga, normal. Masa kelahirannya belum tiba seperti yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Sebagaimana belum tiba ajal kami sekeluarga. Sekiranya tidak, ini adalah Ramadan terakhir kami dan kemungkinan besar kami akan disemadikan dalam satu liang lahat yang sama. Kerja Allah, hanya Allah Yang Tahu.


#8 Alhamdulillah, sekalipun sakit yang saya alami belum betul-betul sembuh (menurut doktor mengambil masa 2-3 minggu lagi untuk sembuh sepenuhnya) tetapi saya dan keluarga masih berpeluang meneruskan hidup. Cedera di tangan suami juga beransur sembuh. Ada yang tersalah sangka tentang cedera di sebelah kanan muka saya. Tidak ada perkara lain, ini semua kesan beg udara ketika kemalangan. Tiga daripada empat beg udara itu keluar. Dua daripadanya mengenai saya yang duduk di bahagian penumpang. Beg udara bukan bantal empuk, harap maklum.

Ini percaturan yang telah ditetapkanNya dan saya serta keluarga sangat bersyukur kerana terselamat dan diberi sekali lagi peluang meneruskan hidup. Memang banyak urusan dunia yang belum selesai tetapi Allah beri peringatan, urusan akhirat yang lebih penting selama mana hidup di dunia ini. Alhamdulillah, ketika kejadian kedua orang anak kami, tidur dan kejadian ini tidak mengakibatkan trauma pada keduanya. Sekali lagi ucapan terima kasih kepada semua keluarga dan rakan yang membantu kami, bertanya khabar, melawat dan sebagainya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas budi baik kalian.  

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...