Skip to main content

Ragam Ibu Hamil: Selera Makan

Mengandung kali ini banyak yang berbeza berbanding sebelumnya. Saya boleh makan walaupun bukan seperti biasa tetapi tidaklah bergantung pada bubur nasi semata-mata sebagaimana sewaktu mengandungkan Kak Long. Tambahan pula sekarang gastrik menyerang jadi banyak kena berpantang. Melainkan teringin sangat-sangat, saya langgar juga pantang. Lepas itu sakit, tanggunglah siapa suruh degil!

Tak ada mengidam yang pelik-pelik. Cuma teringin sahaja. Keinginan itu masih boleh bertangguh. Tak pernah lagi tengah-tengah malam bangun sebab teringin hendak makan itu dan ini. Alhamdulillah saya dapat apa yang saya inginkan. Hendak tahu apa? Inilah dia, sos kacang Aminah Hassan. Saya pesan pada kawan-kawan kalau jumpa tolong saya belikan. Alhamdulillah, Anuar jumpa. Ada 2 botol sahaja yang tinggal. Sebotol untuk keluarganya dan sebotol lagi untuk memenuhi keinginan saya. Terima kasih.


Saya buat cucur nasi ikan bilis kemudian cicah dengan sos kacang ini. Hmm sedap! Saya pun tak begitu pasti, tapi saya dengar-dengar sos ini takkan dipasarkan lagi. Sayang juga kerana rasanya bagi saya sedap dan tidak ada mana-mana syarikat mengeluarkan sos yang sama. Selepas ini tak boleh teringin lagi. Hahaha.


Saya lebih suka makan popia basah berbanding dengan popia goreng. Masa sekolah dulu rajin emak buat popia (hendak bodek emak hahaha). Kalau diikutkan saya tidak boleh makan taugeh. Angin. Saya cuma makan seketul sahaja popia ini untuk lepaskan teringin. Popia S.S.Ali ini memang sedap. Kalau berhajat boleh beli di Ipoh. Rasanya di pasar malam di Shah Alam pun ada juga. Cubalah saya tak tipu, memang sedap.


Ini hidangan wajib emak, keladi masak asam. Sedapnya! Kalau bukan kerana mengandungpun, memang ini adalah makanan kegemaran saya. Bukan saya sahaja, seluruh keluarga pun suka. Ayah memang tanam keladi udang di rumah kami. Sekali lagi saya tak boleh makan banyak-banyak. Keladi dan angin. Dulu-dulu kala, saya tak tahu pun. Masa Dr Su suruh senaraikan apa yang saya makan, saya sebut antaranya keladi terus Dr Su cakap, "Angin tu."Oh! Alamak, tak dapat hendak makan pengat keladi. Hahaha Sedap tu!


Ada tidak macam tiramisu? Rasa betul-betul tertipu. Memang betul harganya murah sedikit berbanding dengan harga di kedai-kedai kek. Saya beli bukan kerana harganya. Saya beli sebab memang hendak makan tiramisu. Tetapi bukan tiramisu yang saya dapat makan. Ini adalah kek span biasa dengan topping nescafe. Menyedihkan betul. Saya makan juga sebab tak mahu membazir. Lain kali kalau kakak itu berniaga kek di sini, saya takkan beli lagi. Tak kisahlah dia jual kek apa pun. Tidak sama sekali. Titik!


Okay tutup cerita mengeceawakan itu. Lagipun masa itu saya memang tak boleh hendak memasak. Lama cuti memasak. Orang memasak pun tak boleh hendak dekat. Saya bukan pecinta ulam ulaman sejati. Mengandung kali ini mesti lebih banyak makan sayuran hijau kerana saya tidak boleh langsung minum susu. Banyak ragamkan?! Pucuk tenggek burung dan tomato itu, saya beli. Pegaga itu dipetik  dari kebun mini di belakang rumah. Bunga kantan import dari kampung. Pokok kantan saya masih sangat muda dan belum berbunga lagi.


Buat kerabu. Saya guna tomato menggantikan limau nipis. Konon sebab limau nipis berasid. Macamlah tomota itu tak masam kan. Mengada-ngada. Saya hendak buat kerabu kerang sebenarnya tapi waktu itu cari kerang di Tesco, tak ada pula.


Saya makan kerabu dengan bubur lambuk. Sedap! Mujurlah saya sudah boleh memasak apabila kandungan masuk bulan ke 5. Lewat sedikit kali ini. Sebelum ini kandungan masuk bulan ke 4, saya sudah boleh memasak. Bukan semua makanan yang teringin hendak dimakan boleh dibeli di kedai. Walaupun untuk hidangan yang ringkas seperti ini. Malas hendak menyusahkan suami mencari ke sana sini. Lagipun belum tentu yang dijual itu memenuhi selera saya.


Ini penangan berbuka ketika syaaban tempoh hari. Berlatih puasa sebelum ramadan. Teringin hendak makan roti goreng rangup. Inti di dalamnya serikaya hijau. Dua keping roti ditelangkup dan dibelah empat. Rupa-rupanya Kak Long pun suka. Jadi saya cuma makan satu bahagian, selebihnya Kak Long yang makan. Sudah masuk 5 hari ramadan, belum ada kesempatan buatkan roti untuk Kak Long.

Lega sebab dapat memasak. Rasa-rasa teringin bolehlah bersilat di dapur. Setakat ini memang tidak ada keinginan yang melampau-lampau. Harap-harapnya, janganlah. Ada pendapat mengatakan, apabila mengidam untuk makan sesuatu, membawa maksud badan kekurangan zat-zat makanan tertentu. Saya pun tak pasti. Saya cuma pastikan apa yang saya makan tidak keterlaluan. Lebih-lebih nanti kena marah dengan doktor dan dapat sakit yang lebih teruk pula. Mohon dijauhkan.

Bazar ramadan sekalipun belum pergi lagi. Rasa tak mampu hendak bersesak dengan orang ramai di sana. Cukuplah bersesak dengan orang ramai setiap kali ada pameran perdagangan. Lagipun tak terasa teringin hendak makan apa-apa yang susah untuk dibuat. Cuma yang tak boleh tinggal air soya untuk Kak Long sebab Kak Long puasa. Hadiah untuk Kak Long. Setiap kali suami tanya, "Hari ini teringin hendak makan apa?" Saya jawab, "Belilah apa yang Abang rasa, Abang hendak makan." Harapnya boleh kekal begitu. Nanti ada permintaan yang melampau susah pula suami.  

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...