Skip to main content

Ketupat Palas Perantau PKP

Kali pertama buat ketupat daun palas dari A - Z sendirian. Selalunya buat dengan Emak.

Emak akan betulkan kalau salah cara bungkus. Ada cara menganyamnya. Bukan asal jadi sahaja. Kalau salah anyam, jadi 'ketupat betina'. Kena buka balik, anyam semula sampai jadi 'ketupat jantan'. Orang Utara fahamlah apa yang dimaksudkan dengan 'ketupat jantan' dan 'ketupat betina'.

Sebenarnya kalau diikutkan tak ada keperluan mendesak untuk buat ketupat. Pertama, saya dan suami bekerja pada hari Rabu. Senang cerita kami memang tak mohon cuti. Kebiasaannya untuk menyambut hari perayaan kaum yang terlibat dapat pelepasan bekerja separuh hari. Kena simpan cuti. Urusan anak perlukan cuti saya. Lagipun tak dapat nak balik kampung beraya.

Dek sebabkan kena bekerja, saya sudah putuskan menu hari raya kami anak beranak yang lebih  mudah untuk disediakan iaitu nasi impit, kuah kacang ayam, nasi minyak, ayam masak mamak dan gulai dalca. Tak ada bantahan. Bagus. Tak payah subuh-subuh saya ke pasar mencari santan untuk buat rendang. Saya sudah menempah ayam di kedai runcit berhampiran dengan rumah. Resipi ayam masak mamak tak perlukan santan. Beli kelapa parut sebiji untuk gulai dalca dan kuah kacang. 

Kedua, cuma saya dan suami yang akan makan ketupat. Suami pun sebenarnya lebih suka makan ketupat Pantai Timur yang manis. Bagaimanapun menu wajib pagi raya untuk suami adalah nasi impit dan kuah kacang ayam. 

Lain jadinya apabila saya ke pasar minggu. Ternampak daun palas. Pegang, belek-belek, letak. Kemudian datang semula, pegang lagi. Tanya-tanya harga.

"RM  5.00 seikat"

Saya letak semula memikirkan agak banyak seikat untuk saya dan suami makan. Ternampak pula ketika sedang pilih kerang. Daun palas dijual sepelepah, tidak diikat sebagaimana kebiasaan.

"Berapa ni Pak cik?"

"RM 1.50"

Terus bayar dan lambai pada suami.

"Nak buat ketupat pula?"

Senyum sahaja.

Suami beritahu ada seorang kawan berikan seekor ayam padanya. Banyak pula ayam kami. Saya sudah menempah. Jadi saya kena juga masak rendang. Tak apalah saya tambah tempahan kelapa parut sahaja nanti. 

Balik rumah terus duduk bersila, buka daun palas dan menganyam ketupat. Ambil masa juga. Betul ke salah aku buat ni? Dapat 22 ketul ketupat. Termasuk yang besar 2 jari. Campur besar kecil ikut lebar daun palas. Jadilah kan. Telefon Emak berkali-kali. Macam-macam tanya minta kepastian. Pukul 2 pagi siap semua ketupat. Bekukan. Alhamdulillah. 

Ada lebih pilihan menu untuk tetamu yang akan datang nanti. Tak harapkan kunjungan ramai pun. Anak-anak ada jemput 2 - 3 orang kawan masing-masing. Mungkin adik-adik ipar atau sepupu yang duduk berdekatan akan datang beraya. Mungkin sahaja sebab tahun lepas, Raya PKP juga. Adik ipar cuma satu keluarga sahaja yang datang.  Empat beranak. Sepupu pun sama. Satu keluarga sahaja. Berdua. Pengantin baharu datang beraya. Kami pun tak bercadang nak berziarah raya ke mana-mana. Kita pun faham situasi sekarang macam mana. 

Tup tup tup malam 10 Mei, PM umumkan PKP. Tak boleh ziarah raya sama sekali. Menung juga mulanya. Persiapan raya dah beli. Takkan nak batalkan tempahan pula. Aduhai kenapa ya tak boleh buat satu pegumuman yang menyeluruh. Geram pun ya juga. Fikir punya fikir. Tak apalah. Saya akan masak juga. Nanti sedekah sahaja. Pagi raya hantar ke sekolah anak-anak. Bagi pada pengawal keselamatan yang bertugas. Tak pun jalan kaki sikit, hulur pada abang-abang polis, ATM yang bertugas. Sekatan jalan betul-betul dekat jalan besar berhadapan dengan rumah kami. 

Anak-anak kecewa sikit. Adik sepupu mereka lahir hujung tahun lepas sampai sekarang masih tak dapat jumpa. Sudah berbulan-bulan tak dapat jumpa ahli keluarga yang lain di kampung. Kalaupun tak dapat beraya dengan ahli keluarga yang lain di kampung, setidak-tidaknya dapat beraya dengan kawan-kawan. Setiap kali beraya di kampung memang tak ada peluang beraya dengan kawan-kawan. Tapi ini nak beraya dengan kawan-kawan pun tak dapat. Sudahlah pergi sekolah pun tak dapat. Anak-anak jumpa kawan-kawan di sekolah sahaja. Faham juga perasaan mereka.

Penat bercakap pasal ketidakpatuhan pada SOP ini. Undang-undang pula secara zahir semacam terbahagi kepada dua. Orang sebut golongan kayangan. Buat apa pun lepas. Ke mana pergi pun tak apa. Golongan marhaen macam kita-kita ini pun ramai yang degil-degil. Letih sebab semacam hanya kita-kita sahaja yang berjaga-jaga. Lagi mual apabila balik-balik dalam kenyataan, "... kerana rakyat" Soalnya bukan hanya kerana rakyat.

Tarik nafas panjang-panjang. Sedang kita sibuk dengan persiapan menyambut Syawal, umat Islam di negara lain naib mereka di hujung tanduk. Berdepan dengan maut pula. Setidak-tidaknya kita masih boleh menjalani ibadah dengan tenang. Mereka bergelut.  

Hari terakhir bersahur. Hari terakhir berpuasa. Hari terakhir berbuka. Hari ini hari terakhir Ramadan. Entah bersua atau tidak lagi dengan Ramadan akan datang. Kita berdoa dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan. Aamin.

Saya  ambil kesempatan ini mohon maaf zahir dan batin. 

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang