Skip to main content

Bukan Hidup, Kalau Tidak Ada Kejutan

Selamat tinggal Mac yang penuh liku. April disambut dengan ujian. Syukur Alhamdulillah, semuanya dengan pengakhiran yang baik. Jadual bulan Mac sendat padat telah ditamatkan dengan keadaan kesihatan saya yang kurang memuaskan. Demam. Jadi saya tidak dapat menyediakan beberapa perkara untuk majlis menyambut menantu adik.  

Kemudian sehari selepas itu suami dan anak pula demam. Saya terpaksa juga pergi kerja kerana ada urusan penting yang sepatutnya dibuat pada hari saya demam. Saya tidak boleh tangguhkan urusan itu. Cuma petang baru saya dapat membawa suami dan anak ke klinik. Ada isu itu dan ini kerana pertukaran perkhidmatan klinik panel yang melambatkan proses menerima rawatan.


Lusanya saya kembali bekerja tetapi satu lagi kejutan berlaku. Pihak taska menghubungi memberitahu anak saya jatuh di bilik air. Terpaksa suami tinggalkan seminar untuk bawa anak ke klinik. Doktor beritahu lukanya sudah tembus dan perlu dijahit. Suami bergegas ke hospital. Terima kasih doktor dan kakitangan Hospital Ampang yang cepat memberikan rawatan kepada anak saya. Saya bergegas, uruskan anak-anak yang lain. Pergi ke sekolah dan taska, jemput mereka dan bersiap untuk ke hospital. Mengikut perancangannya, kami sepatutnya bertolak balik untuk majlis sambut menantu pula. Saya fikir kami tentu takkan dapat turut serta jika anak saya dimasukkan ke wad. Alhamdulillah, hasil pemantauan doktor, anak saya boleh pulang. Syukur.


Ini rupanya selepas tempoh 24 jam. Bengkak. Sesekali apabila mandi dan cuci mulut, Adik Fitri mengaduh, ouch! Kasihan adik. Semoga Adik Fitri cepat sembuh. Bagaimana ianya boleh berlaku kepada anak saya yang baru berusia 18 bulan, masih berlegar di benak saya sendiri. Menjadi tanya tanya yang besar.


 

Itu kisah sebelum bertolak ke majlis menyambut menantu. Selepas selesai majlis pun ada kisah juga. Kisahnya sebaik kami sekeluarga sampai ke rumah emak dan ayah, suami terperasan tayar kereta kami pancit. Pagi keesokan harinya, pekerja kedai tayar itu tunjukkan tayar yang sudah pecah di dalamnya. Katanya, mujur sepanjang perjalanan balik itu, hujan sepanjang hari. Jadi tayar itu tidak meletup di jalan raya. Nauzubillah. Kami pernah ditimpa kemalangan berpunca daripada tayar meletup. Memang Allah melindungi. Padahal keempat-empat tayar adalah tayar baharu. Bagaimanapun siapa kita hendak mempersoalkan apa yang telah terjadi. Paling penting tiada kemalangan jiwa.

Esok, lusa entah apa pula kan. Hidup mesti jalan terus, selagi hayat dikandung badan.

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Ombak Bukan Biru Fatimah Busu

Akhirnya novel Ombak Bukan Biru karya penulis terkenal Dr Fatimah Busu jadi milik saya 21 Jun 2014 lalu. Alhamdulillah. Merata saya cari novel ini. Keterujaan untuk memilikinya sehingga sanggup memesan dari kedai buku terpakai. Saya diingatkan harganya akan menjadi lebih mahal dari harga pasaran. Saya menyatakan kesanggupan. Selepas berjaya memiliki The Missing Piece 1 dan 2, rasa tak lengkap selagi belum dapat membaca Ombak Bukan Biru. Terdetik di hati bagaimana Imrah bertemu, bercinta dan akhirnya berjaya mendirikan rumahtangga dengan lelaki sejati dalam hidupnya, Lawrence. Kemudiannya mereka terpisah, apabila Imrah lari. Siapa yang pernah menatap The Missing Piece, barangkali ada yang jatuh hati dengan watak Lawrence. Sememangnya dalam The Missing Piece serba sedikit, pengarang memasukkan latar belakang cerita tetapi hati kuat hendak mendakap Ombak Bukan Biru. Benarkah? Sungguh benarkah ombak itu bukan biru? Setelah mendakapnya, saya dapati The Missing Piece 1 dan 2 t...