Sekalung penghargaan.
Pengumuman Perdana Menteri dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026 - 2035, antara lain menyebutkan semua pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) di institut pengajian tinggi awam (IPTA) akan menikmati pendidikan percuma bermula sekarang.
Tahniah anak-anak OKU. Tingkatkan usaha. Teruskan menuntut ilmu.
Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) memang tabungan khusus untuk anak yang seorang ini. Memikirkan suatu waktu nanti bagi memastikan kelangsunganya terus mendapatkan pendidikan selepas tamat persekolahan. Pilihan belajar di institut pengajian swasta sudah tentu akan melibatkan sejumlah angka yang besar.
Apatah lagi mata pelajaran bahasa bukan kekuatannya. Bahasa Melayu, khususnya. Pernah jadi pelik apabila mendapati anak-anak Melayu sendiri tidak dapat menguasai pelajaran Bahasa Melayu dengan baik. Disleksia. Ini antara jawabannya. Jadi perlu ada jalan lain yang dipertimbangkan untuk melanjutkan pelajaran.
Keratan Berita Harian, 20 Januari 2026
Namun usaha kerajaan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sangat dialu-alukan. Langkah yang dipuji. Malah masih banyak yang perlu dibuat. Penguatkuasaan. Papan tanda perniagaan, contohnya.
Bagi pendidikan anak-anak OKU masih banyak perlu ditambah baik. Silibus pelajaran, penilaian dalam peperiksaan, umpamanya. Pelajar berkeperluan khas, masalah pembelajaran khususnya. Masakan penilaian untuk golongan ini sama seperti yang lainnya. Sedangkan kaedah pengajaran untuk mereka juga seharusnya berbeza. Ini pun masih belum dapat ditangani sewajarnya. Jangan salah faham. Jangan cepat menghukum. Jika anda tidak berada di kasut mereka. Meskipun secara umumnya mereka dilihat normal. Tiada beza secara fizikal. Tahukah pergelutan mereka hadapi? Tahukah anda mereka berada di tengah-tengah, lebih tepat tergantung. Tidak sesuai di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Bergelut di arus perdana.
Banyak lagi sebenarnya. Kita berhenti setakat itu dahulu kerana niat menulis memang hendak menzahirkan kesyukuran atas pertimbangan dan pelaksanaan baharu ini. Terima kasih.
Comments
Post a Comment