Siapa kata filem animasi Papa Zola The Movie untuk kanak-kanak? Bagi yang belum menonton, pergilah. Tak kira berapa pun usia anda kerana inilah cerita untuk anda menyelami jiwa seorang bapa.
Filem ini mewakli suara lelaki budiman yang kehilangan suara untuk bercerita. Tenggelam suara di dalam sebak. Tak upaya bercakap kerana kepenatan.
Ini cerita lelaki yang mempunyai impian menggunung untuk membawa bahagia buat keluarga. Tanpa memikir lelahnya bekerja. Impian untuk mencuba hadirkan setiap yang dipunyai oleh anak orang lain, mampu dirasai oleh anaknya sendiri.
Ini cerita seorang isteri yang setia. Seorang isteri yang berkorban tanpa syarat.
Ini cerita seorang anak yang bawa bahagia. Seorang anak yang menerima bahagia itu mengikut cara kita.
Ini cerita keluarga. Tunjangnya seorang bapa. Berdedikasi. Cerita yang datang tepat pada masanya. Pada masa begitu ramai pejuang nafkah melakukan lebih daripada satu pekerjaan. Pada waktu selepas diserang wabak sehingga mengakibatkan begitu ramai pejuang nafkah kehilangan punca pendapatan. Pada ketika ekonomi negara, malah ekonomi dunia tidak begitu memihak pada pejuang nafkah.
Jika anda pejuang mafkah keluarga, bukan bapa. Cerita ini tentang anda. Perit jerih anda wajar diraikan.
Terima kasih semua bapa mithali. Terima kasih semua pejuang nafkah keluarga. Tanpa anda semua pincanglah negara, binasalah keluarga.
Tahniah kepada produksi dan semua yang terlibat. Mesej besar sampai ke dalam jiwa.
Jatuh cinta itu indah. Lebih indah dengan ikatan keluarga yang terbina. Memastikan keindahan berkekalan, itulah cabarannya.

Comments
Post a Comment