Ini entri tertangguh bertahun lamanya. Namun tetap segar dalam ingatan. Tidak ada kata-kata yang mampu menterjemahkan rasa apabila kali pertama menyaksikan kewujudan Kaabah di hadapan mata. Juraian air mata bergabung dengan segala macam rasa. Sehingga hari ini setiap kali teringat, tubir mata akan basah.
Seisi Keluarga
Hasrat yang lama terpendam. Namun kami berazam sebelum menunaikan ibadah haji, kami mahu menunaikan umrah terlebih dahulu. Kami sekeluarga akhirnya menjadi tetamu Yang Maha Esa pada tahun 2022. Alhamdulillah. Kedua orang tua turut serta. Ibu mentua. Seorang kakak ipar yang sedang dalam pemulihan dari serangan angin ahmar berserta arwah suaminya turut berada dalam rombongan keluarga. Biras saya telah kembali ke Rahmatullah pada 4 April 2023. Sekembalinya dari menunaikan umrah, keadaan kesihatan arwah memburuk. Cuma kesemua orang tua kami telah menunaikan haji. Malah ini merupakan kali kedua, ibu mentua menunaikan umrah. Ini juga umrah kedua bagi biras saya. Jadi kami sependapat mereka lebih arif.
Sememangnya keputusan membawa orang tua bersama kami bukan satu perkara yang mudah. Faktor usia emas dengan pelbagai komplikasi keuzuran. Penuh liku baik dari tanah air mahupun sepanjang kami berada di sana. Kebimbingan saya sangat berasas sebenarnya. Jauh lebih bimbang, sebetulnya tentang diri sendiri. Saya kenal diri sendiri dan wajar untuk khuatir. Selain daripada itu, anak-anak kami juga masih belum matang dan memerlukan perhatian. Pun bukan itu yang mahu saya coretkan di sini. Segala kesulitan Alhamdulillah mampu diatasi dengan Rahmat Allah SWT serta bantuan sekeliling. Semua ini rezeki. Peluang saya ke sana juga menumpang rezeki semua ahli keluarga. Entah doa siapa di kalangan ahli keluarga kami yang makbul sehingga urusan dapat selesai dengan baik.
Rezeki dan Hikmah
Kesihatan saya terganggu lebih daripada sebulan setelah pulang dari Tanah Haram. Namun rezeki saya diberikan kesihatan yang baik ketika di sana. Alhamdulillah. Tidak terkira syukur kerana saya tidak boleh membayangkan jika ditakdirkan saya jatuh sakit di sana. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Saya tidak mahu terlalu memikirkan atau membandingkan diri saya dengan orang lain. Rezeki dan peluang yang diperolehi oleh orang lain. Berapa banyak kali orang lain dapat menunaikan umrah sunat, berapa banyak kali orang lain dapat mencium hajarulaswad atau apa sekalipun kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Saya ikut rasa gembira dengan pencapaian dan rezeki orang lain. Saya fikir itulah sebaik-baiknya. Rezeki dan peluang sama seperti ujian. Setiap orang berbeza. Saya sangat gembira berada di sana. Suatu nikmat yang tak terhitung nilainya. Sangat gembira kerana anak-anak turut sama gembira. Sementelah kanak-kanak merupakan insan yang sangat diraikan di sana. Masyarakat Arab tidak kira jemaah mahupun orang awam sangat gembira apabila bertemu dengan kanak-kanak. Menegur. Bersalaman. Memeluk. Memberi pujian. Bersedekah. Bergurau.
Sangat berharap kami semua akan kembali dijemput ke sana. Ini soal peluang. Meskipun tidak dinafikan ibadah ini memerlukan biaya yang agak besar. Memang betul bukan semua orang yang berduit berkesempatan berada di sana. Namun tetap memerlukan biaya untuk berada di sana. Saya pohonkan sangat Allah SWT, jemput saya, jemput keluarga saya dan anda semua untuk datang ke sana sebagai tetamuNya. Kini saya mengerti mengapa ada insan yang saban tahun akan mengulang jejak ke sana. Kini saya tahu erti sebenar rindu untuk berada di sana.
Ujian atau Kelemahan Pengurusan
Oleh kerana ibadah ini memerlukan perbelanjaan yang besar, peringatan kepada diri untuk mencari agensi pengendalian pelancongan umrah yang bukan sahaja sesuai tapi penuh hati-hati. Kami agak bertuah kerana memilih yang tepat walaupun ini merupakan kali yang pertama. Bukan sempurna tetapi Alhamdulillah, tidak ada kekesalan.
Masih sangat jelas di ingatan, seorang jemaah wanita dari tanah air yang menegur dan berbual dengan saya, semasa kami menunggu ahli keluarga yang lain untuk tawaf wida. Rupanya puan tersebut baharu selesai mengerjakan umrah wajib tetapi masih belum dapat tempat penginapan. Sebaik sampai ke Tanah Haram dimaklumkan tiada bilik untuk kumpulan mereka menginap. Niat umrah sudah dilakukan ketika dalam penerbangan datang, jadi mesti selesaikan umrah terlebih dahulu. Oleh kerana tiada bilik penginapan, selesai mengerjakan umrah mereka duduk dan tidur di sekitar kaki lima dan dataran masjid. Menggunakan tandas awam untuk membersihkan diri. Paling sedih apabila dalam rombongan mereka, ada jemaah yang uzur dan berumur.
Pada ketika itu, mereka masih menunggu di lobi hotel kami kerana pihak agensi pengendalian pelancongan umrah sedang cuba mendapatkan bilik penginapan. Ah, saya puas menahan sebak kerana wanita ini bercerita dengan tenang dan dalam senyum. Sebagai jemaah, kita adalah pengguna dan agensi pengendalian pelancongan umrah ini menjalankan perniagaan yang menawarkan perkhidmatan. Pastikan kita tahu hak kita sebagai pengguna. Islam itu indah. Jangan cemari dengan menutup kesalahan atas nama ujian. Jangan gadaikan agama.
Ilmu dan Persediaan Diri
Setelah mengambil ketetapan agensi pengendalian perlancongan umrah, persiapan diri mengambil tempat. Sangat penting untuk mendalami ilmu sebanyak-banyaknya sebelum berada di sana. Ilmu sebanyak mana pun ditimba tidak akan pernah cukup. Walaupun kita semua pernah mempelajari tentang ibadat ini sejak di bangku sekolah lagi. Namun perlu kita kembali mempelajarinya. Sebaiknya berguru. Hadir ke kelas persediaan. Ulangkaji demi ulangkaji. Ikuti nasihat, panduan dan saranan daripada mereka yang berpengalaman. Ulang dan ulang tonton video-video kursus umrah yang banyak dihimpunkan dalam media sosial. Manafaatkan. Bagi anak-anak yang belum mengerti banyak, cuba beri kefahaman dan panduan. Jujurnya kerana tiada pengalaman, rasa sangat gementar sekalipun untuk menjawab persoalan yang dilontarkan oleh anak-anak. Bagaimanapun jangan pandang rendah keupayaan anak-anak. Mereka sendiri telah diajar di sekolah dan ibadah ini menjadi latihan praktikal. Malah tenaga mereka tidak terkalahkan.
Ibadah di sana memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Ramai yang menasihati saya untuk menunaikan ibadah yang satu ini ketika masih muda dan sihat. Tapi muda bukan jaminan cergas. Perlukan banyak latihan dan senaman sebelum ke sana. Tawaf dan saei dikatakan memerlukan kudrat, berjalan sekurang-kurangnya sejauh 6km.
Ziarah juga memerlukan jemaah banyak bergerak. Menurut beberapa rujukan, Jabal Rahmah mempunyai ketinggian lebih kurang 63 meter. Jabal Uhud mempunyai ketinggian lebih kurang antara 80 ke 100 meter. Manakala Jabal AnNoor Gua Hira' pula dengan jarak 3.5 km, 1,200 anak tangga. Anggaran masa 45 ke 55 minit mendaki dan 20 ke 30 minit masa untuk turun.
Kami ke sana pada penghujung tahun, dikatakan memasuki musim sejuk dengan jumlah jemaah yang sangat ramai dari pelusuk dunia. Faktor sekatan ketika ancaman COVID 19 di seluruh dunia sekitar dua tahun sudah dilonggarkan juga, menyebabkan peningkatan jumlah jemaah umrah. Menjelang tengah malam jemaah menjadi semakin ramai saban hari. Selesa kerana tidak panas dan berbahang.
Terpisah dan Hilang
Ada ramai juga kes jemaah terpisah daripada kumpulan jemaah. Kebanyakan yang hilang, warga emas. Ada juga kes kehilangan di kalangan remaja seusia anak kami. Malah ada kes kehilangan jemaah negara kita yang tular termasuk kes kehilangan Pak Ibrahim dan arwah Ustaz Mustapha Kamal berlaku sekitar waktu kami menunaikan umrah. Terpisah antara anggota keluarga turut kami rasai. Oleh itu, kami berpesan sesama sendiri tentang lokasi berkumpul jika ditakdirkan terpisah daripada ahli jemaah. Penting untuk saling kenal dan menjalin hubungan yang baik sesama jemaah. Selain daripada Mutawif dan pembantunya, ahli kumpulan jemaah adalah orang yang mengenali kami di sana.
Jemaah dari pelbagai bangsa dengan pelbagai ragam memang akan mengejutkan terutamanya kali pertama menghadapi situasi diremuh, ditolak atau ditepis. Apatah lagi jemaah negara kita, bertubuh badan kecil. Jemaah negara luar yang datang berkumpulan biasanya akan saling mengait lengan antara satu sama lain menyebabkan kita dengan sendirinya terpaksa menyisihkan diri. Apabila hal ini terjadi, kita akan terpisah daripada kumpulan kita sendiri. Memang benar dalam ibadah ini, kita tidak boleh bergantung kepada Mutawif atau orang lain. Ibadah ini perlu kita selesaikan sekalipun secara bersendirian. Kami kehilangan anggota keluarga beberapa kali ketika tawaf. Kebanyakannya akibat rempuhan oleh kumpulan jemaah lain.
Tanda nama kebiasaannya akan diberikan kepada jemaah oleh pihak agensi. Kebiasaannya ada maklumat penginapan dan maklumat mengenai agensi. Boleh dikatakan itu merupakan ganti pengenalan diri kepada setiap jemaah. Malangnya ada antara jemaah kehilangan atau tertinggal tanda nama yang diberikan. Mungkin perlu penambahbaikan pada sistem ini. Ada yang menyarankan pemakaian gelang dengan maklumat jemaah. Apa sahaja cara yang difikirkan sesuai dan mampu meningkatkan soal keselamatan, mengapa tidak? Tambahan pula terdapat cabaran lain seperti perbezaan bahasa yang menyukarkan proses komunikasi.
Tidak Bersendirian
Sungguhpun ada keterbatasan komunikasi dengan jemaah dari negara luar, ambil peluang menjalinkan silaturahim. Ini peluang untuk menjalini ibadah dengan jemaah berbilang bangsa. Islam itu satu dan setiap orang adalah bersaudara. Walaupun berkomunikasi dengan isyarat dan senyuman. Sangat banyak peluang bersedekah sesama sendiri di sana. Hatta menerima tisu beberapa kali daripada berapa jemaah negara lain yang prihatin dengan keadaan kesihatan jadi satu detik yang mengharukan. Sedekah bukan hanya wang. Doa, makanan, minuman, barangan seperti tasbih, beg, Al-Quran, kitab doa dan pelbagai. Saling memberi dan berkongsi rezeki.
Percayalah kita tidak keseorangan. Saudara-saudara seagama dengan kita, InsyaAllah sedia membantu. Terutama apabila ini pengalaman pertama berada di sana. Percaya diri. Percaya Allah SWT ada bersama kita. Sentiasa berdoa urusan kita dipermudahkan. Sekiranya ada perkara terpaksa kita hadapi sendirian, percayalah kita mampu lakukannya.
Aplikasi Nusuk dan Raudhah
Bukan semua agensi menyediakan mutawif wanita. Jemaah yang kali pertama atau kurang arif untuk masuk ke Raudhah perlu buat persediaan awal. Fahamkan penerangan yang diberikan oleh mutawif. Pintu untuk masuk ke Raudhah, pintu 37. Pintu masuk untuk ke Raudhah ini adalah sama untuk jemaah lelaki mahupun wanita cuma waktu untuk masuk yang berbeza. Beratur di laluan yang sama tetapi apabila tiba giliran wanita, polis wanita akan mengambil alih. Tidak ada jemaah lelaki yang akan beratur lagi di laluan tersebut. Paling penting, daftar masuk di aplikasi Nusuk. Kebiasaannya agensi melalui mutawil akan memberikan panduan. Maklumat Nusuk tidak boleh dikongsikan kepada umum. Ini penting. Nanti disalahguna pula. Akibatnya tidak dapat masuk walaupun kita yang mendatar. Walaupun itu merupakan giliran kita. Pengalaman saya, polis wanita semak dengan teliti maklumat Nusuk kami. Sepertimana yang telah saya katakan rezeki dan peluang setiap orang tidak sama.
Barang Keperluan
Begitu juga dengan tempat penginapan. Pengurusan hotel tidak begitu cakna dengan permintaan dan aduan pelanggannya. Bagi permasalahan kecil mungkin boleh diatasi dengan buat sedikit persediaan yang termampu sebelum datang. Tuala misalnya. Bawa tuala kecil dan nipis. Bawa lebih penyangkut baju. Penyangkut baju yang boleh di lipat. Boleh bawa cerek elektrik mudah alih dalam bentuk botol air. Kecil dan ringan. Bawa baju dan tudung yang tidak mudah renyuk. Bukan semua hotel menawarkan seterika. Bawa pakaian secukupnya. Bagaimanapun ada perkara yang memang memerlukan perhatian. Semoga masalah-masalah ini dapat ditangani sebaiknya oleh agensi dan pengurusan hotel. Nanti saya kongsikan barangan yang kami bawa ketika menunaikan umrah dan haji. Mungkin bersesuaian dengan keperluan anda. Kami berada dalam keadaan cuaca yang berbeza. Umrah, cuaca yang selesa. Tidak begitu panas atau sangat sejuk. Haji dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Alhamdulillah, nikmat apa lagi yang didustakan.




Comments
Post a Comment