Sejak petang semalam, Kuala Lumpur basah. Hari ini hujan turun tiada mengenal tanda berhenti. Berterusan. Renyai-renyai disulam deras tiba-tiba. Panjang dan lama. Gusar. Sudah tentu. Hujan begini mengundang banjir kilat di Kuala Lumpur.
Sudah tujuh buah negeri dilanda banjir. Sudah ramai mangsa banjir di tempatkan di Pusat Pemindahan. Apa nasib anak-anak yang bakal menduduki SPM esok? Semoga semua sihat dan semua urusan dipermudahkan, amin.
Diri sendiri juga dilanda puting beliung sejak awal Subuh. Sepanjang perjalanan pagi ini berhujan di dalam dan di luar kereta. Mata pedih. Cahaya lampu yang malap dalam bilik ini menambahkan kabur pada penglihatan. Kepala sedikit pusing. Mahu tak mahu kena keluar juga sebentar tadi untuk dapatkan kad OKU baharu. Nasib tak menyebelahi kerana ada gangguan pada sistem. Sebetulnya kad masih belum siap. Ah Sudah! Gangguan juga pada sistem kedatangan. Kedatangan pagi ini tak direkodkan. Entahlah.
Hujan. Bawa bahagia. Bawa derita. Semoga hujan yang turun hari ini dan seterusnya, bawa rahmat untuk sesi semesta. Antara waktu mustajab untuk berdoa adalah ketika hujan turun. Mari kita tadahkan tangan memohon pada Ilahi agar semuanya baik-baik sahaja.

Comments
Post a Comment