Skip to main content

Progeria - Love Like the Falling Petals

Pernah dengar tentang penyakit, progeria? 

Sindrom Benjamin Button

Sindrom hutchinson-gilford

Tak pernah? 

Tak pernah? Tak pernah itu mungkin sebab kita tak biasa dengan istilah perubatan. 

Progeria merupakan salah satu daripada penyakit jarang jumpa. Penghidap penyakit ini akan menjadi lebih tua daripada usia yang sebenar. Ooohhh. Pernah dengar kan. 

Bukan menjadi tua sedikit tetapi bertukar menjadi terlalu tua dalam jangka masa yang sangat singkat. Penyakit ini dikatakan berlaku pada satu daripada 4 juta kelahiran. Barangkali ada yang tahu sedikit sebanyak mengenai penyakit ini daripada bintang YouTube, mendiang Adalia Rose

Filem Jepun, Love Like the Falling Petals mengisahkan tentang seorang gadis yang menghidap progeria. Filem yang diadaptasi daripada novel, Sakura no Yona Boku no Koibito karya Keisuke Uyama

Hidup Ini Ladang Ujian

Kisah bermula dengan Haruto yang diam-diam jatuh cinta pandang pertama dengan seorang pendandan rambut bernama Misaki. Haruto merupakan pelanggan pertama Misaki. Terkejut dengan ajakan temujanji pertama, Misaki secara tidak sengaja telah tergunting cuping telinga Haruto. Hubungan mereka bermula daripada peristiwa itu. Haruto nekad memperisterikan Misaki.

Bagaimanapun semua kemanisan cinta yang mula dikecapinya itu, bertukar menjadi tawar dan hambar. Kebahagian selama tiga bulan itu, hilang sekelip mata untuk Misaki. Uban yang semakin banyak tumbuh, disangka akibat tekanan kerja. Demam yang disangka biasa rupanya petanda sakit yang luar biasa. Ujian demi ujian klinikal dijalankan. Akhirnya doktor mengesahkan Misaki menghidap penyakit jarang jumpa, progeria. Bibit-bibit cinta yang sedang mekar pun gugur. Serupa dengan tajuk. 

Progeria menyerang dengan sangat cepat. Sebelum semuanya menjadi semakin jelas di mata orang, Misaki mengambil keputusan untuk 'hilang'. 'Hilang' tanpa dapat dijejak. Gerak hati Haruto percaya Misaki 'masih ada berdekatan'. Enggan mengalah demi cinta, Haruto tetap mencari dan menunggu. Percaya Misaki akan muncul jua. Oleh itu, memaksa Misaki 'hadir dengan kejam' untuk mematahkan harapan palsu. Sangat menyedihkan bukan? Tetapi itulah takdirNya. Menguji hambaNya. 

Sebelum keadaan diri semakin memburuk, Misaki memilih memutuskan hubungan cinta dengan Haruto. Memilih supaya Haruto membenci sekaligus melupakannya. Memilih merahsiakan hakikat menyakitkan itu daripada Haruto. Semudah itukah cinta terlerai? Sediakan tisu banyak-banyak ya. 

Ditatang Bagai Minyak Yang Penuh

Misaki, anak yatim piatu. Abangnya, Takashi satu-satunya ahli keluarga yang ada. Takashi selaku abang bersifat pelindung hingga terlihat mengongkong. Apabila Misaki jatuh sakit, kehidupan Sakaki juga ikut berubah 180 darjah. Keutamaan hidup Sasaki juga berubah. Penyakit Misaki membuatkannya bergantung hidup sepenuhnya pada abangnya. Tidak berputus asa mencari penawar pada penyakit Misaki. Mengambil keputusan yang salah. Ada pula yang menangguk di air keruh. Pun begitu, Takashi sangat bernasib baik kerana Ayano, tunangnya banyak berkorban dan sanggup bersusah payah. 

Duduk Dalam Kasut

Berat mata memandang, lebih berat bahu yang memikul beban. Sukar untuk kita memahami kerana kita tidak merasainya. Sekalipun kita bertindak sebagai penjaga kepada pesakit. Mengapa Misaki tetap juga mencuba pelbagai produk anti penuan dan kecantikan? Mengapa Misaki tetap mahu bersolek? Mengapa Misaki tidak pernah berhenti mahu berubat? Mengapa Misaki menolak Ayano jauh dari sisinya? 

Tidak terkecuali terpaksa menelan emosi tidak menentu si pesakit. Walaupun untuk sekecil-kecil perkara. Pesakit menjadi sangat sensitif. Misaki sedar dengan perubahan fizikalnya, tidak mungkin Haruto akan mengenalinya lagi. Namun dalam masa yang sama cinta dan rindunya, sangat mendalam buat Haruto. Takashi akhirnya mengalah. Memikirkan bahawa hayat Misaki sudah begitu hampir. Bersama-sama dengan Ayano, Takashi cuba sedayanya menghubungkan semula Haruto dengan Misaki.

Fitrah & Prespektif

Perempuan dengan fitrah semulajadi, sentiasa mahu diri kelihatan cantik dan menarik. Dalam siri Twilight, apakah kerisauan Isabella Swan? Risau kekasih hati, Edward Cullen yang kekal muda bergandingan dengan dirinya yang meningkat usia dan akan berubah rupa. Ini perspektif biasa buat seorang perempuan. 

Dapatkah seorang kekasih menerima hakikat bercinta dengan pasangan seusia yang tiba-tiba menjadi tua? Bukan meniti usia tua bersama-sama. 

Realiti menyakitkan itu harus ditempoh juga. Sukar untuk berhadapan dengan seseorang yang dicintai ketika diri, berada pada titik yang paling bawah dalam hidup. Bayangkan kekasih yang dicintai, sebaya, muda bertenaga dan bergaya. Sedangkan diri seusia, tetapi hadir dengan penampilan seorang nenek bongkok tiga, rambut semakin nipis, uban seluruh kepala, kulit berkedut seribu, penglihatan yang rabun, telinga yang semakin kurang pendengarannya dan yang paling menyedihkan, tak mampu lagi mengurus diri. 

Meskipun Haruto sudah mengetahui penyakit yang dideritai, Misaki tetap tidak kuat untuk menunjukkan dirinya di hadapan Haruto. Tetap memilih dipisahkan dengan penghadang. 

Jangan Pernah Berhenti

Setiap insan mempunyai keinginan dan berharap dapat mengapai impian. Jangan mudah rasa putus asa. Dalam keadaan Misaki seperti itu adalah mustahil baginya untuk meneruskan cita-cita menjadi pendandan rambut. Tetapi tidak boleh dijadikan alasan untuk berhenti menikmati hidup. Misaki berhak merasa bahagia. Ada perkara kecil tetapi memberi makna yang besar. Kata orang, bahagia itu mesti kita yang berusaha mencarinya. Dalam keadaan bongkok tiga. Langkah yang pendek dan lambat. Tenaga yang lemah. Hanya kekuatan semangat yang masih tersisa. Misaki berjaya menyaksikan sendiri pameran foto Haruto. Setiap keping gambar yang dipamerkan, mengimbas semua kenangan manis antara mereka berdua. Membuatkan Misaki terasa sangat dekat dengan Haruto. Berkongsi rasa. Rasa yang sama. Rasa yang membuatkan, tidak ada jurang yang memisahkan mereka. Pengalaman yang jadi kenangan manis untuk Misaki. Itulah detik kebahagiaan Misaki. Menjadi penguat buat Haruto meneruskan perjalanan hidup sebagai seorang jurugambar.

Apakah Penyesalan Anda?

Takeru Satoh dalam drama, Why Didn't I Tell You A Million Times? menyesal kerana tidak mengungkapkan kata-kata cinta semasa hayatnya. Misaki berasa kesal kerana tidak mengizinkan Haruto mempotretkan walau sekeping pun, foto dirinya. Ironi kerana Haruto seorang jurugambar. Jurugambar professional. Haruto pula menyesali gagal mengenali Misaki, dalam pertemuan terakhir mereka. Dalam keterujuaannya untuk bertentang mata dengan Misaki, rupa-rupanya Misaki ada di hadapannya. Pengubat kekesalan itu adalah kebahagian yang dirasai Misaki. Menyedari hingga ke akhir hayatnya, Misaki tetap tidak mahu mendedahkan diri. Tidak mahu berasa kecewa dan mengecewakan. Bersemuka dengan Haruto merupakan kemuncak kebahagiaan Misaki, sebelum menutup mata selama-lamanya.

Ada Perkara Yang Tidak Pernah Berubah

Dalam banyak keadaan, garis masa mungkin memisahkan situasi. Penyakit mungkin menjarakkan Misaki dengan Haruto tetapi ada perkara yang tidak pernah berubah. Kenangan manis yang mereka kongsikan. Perasaan terhadap satu sama lain. Misaki mungkin 'pergi' untuk selama-lamanya tetapi ada perkara yang membuatkannya terus 'hidup'. 

Musim Bunga di Sungai Meguro 

Kisah ini mungkin tak sehebat, The Curious Case of Benjamin Button. Mungkin juga tidak dapat menandingi kehebatan 1 Liter Tears  tetapi hei, ianya tetap mengingatkan kita perlunya menghargai insan yang tersayang dan tidak ada yang mustahil boleh berlaku dalam hidup ini. 

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...