Skip to main content

Ramadan - Doa Yang Dimakbulkan

Salam Ramadan

Lama saya tinggalkan blog ini. Ada banyak perkara, cerita, suka dan duka. Ada yang saya tulis dan padam. Ada yang saya tulis dan peram dalam ruangan draf. Sehingga cerita itu basi. Ada yang entah bila saya akan siarkan dalam blog ini. 

Namun hari ini saya terpanggil berkongsi. Walaupun jarum jam sudah menganjak ke waktu tengah malam dan sepatutnya saya sudah tidur untuk mengelakkan terlepas sahur. Tidak bersahur untuk saya mungkin tidak akan menjejaskan tetapi tidak untuk anak-anak terutama yang bongsu. Sangat bersemangat. Semalam demam kerana mendapat suntikan dos kedua vaksin pada Isnin. Berkali-kali disarankan untuk berbuka namun enggan. Gusar juga akan memudaratkan dirinya sementelah bukan kewajiban untuknya berpuasa.

Juga hati ini bimbang mengenangkan keadaan seorang kawan yang sangat baik yang diberitakan berada di dalam wad sejak Isnin. Semoga keberkatan doa di bulan mulia ini, urusannya dipermudahkan dan sakitnya diangkat. Semoga Juniza sembuh seperti sediakala, aamin.

Sempena Nuzul Quran semalam, saya ambil kesempatan mengingatkan anak-anak tentang peristiwa penting pada 17 Ramadan. Alhamdulillah. Sebetulnya di sekolah mereka sedang dan sudah belajar tetapi jika hanya belajar untuk peperiksaan, alangkah ruginya. Ilmu yang tidak diamal umpama pohon yang tidak berbuah.


Saya cuma punya seorang puteri. Barangkali. Episod hamil dan keguguran berulang kali, tidak pasti jantina anak daripada kandungan yang telah 'pergi terlebih dahulu'. Terang dan pasti, inilah seorang puteri kami. 

Ketika berbasa basi usai iftar tadi, anak saya membuka cerita. 

"Semalam Aisyah dan Syukriah ajak berbuka di luar"

"Berbuka di mana?"

"Berbuka di BTS (Berjaya Times Square)" 

Anak-ank muda sekarang ada kod bahasa mereka sendiri. BTS = Berjaya Times Square. SPM = Sunway Putra Mall dan entah apa lagi. 

"Uih jauhnya," Sebenarnya tidak begitu jauh tetapi di luar kawasan perumahan kami.

"Itulah. Diaorang ajak Kak Long sama tapi Kak Long tanya siapa orang dewasa yang ikut? Diaorang cakap, tak ada. Diaorang berdua sahaja. Kak Long cakap Mummy mesti tak bagi sebab tempat tu jauh. Lepas tu tak ada orang dewas teman. Bahaya."

"Kalau berbuka dekat dengan kawasan rumah kita dan ada orang dewasa, memang Kak Long akan minta izin nak ikut"

Saya jadi gembira campur terharu. Berkali-kali saya memujinya kerana telah membuat pertimbangan yang baik dan keputusan yang bijak untuk dirinya sendiri. 

Anak ini tidak lama lagi akan kami 'lepaskan'. Masanya bersama-sama dengan kami cuma tinggal tak sampai dua tahun pun. Jika ada rezekinya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Alhamdulillah. Nampaknya apa yang kami pasakkan dalam dirinya sudah tertanam. 

Saya selalu bimbang sebetulnya. Ketika umurnya masuk sebelas tahun, selalu dia bercerita tentang kawan-kawan yang sudah mendapat kebebasan daripada ibu bapa untuk membeli belah dan berpergian seperti lagak orang dewasa. Saya terangkan kesan baik dan buruk kebebasan yang terlalu awal itu. Ini kotaraya besar. Tempat berhimpun masalah sosial remaja yang bukan sedikit. Saya kongsikan pelbagai berita masalah sosial remaja kepadanya. Malah saya bersyukur dia berpeluang mengikuti program di salah sebuah rumah perlindungan remaja hamil anjuran sekolah. Berhadapan dengan realiti masalah sosial remaja seusia dengannya.

Menganjak umurnya, ada beberapa kali meminta diberi kebebasan untuk berlibur bersama kawan-kawan. Jika hanya ke rumah kawan-kawan di sekitar kawasan kejiranan sekolah atau rumah dan dijemput pulang oleh En Muin, kami berikan kebenaran. En Muin jasanya kepada kami anak beranak sangat besar. Bukan sahaja sebagai pemandu van sekolah yang menjemput dan menghantar anak-anak pergi dan balik ke sekolah, malah turut menawarkan diri menjemput Kak Long dari rumah rakan. Alhamdulillah. Ada juga meminta keluar untuk meraikan guru kesayangan yang bertukar sekolah. Ada juga meminta izin bersama-sama dengan kawan-kawan makan di kedai serbaneka barangan Korea berdekatan rumah. Banyak soal jawab sebelum kami memberi izin. Malah pergi dan baliknya berjemput. Meskipun boleh sahaja dia berjalan kaki ke sana. Alhamdulillah bukan hanya saya, keselamatan itu turut dititik beratkan ibu bapa kawan-kawan yang lain. Sama-sama kami jemput mereka. 

Berkali-kali saya tekankan keselamatan dirinya keutamaan kami. Biar beringat sebelum terkena. Mencegah lebih baik dari mengubati. Kami tidak bermaksud mengongkong. Kami juga tidak mahu dia curi-curi keluar kerana dia ada banyak peluang berbuat demikian. Bas percuma intrakota merupakan pilihan terbaik untuk dia berlibur ke kotaraya tanpa pengetahuan kami selepas pulang dari sekolah. Namun Alhamdulillah itu tidak terjadi. Sementelah En Muin tidak boleh mengambil dia tepat pada waktu balik persekolahan. Beberapa kali juga dia menaiki bas awam untuk pulang ke rumah terutama pada hari Jumaat kerana tak sanggup menunggu lama di sekolah. Itupun kami selalu pesan jangan berseorangan. Kami tidak punya banyak pilihan kerana hanya En Muin satu-satunya pemandu van sekolah yang sanggup. Kebetulan Kak Long pelajar aliran KAA di sekolah tersebut. Sekolah berdekatan dengan rumah kami tidak menawarkan aliran KAA. Setiap sesuatu ada pro dan kontra.  

Alhamdulillah kelmarin dia sudah boleh membuat keputusan. Sudah boleh menimbang. Berkat bulan Ramadan yang mulia. Doa kami dimakbulkan. Semoga rahmat dan perlindungan  Allah SWT sentiasa berada di mana juga anak-anak berada, aamin.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...