Skip to main content

Covid 19 Pelajaran Apa Yang Kita Kutip?

Virus ini tak kenal agama, bangsa, negara, umur, pangkat, darjat atau kerjaya. Pukul rata semua. Ada bayi baharu menjenguk dunia mendapat jangkitan. Ada kerabat diraja dijemput pergi selamanya. Ada pemimpin dunia sedang berjuang melawan maut. Orang-orang ternama. Orang-orang di sekitar yang kita kenali. Ada yang tidak pernah kita kenali tapi sama kita tangisi. Melihat ambulan datang menjemput  mereka pergi. Melihat pengkebumian yang tidak pernah dijangkakan sebegitu adanya.  


Ketika kes positif bertambah setiap hari dalam jumlah yang banyak sehingga mencecah 233 kes. Gundahnya rasa hati. Walaupun kini pertambahan kes di negara kita, tidak mencanak naik. Bilangan yang pulih semakin ramai. Alhamdulillah tetapi masih bukan tiket untuk berlapang dada. Tidak juga rasa lega kerana seluruh dunia berperang melawan musuh yang tidak kelihatan.



Semalam diumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung lagi. Pertambahan 14 hari lagi. Emosi sudah mula berkecamuk. Ada pelbagai perkara mempengaruhi. Resah gelisah risau. Ada yang terpisah daripada ahli keluarga. Ada yang menderita menangung sakit sendirian. Ada yang berjuang untuk kelangsungan hidup. Ada yang bergelut memikirkan untung nasib masa mendatang. Usah sebut soal terkesan dan kerugian. Rugi tidak cuma dari segi kewangan. Masa sebetulnya yang tak dapat diundur semula. Meski barangkali punya dan mampu dari segi wang ringgit dan kesihatan tetapi tetap kerdil tak terdaya melawan dugaan ini.

Kita hilang kesempatan untuk banyak perkara. Kita telah hilang peluang mengunjungi rumah Allah. Barangkali untuk tahun ini kita akan kehilangan peluang meraikan hari raya bersama-sama keluarga. Juga belum dapat dipastikan apakah kita dapat menyahut panggilan ke Tanah Suci.

Musuh ini meragut tidak hanya nyawa. Lebih malang kerana kita tidak bersedia menghadapinya.

Kita kehilangan alim ulama-alim ulama. Kita kehilangan pemimpin-pemimpin. Kita kehilangan tenaga-tenaga mahir. Kita kehilangan begitu ramai ketua keluarga. Kita kehilangan ibu-ibu mithali.  Kita kehilangan ahli-ahli keluarga. Kita kehilangan sahabat taulan.  Kita kehilangan mereka-mereka yang kita kasihi. 

Bayangkan mereka pergi tanpa dapat ditatap buat kali terakhir. Tanpa dapat dikucup. Tak boleh dekati. Malah urusan pengembumian sangat cepat dan ringkas. Tak pernah kita bayangkan sama sekali ini akan kita tempuh.

Betul, caranya sama seperti pengembumian jenazah pesakit Ebola tetapi kita sendiri kurang kesedaran tentang wabak penyakit itu. Meski ianya telah menyerang sejak tahun 1976 di beberapa bahagian di Afrika.

Dalam tempoh ini juga, kehilangan jiwa bukan kerana covid 19 juga tidak dapat kita hantar, mereka pergi buat kali terakhir. Tidak dapat kita ziarahi. Allah sudah tarik banyaknya nikmat dunia dengan hanya menghantar sekecil kuman. Sebelumnya hanya diam di badan haiwan.

Virus ini menuntut kita mengutamakan kebersihan. Kebersihan yang jadi tuntutan dalam agama kita sendiri. Namun kita masih kita yang selalu ambil mudah. Pembuangan sisa klinikal meningkat. Meningkat berbanding hari-hari biasa. Kita pula tambah dengan membuang sampah merata-rata kerana itu kebiasaan kita. Sarung tangan yang kita telah gunakan. Topeng muka yang telah kita pakai. Mudahnya kita campakkan sesuka hati kita.


Kita jadikan PKP untuk 'berkurung yang tak kena tempat'. Kita undang penyakit lain datang menyerang sama. Cukup kuatkah sistem imun badan kita? Mengapa kita hendak ramaikan lagi penghuni hospital?


Kita berinovasi atau entah cuba berjimat dengan cara yang salah. Cukup bijakkah kita?


   Pelajaran apa yang kita kutip dari serangan wabak pendamik novel corona virus ini?

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Panduan Memilih Buku Untuk Anak Disleksia

Membaca jambatan ilmu. Mari kita pupuk minat membaca untuk anak-anak disleksia kita. Walaupun membaca akan jadi perkara yang paling meresahkan untuk mereka. Mula-mula kita kena pilih buku yang sesuai.  Pilihan buku yang baik untuk anak disleksia antaranya mesti mengambil kira: Ada lebih banyak gambar berbanding tulisan .  Saiz tulisan yang besar dan menarik . Kenapa? Anak disleksia menggunakan bahagian otak yang berbeza daripada anak normal untuk membaca. Jadi mereka cepat lebih. Lambat faham. Kita tentu tak mahu anak kita cepat letih. Kita mahukan anak kita seronok membaca dan sukakan buku. Dr Ong Puay Hoon ( Presiden Persatuan Disleksia Sarawak ) sarankan, sebaik-baiknya dalam satu muka surat hanya ada sebaris ayat. Saya sertakan contoh yang diambil dari buku No, David! Puan Lee Voon Yee ( Psikologi Klinikal PPUKM ) menyarankan buku-buku kanak David Shannon . David Shannon merakamkan keletah dan kelakuan anak-anak. Sekaligus buat anak-anak...