Skip to main content

Apam Nasi

Sebetulnya sudah beberapa kali berulang ke kedai runcit berdekatan rumah mencari yis segera dan ovalet tetapi hampa.

Sudah dua kali suami ke Giant untuk membeli barang keperluan. Pesan suruh belikan. Hampa juga.

Bekalan yis segera yang ada di rumah memang tak mencukupi. Ada beberapa jenis kuih berlegar-legar dalam kepala. Kesudahannya saya pilih buat apam nasi. Menyelamatkan lebihan nasi yang agak banyak daripada terbuang.

Ramai orang buat kuih muih sepanjang PKP ini. Ramai yang mengeluh kerana asyik ke dapur menyediakan hidangan. Ramai juga memilih untuk berpuasa. Kami pun berpuasa juga. Mengambil peluang sempena 'paksaan bercuti ini'. 

PKP buat kedua orang tua semakin resah gelisah. Tidak pernah keduanya selama ini berpergian jauh meninggalkan rumah. Melainkan ya, ketika mengerjakan haji beberapa tahun lalu. Namun itu merupakan sesuatu yang sangat berbeza. Itu perkara yang menggembirakan. Sedangkan PKP aah terlalu banyak yang mengganggu di minda.

Kakak ayah dimasukkan ke hospital, menjalani pembedahan membuang sebelah kaki, meninggal dunia kemudiannya. Tidak dapat berziarah. Adik perempuan. Bongsu pula. Lama sungguh ditinggalkan. Bekalan ubat juga habis. Merata mencari di klinik berdekatan. Temujanji dengan doktor pula semakin hampir tetapi buku temujanji di rumah. Pernah mereka berperap di dalam bilik hampir seharian. Selera mereka juga terjejas. sementelah PKP dilanjutkan lagi. Jelas kegusaran di wajah mereka.

Cuba juga masak beberapa jenis lauk kesukaan mereka. Namun tidak begitu membantu. Fikiran pun jadi tepu. Suami lain seleranya. Kedua orang tua lain seleranya. Kena masak hidangan berbeza untuk lauk pauk.  

Saya cuba buat kuih pula. Setidak-tidaknya ayah mahu makan. Maka apam nasi dipilih berbanding donut. Selera orang-orang lama. Kalau tanya anak-anak, pasti minta donut. Jadi utamakan selera orang tua.


Resipi Apam Nasi

Bahan-bahan:

2 cawan nasi 
2 1/2 cawan air
1 cawan gula
1 peket yis segera @ kering (11 gm)
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras

Cara Membuatnya:

1. Campurkan semua tepung gandum dan tepung beras serta yis segera. 

2. Kisar nasi bersama air dan gula. Tuang adunan ke dalam adunan tepung. Gaul dengan pewarna yang digemari dan adunan tidak berketul. Peram selama 3 jam. 

3. Panaskan pengukus sebelum mula mengukus. Kukus selama 10 atau 15 minit bergantung pada acuan. 

4. Gaulkan dengan kelapa parut yang telah digaul dengan secubit garam. (Saya kurang suka makan apam dengan kelapa parut. Kelapa parut saya gunakan pun kurang cantik. Apakan daya PKP ini, kita kena terima keadaan seadanya)

Petua:

Ada petua untuk memastikan yis segera atau kering masih elok. Antara yang paling mudah adalah rendam yis dengan air suam, jika lkebih 10 minit yis tidak berbuih, tandanya yis telah mati. Yis yang telah mati tidak boleh digunakan lagi.

Alhamdulillah, gebu dan sedap rasanya. Ambil dari facebook. Terima kasih. Mohon halalkan. Lupa sumbernya. Namun masih tak berjaya buat sehingga merkah. 

Apabila makan apam nasi ini teringat isteri seorang kawan suami yang sangat gemarkan kuih ini. Apakan daya kita masing-masing terkurung. Saya doakan di mana pun Kak Min berada, Kak Min sekeluarga sihat. 

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

Panduan Memilih Buku Untuk Anak Disleksia

Membaca jambatan ilmu. Mari kita pupuk minat membaca untuk anak-anak disleksia kita. Walaupun membaca akan jadi perkara yang paling meresahkan untuk mereka. Mula-mula kita kena pilih buku yang sesuai.  Pilihan buku yang baik untuk anak disleksia antaranya mesti mengambil kira: Ada lebih banyak gambar berbanding tulisan .  Saiz tulisan yang besar dan menarik . Kenapa? Anak disleksia menggunakan bahagian otak yang berbeza daripada anak normal untuk membaca. Jadi mereka cepat lebih. Lambat faham. Kita tentu tak mahu anak kita cepat letih. Kita mahukan anak kita seronok membaca dan sukakan buku. Dr Ong Puay Hoon ( Presiden Persatuan Disleksia Sarawak ) sarankan, sebaik-baiknya dalam satu muka surat hanya ada sebaris ayat. Saya sertakan contoh yang diambil dari buku No, David! Puan Lee Voon Yee ( Psikologi Klinikal PPUKM ) menyarankan buku-buku kanak David Shannon . David Shannon merakamkan keletah dan kelakuan anak-anak. Sekaligus buat anak-anak...

Nasinya Tumpah Dan Talang

Nasinya tumpah adalah salah satu daripada cerpen-cerpen bermutu yang dihasilkan oleh pengarang tersohor, Fatimah Busu. Cerpen yang memenangi Hadiah Karya dan Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1972, ini juga diangkat dalam drama televisyen yang dilakonkan oleh Marlia Musa dan ND Lala. Saya mula membacanya ketika di bangku sekolah rendah. Ada apa dengan "nasinya tumpah"? Banyak. Antaranya, hikmah atas sesuatu perkara buruk yang berlaku. Mujur nasinya tumpah jika tidak, Bedolah pun akan sama meninggalkan dunia fana ini. Ini cerpen namun dapat menerbitkan rasa sayu. Sarat membawa mesej kemanusian dan kemasyarakatan. Bayangkan jika perkara sama menimpa diri atau ahli keluarga kita. Kutip cendawan, masak dan makan beramai-ramai. Saya sekeluarga juga pernah. Sedap! Sudah makan teringat semula cerpen ini. Memang menginsafkan. Bagaimana dengan keluarga yang memang apabila terjumpa cendawan bermakna itu rezeki mereka buat hari itu. Kutip, masak dan makan. Tanpa mengira sama ada ce...