Skip to main content

Nostalgia Trip ke Bandung : Antara Yang Menarik

Minggu hadapan, cuti sekolah sudah bermula. Anda hendak ke mana?

Bandung. Bandung antara syurga membeli belah orang Malaysia. Ramai yang berulang alik ke sana untuk membeli belah dan berniaga. Ini mungkin sebelum kejatuhan ringgit. Hakikatnya sekarang apabila mata wang kita jatuh, jalan-jalan ke Bandung lebih kepada hendak bercuti.

Kami ke Bandung cuti sekolah bulan Mac 2017. Lama kan saya peram cerita. Hasrat hendak membawa kedua orang tua dan mertua serta adik yang OKU, akhirnya dimakbulkanNya. Alhamdulillah, walaupun ada banyak rintangan sebelum berangkat ke sana dan sewaktu berada di Bandung, keseluruhannya percutian keluarga ini sangat menggembirakan.  

Sudah banyak blog bagi itinerary trip ke Bandung. Terutama untuk shopping. Jadi saya cuma hendak merakamkan kenangan kami ke sana sahaja.

Penginapan
Kami menginap di Rumah Tawa. 4 bilik. Kami diberi bilik berdekatan satu sama lain di aras bawah. Bersebelahan dengan kaunter penginapan. Selesa untuk rombongan berkeluarga. Sarapannya cuma ada 2 pilihan menu sahaja iaitu nasi goreng atau set roti bakar dengan sosej. Cuma untuk sehari sahaja kami pilih menu roti. Nasi lebih mengenyangkan apa lagi apabila masa makan jadi tak menentu.

Masjid di antara deretan kedai?
Indonesia merupakan negara dengan penduduk Islam terbesar di Asia Pasifik iaitu kira-kira 62% penduduknya beragama Islam. Lagipun ini bukan Pulau Dewata yang pernah dikunjungi. Sejak jejak kaki belum nampak masjid tapi nampak signboard masjid di lorong-lorong tertentu. Rupanya di kawasan bandar ini, tidak banyak bangunan masjid yang besar-besar dengan ruang halaman yang luas-luas. Masjid Bandung Raya itu yang terbesar di kota. Tak singgah pun. Tengok dari jauh je. Terjumpa Masjid Chinese Muslim dalam deretan kedai, betul-betul di tepi jalan.  Masjid Lauze 2 namanya. Masjid ini kelihatan kecil (cuma perhatikannya, dari dalam kereta). Kelihatan ada sedikit kerja-kerja pembaikan sedang dilakukan. Beza beza ketika kami masuk ke kawasan perkampungan, bangunan masjid dan suraunya, bilangannya banyak dan tersergam.  

Memang mudah bagi orang Islam apabila melancong ke Indonesia. Restoran, kedai makan, tempat-tempat riadah, shopping complex dan hotel pun ada surau. Telekung pun di sediakan. Persekitaran bersih. Cuma kebanyakkan suraunya tidak ada pengasingan tempat lelaki dan perempuan.

Seperkara lagi, signboard gerakkan solat subuh berjemaah di masjid menarik perhatian. Ini salah satunya. Sujud itu indah. Kau berbisik ke bumi tapi didengar di langit. Puitis.



Orang Bandung
Rata-rata tempat yang kami tuju di Bandung adalah tempat pelancongan. Jadi layanan penduduk setempat pada pelancong sangat baik. Ramah dan mesra. Mereka berpesan supaya kami sentiasa berhati-hati dengan penyeluk saku. "Jaga tasnya Kakak", "Jaga tasnya Ibu Aji" Beg tangan kena silang ke hadapan. Tatkala kita berpapasan di ruang pejalan kaki yang sempit di Cibaduyut atau di tengah-tengah lautan manusia dalam ruang kedai yang kecil di Pasar Baru Trade Centre. Supir kami Andi, baik orangnya. Hahaha sebab kami ada pengalaman kurang enak dengan supir ketika di Pulau Dewata, 10 tahun lalu. Kakitangan hotel tempat kami menginap juga, baik. Aha ketika di Bali, kami juga menerima layanan yang sangat baik daripada kakitangan hotel. Malah kakitangan hotel mengatur perjalanan kami ke pasar di Bali yang saya rasa mana-mana supir pun tidak akan bawa kami ke sana. Berbaloi sangat sebab kami dapat beli beberapa barangan yang memang kami hajati dengan harga yang sanagat murah. Memang takkan dapat harga begitu di Pasar Krisna pun. Aduh melalut cerita di Bali pula. Balik ke Bandung, please! Jadual perjalanan kami terpaksa berubah kerana faktor cuaca. Hujan lebat, kami lewat mendarat lebih daripada sejam. Malah hari ketiga kami di Bandung memang basah kuyup. Andi dan kakitangan hotel banyak bagi cadangan untuk kami menyusun semula jadual. Kesimpulannya, Mac memang bumi Bandung basah. Rancang cuti anda dengan berhemah ya.

Urus Niaga
Saya suka kerana banyak sekali doa yang dipanjatkan tatkala kita selesai akad berurus niaga. Orang kata membeli belah di Bandung kena pandai tawar menawar. Tawar menawar ini perlu kemahiran membujuk. Kemahiran membujuk yang saya tak ada kepakaran. Hendak selamat, kalau sesuau barang itu saya rasa tak wajar harganya atau harganya lebih kurang di sini, tak payah beli. Seperkara saya tak rasa ralat pun sebabnya kebanyakkan barang-barang itu memang di jual di sini juga.

Selera Bandung
Bandung tidak ada kaitan langsung dengan mee bandung atau sirap bandung. Tak jumpa pun menu itu sepanjang ada di sana. Teh. Ada sesetengah kedai makanan menghidangkan teh percuma sebelum hidangan sampai. Teh tak bergula. Jika hendak gula, mereka akan berikan bekas gula. Sendiri bubuh,  bancuh hendak manis setakat mana. Ini yang dapat disimpulkan: 

Teh = Teh O Tawar.

Teh Manis = Teh O Kurang Manis.

Teh Sangat Manis = Teh O yang selalu kita minum di kedai-kedai di Malaysia.

Nampak benar orang Malaysia suka makanan dan minuman manis-manis. Bahaya betul. Hahaha

Teh Botol pun kurang sesuai dengan selera. Teh yang dihidangkan dicampurkan dengan bunga Melati atau Melur. Lebih tepat Jasmine Tea. Seperkara lagi tidak ada teh tarik. Aduhai. Ini minuman untuk sarapan setiap pagi tau. Marahlah Doktor Ayu. Hahaha Kami cuma jumpa dalam menu di sebuah restoran iaitu di Sawung Gawir. Pasti kerana ramai pelancong dari Malaysia pernah menjamu selera di sini. Mungkin juga penyediaan teh tarik datang daripada saranan pelancong Malaysia. Barangkali juga pengusaha pernah rasa teh tarik dari Malaysia. Sedapnya Teh Tarik!

Pilihan saya sepanjang di Bandung, Jus Alpukat.



Laut jauh dari Bandung. Menurut supir kami, Andi jaraknya 9 jam perjalanan berkereta. Jadi sebelum ke Bandung, sudah dapat pesanan penaja, seafood mahal harganya. Majoriti orang Bandung merupakan orang Sunda. Sedap masakan orang Sunda. Kena dengan selera. Sampai ada antara kami yang minta bekal sambal goreng ketika di Sawung Gawir. Sementelah  kami pelanggannya yang terakhir, dapatlah sebungkus sambal. Makan ketika menikmati sarapan nasi goreng keesokkan harinya hahaha. Masakan Padang pun ada. Sedap, sedap, sedap. Kalah rasa masakan Puti Ayu Batam, di sini. Ayam yang dihidangkan di Bandung, ayam kampung. Tak cukup ayam sekecil itu bagi penggemar hidangan ayam. Bokso Malang juga sedap. Terasa berbeza daripada yang dijual di Malaysia.




Andi bawa kami ke sini, bmk. Memang terbaik!



Sate di Bandung kalau ayam, memang daging ayam yang padat. Tidak dicampur, lemak ayam atau kulit ayam. Makan dua cucuk, tiga cucuk sudah kenyang. Sate dihidangkan bersama kuah kacang, lontong (nasi impit), bawang dan cili padi potong. Kuahnya, kuah kacang yang dikisar halus. Bagaimanapun perlu ditambah dengan kicap untuk menikmatinya. Emak saya saya juga beli daging salai dari penjaja yang menjaja setiap pagi di hadapan hotel, tempat kami menginap. Kek lapis kami pesan daripada Andi. Semestinya beli brownies bakar di Kartika Sari. Bagelan juga dari Kartika Sari. Menghabiskan saki baki rupiah dengan membeli brownies kukus Amanda di Bandara atau Lapangan Terbang Bandung.



Martabak atau di Bandung dipanggil martabak asin, tak jauh beza rasanya kecuali kuah pencicah iaitu di sini kicap dan cili padi potong. Kami cuba martabak asin yang di jual penjaja di luar restoran ketika makan malam. Apam balik dikenali martabak manis di Bandung. Ada pelbagai perisa. Tidak hanya diletakkan inti kacang dan jagung tetapi juga coklat, chocolate rice, cheese dan pelbagai aneka lagi.


Pisang cheese memang kaya dengan cheese. Saya perhatikan banyak makanan ringan yang dicampurkan dengan cheese. Contohnya, singkong cheese atau ubi kayu cheese. Tak rasa pun. Tengok dari dalam kereta, penjaja berjaja. Tapai ubinya besar-besar. Sebesar ubi itu sendiri. Suami saya memang suka membeli makanan street food ni. Kami cuba dua jenis street food yang lain iaitu cilok dan gemblong. Sakit perut? Alhamdulillah, tidak!

Harga makanan dan minuman memang agak mahal. Terutama jika makan di restoran atau pusat membeli belah.

*Ketika makan di Trans Studio Mall, seorang pelayan minta hendak tengok duit kertas Malaysia. Duit kertas RM 1.00 sebenarnya. Apabila ditunjukkan, suka benar dia. Ketara sangat dari air mukanya. (Perasaan saya lain pada masa itu. Ya. Kadang kala kita punya impian atau angan-angan tapi kita tak tahu entah bila semua itu akan jadi kenyataan. Perbualan kami dengannya selepas itu sebenarnya beri kesan kepada saya)

Trans Studio Bandung
Ramai yang memberi saran supaya mengabaikan Trans Studio Mall. Namun kami pergi juga demi anak-anak. Kami habiskan masa di sana sebaik ianya dibuka sampai pukul 4:00 petang rasanya. Anak-anak memang teruja. Sekarang ini pun kalau ditanya apa yang seronok ketika di Bandung, jawapan mereka adalah Trans Studio Bandung. Ayah, Emak dan Mek pun ikut sama main permainan yang sesuai. Sempat Emak buat perbandingan, "Genting lagi best!" Hahaha

Selatan Bandung
Kami ke Cidiwey. Paling menarik, tentulah alam semulajadi ciptaanNya. Itu yang paling istimewa. Indonesia luas. Masih banyak hijau. Sejuk mata memandang. Memang kagum melihat keajaiban ciptaan Yang Maha Esa.  Kawah Putih terletak di bahagian selatan. Kena bertolak awal untuk elakkan kesesakkan dan kerana kedudukkannya yang jauh dari kota. Pemandangan kiri kanan jalan memang mengasyikkan. Boleh tengok budaya dan cara hidup masyarakat di sana. Kebetulan pula ketika itu hari bekerja. Gerimis mengiringi perjalanan kami. Saya memang susah hati. Takut Ayah demam. Risau anak-anak pun sama. Sebaik tiba, hujan berhenti sepenuhnya. Lega sangat sebaik kami sampai, hujan teduh cuma cuaca sejuk betul. Saya katakan pada Andi, "Nasib baikkan Andi. Hujan dah berhenti" "Alhamdulillah Kakak" Tiba-tiba hujan turun semula. Bertempiaran penyewa payung memayungngi kami. "Kakak lain kali kita bicarakan sesudah pulang aja" Hahaha

Meskipun kami berhujan di Kawah Putih Cidiwey ianya adalah pengalaman paling bermakna. Subhanallah. Sangat-sangat istimewa ciptaanNya. Syukur kerana saya ada bersama-sama orang-orang yang saya sayang, menikmati rahmatNya itu. Jika anda ke sana sekitar Mac, sediakanlah payung sebelum hujan. Memang kami sewa payung tapi payungnya, alahai. Menunggu masa, kata orang. Silap saya yang berbolak balik hendak membawa payung lipat dari rumah. Patutnya saya ambil pengajaran ketika berhujan di Hong Kong dulu. Baju hujan anak-anak pun tertinggal. Cuma mask memang saya bawa banyak. Bau sulfur tidak begitu kuat walaupun boleh nampak di gigi air belerang berkumpul. Mungkin kerana hujan, anak-anak kesejukkan jadi mereka tak mahu tanggalkan mask.

Ada 2 buah gunung berapi yang terkenal di Bandung iaitu Kawah Putih dan Tangkuban Parahu. Perancangan asal saya, sebolehnya mahu bawa orang tua kami pergi kedua-dua tempat. Kawah Putih Cidiwey di selatan dan Tangkuban Parahu di utara. Bagaimanapun jadual perjalanan kami memang telah banyak terganggu kerana cuaca tidak memihak. Kami tidak ke Tangkuban Parahu atas saranan Andi. Katanya, Tangkuban Parahu memang jauh. Jauh bukan masalah bagaimanapun harga tiket masuk ke sana mencekik darah. Lagi pula dengan keadaan cuaca Andi cadangkan kami ke tempat yang lain. Tuan punya tempat kami menginap juga menyokong cadangan Andi. Malah kami bincang-bincang aturan jadual yang baharu ketika mula sampai di hotel.


Ketika di Danau Situ Patenggang, kami naik bot tanpa memakai jaket keselamatan mengelilingi tasik itu. Sudah sampai baharu tersedar. Mujur tak jadi perkara yang buruk kerana keadaan cuaca memang tidak memihak kami. Gerimis mula menyambut kedatangan kami ketika melalui jambatan gantung menuju ke kapal. Sebaik berada di atas kapal, hujan maha lebat pun turun. Pelancong ramai. Baik tempatan mahupun luar negara. Nampak juga muka-muka orang Malaysia. Tempat duduk di atas kapal memang tak mampu menampung kepadatan pengunjung yang menumpang untuk berteduh. Sebetulnya di atas kapal itu merupakan restoran. Sebaik hujan sidang, kami turun menggelilingi tasik.

Dalam perjalanan pergi dan balik ke Kawah Putih dan Patenggang, selain pohon buluh, kebun sayur (kobis, daun bawang yang gemuk-gemuk segar), ladang teh dan ladang bunga melati, ada banyak sekali tempat-tempat penginapan dan taman tema air. Sesuai bagi yang inginkan penginapan yang jauh dari keriuhan kota.

Utara Bandung
Seperti yang diduga, Ayah demam. Adik pun demam. Saya memang bawa bekal ubat. Sesudah sarapan dan acara membeli belah di hadapan hotel, kami pergi ke Lembang. Sungguhpun hari bekerja, ramai sangat pelancong tempatan. Sempat juga bersembang dengan orang Malaysia. Ada banyak tempat pelancongan tapi yang menarik perhatian adalah Farm House Susu Lembang dan Floating Market.

Tiket masuk ke Farm House Susu ini boleh ditukarkan dengan susu segar. Ada asli, coklat dan strawberi. Sedap sangat.



Konon ada rumah-rumah Hobbit ala-ala di New Zealand. Memang ada tapi tidak banyak pun. Ada tarikan yang bagus untuk kanak-kanak di sana.


Ada petite zoo. Boleh beri makan kepada haiwan-haiwan yang ada di situ. Cuma untuk menyusukan kambing atau lembu, susu itu kena beli. Lupa sebarapa sebotol. Boleh juga kalau nak bergambar dengan kostum Belanda tapi kena sewa. Restoran di situ pun ala-ala kita berada di Belanda kiranya. Tak singgah makan pun sebab hendak makan di Floating Market.



Floating Market Lembang berbeza dengan pasar terapung di Thailand. Sama juga tiket masuk boleh ditukarkan dengan minuman. Masalah besar adalah kebanyakkan ahli keluarga tiba-tiba diserang sakit perut. Betul-betul minum susu segar itu membantu pencernaan. Hahaha. Beza sikit dengan Farm House kebanyakkan aktiviti yang hendak disertai di sini akan dikenakan bayaran lain. Contoh, kalau hendak berdayung. Ada bayaran lain dikenakan. Semua pembayaran melalui token termasuklah pembelian makanan dan minuman. Floating Market ini mengingatkan saya pada Taman Tasik SM Noor di Batu Gajah, Perak suatu ketika dahulu.Tak tahulah kenapa. Rasa sayang pula tempat itu cuma tinggal nama dan kenangan.

Tandas 
Setakat pengalaman saya, tandasnya bersih. Walaupun tempat itu tumpuan orang ramai. Tidak ada bau yang tidak menyenangkan tetapi bayarannya IDR 2,000.00. Lebih kurang 66 sen. Senyum ya. Cuma di sana, mereka tak kisah berkongsi tandas berlainan jantina.

Parkir dan lalulintas
Setiap kali kereta berhenti untuk singgah atau memang perlu parkir, sediakan duit kecil untuk bayar parkir. Tak kira sekejap atau lama, kena bayar untuk parkir. Bayarannya IDR 2,000.00 jika cuma singgah sekejap untuk beli barang di Indomart. IDR 10,000.00 kalau singgah lebih lama dan di tempat tumpuan pelancong seperti Kartika Sari. Lalulintas pula tak macam di Malaysia. Jujurnya saya takut tapi orang-orang di sini jarang gunakan hon. Ada ramai yang jadi penjaga lalulintas. Baik di kota ataupun di luar kota.

Money Changer
Kami tukar duit lebih banyak di sini berbanding di Malaysia. Tukar juga di Malaysia tapi tak banyak sebab atas saranan seorang kawan yang memang ulang alik ke Bandung. Selain ada keluarga di sini, kawan itu juga ada perniagaan di Bandung.

Shopping
Blog-blog lain banyak yang sudah ceritakan bab-bab shooping di Bandung ni. Kami ke FO macam orang-orang lain juga tetapi tidak ada apa-apa yang kami beli di FO. Tak ada yang menarik perhatian dan rasanya tidaklah murah mana pun. Kalau harganya ala-ala di sini, tak apalah atau mungkin kami pergi ke kawasan FO yang memang mahal. Suami tempah suit pada hari pertama kami datang. Macam yang semua sedia maklum, penghantaran dibuat ke hotel sebelum kami balik ke Kuala Lumpur. Telekung, baju batik, kain sulam memang tarikan di Bandung. Kami tak lama di Pasar Baru. Juga di rumah kain. Jadi tak banyak memborong. Barang kulit kami beli di Cibaduyut.

Shooping di kaki lima hotel juga mengasyikkan. Hahaha. Mana tak asyik, ada sahaja tawaran baharu. Pagi-pagi lagi kami akan dihidangkan dengan pelbagai jenis barang jualan, setiap hari sepanjang kami menginap. Kebanyakkannya barang-barang cenderamata. Ada beg, baju, pen, key chain, fridge magnet, lukisan, lighter, jam. Pendek kata serba neka. Serupa macam pasar pagi. Malam kami balik pun ada juga yang menunggu.


Seronok? Seronok sangat. Lagi seronok kalau semua ahli keluarga ada bersama. Cuma apabila ramai ahli rombongan, ambil kira keperluan berlainan bagi orang tua dan anak-anak kecil. Ada macam-macam karenah. Merajuk tak usah ceritalah. Anak saya jatuh dalam kolam mini di hotel. Aduh! Betul-betul masa kami hendak bertolak ke Trans Studio. Basah lencun. Kakitangan hotel tolong basuhkan baju seluarnya. Saya ada ambil gambarnya tapi anak yang bijak ni diam-diam delete gambar memalukan tu. Tahu pun malu. Ingat hati nak buat kenangan sampai dia besar.

Ada masa banyak terbuang.

Kita pun tak harap melepaskan orang-orang tua berjalan sendiri. Fahami keadaan mereka yang tidak secergas kita. Lebih baik menunggu daripada berpecah atau buatnya sesat hilang, lagi haru. Memang haru pun sebab ada ahli rombongan kami yang 'lupa dunia' di Pasar Baru. Berkali-kali juga buat pengumuman. Kalau ada rezeki, saya hendak mengulang bawa rombongan keluarga. Harap diberi kesihatan yang baik Insyaallah.
     

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...