Skip to main content

Aishiteiru To Itte Kure (Cakaplah, Saya Cintakan Awak) - Pekak dan Bisu

Aishiteiru To Itte Kure. Drama percintaan seorang lelaki kurang upaya (cacat pendengaran dan pertuturan) dengan seorang gadis comel yang sangat ceria. Ini antara drama Jepun kesukaan saya, selepas Oshin. Setelah siri ini tamat siarannya, saya beli CD. Tak terkira dengan jari berapa kali ulang tonton 😊. Lagu tema drama ini, Love, love, love dendangan Dreams Come True serta lagu kanak-kanak versi Jepun, "Ōki na Furudokei" (大きな古時計, Jam Lama yang Besar) pun saya suka juga. Tuan-tuan dan puan-puan, memperkenalkan drama lakonan pelakon Jepun terkenal, Takako Tokiwa dan Etsushi Toyokawa


Sebelum K-drama mengambil tempat, ramai yang tertarik dengan J-drama dan pelakon popular, Takuya Kimura. Pelakon Jepun yang sangat terkenal sehingga hari ini. Boleh dikatakan pada ketika itu, di negara kita, lakonan Takuya Kimura dan Takako Tokiwa (pelakon utama wanita yang sama) lebih dikenali melalui drama Beautiful Life. Beautiful Life juga berkisar tentang percintaan antara pendandan rambut dengan gadis kurang upaya yang berkerusi roda kerana penyakit yang dideritainya sejak kecil. Salah satu karya yang bagus tentang kelainan upaya. Tetapi kita akan menimbas kenangan dengan Beatiful Life, kemudian. Bukan hari ini. Hari ini, Aishiteiru To Itte Kure


Mengapa Aishiteiru To Itte Kure? Hal ini terasa sangat dekat di hati kerana saya memilih membuat kajian tentang kelainan upaya ini untuk disertasi Ijazah Sarjana Muda. Sungguhpun demikian, pengetahuan saya masih sedikit dan drama ini, setidak-tidaknya menyalurkan maklumat tambahan. 

Aishiteiru To Itte Kure diterbitkan pada tahun 1995, dikatakan telah menimbulkan minat untuk warga Jepun belajar bahasa isyarat. Malah jika anda menonton drama ini, anda akan mendapati ada program belajar bahasa isyarat di televisyen. Hmmm lambakan program televisyen di negara kita, maaf pada pandangan saya, lebih bersifat hiburan semata. Kurangnya pendidikan.


Secara peribadi, saya berpendapat ramai yang tidak memahami golongan yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan ini. Ramai yang melihat mereka berfizikal normal dan mengganggap tiada masalah untuk mereka menjalani hidup. Sedangkan mereka melalui pelbagai rintangan dan memerlukan toleransi masyarakat. Kalau anda rasa hendak tahu serba sedikit, tontonlah drama ini. Walaupun ini drama lama tetapi mesejnya masih relevan.
  • Mahu tahu bagaimana Sakaki bangun tanpa menggunakan jam loceng?
  • Mahu tahu bagaimana Sakaki dapat tahu air yang dijerang sudah masak?
  • Bagaimana beliau tahu, ada tetamu datang ke rumahnya? 
Walaupun kesemua cara Sakaki menjalani hidup, barangkali sangat berbeza daripada golongan yang mengalami masalah yang sama. Setidak-tidaknya kita tahu, mereka lebih peka terhadap apa kerana tidak boleh bergantung pada bunyi atau suara.

Bagaimana kisah percintaan ini bermula? Sakaki Kohji merupakan seorang pelukis yang namanya sedang meningkat naik. Beliau kehilangan pendengaran ketika masih kecil. Sebetulnya, beliau cuma kehilangan pendengaran tetapi kehilangan pendengaran ini menyebabkan beliau akhirnya hilang upaya untuk bertutur atau bercakap. Sakaki secara tidak sengaja bertemu dengan Mizuno Hikoro di tengah-tengah bandar Tokyo. Ketika itu Hiroko sedang cuba memetik sebiji buah epal. Ketinggian Sakaki memudahkan beliau memetik epal itu untuk Hiroko. Ada sepohon epal di tengah-tengah bandar Tokyo (ini melambangkan sesuatu yang istimewa). Kemudian mereka beberapa kali terserempak. Kebetulan mereka tinggal di lingkungan kejiranan yang berhampiran. Sakaki pernah melihat Hiroko berlatih untuk persembahan teater. Hiroko datang dari Sendai bersama seorang kawan, Keniji ke Tokyo untuk menjadi seorang pelakon. Namun Hiroko tidak mengetahui Sakaki seorang yang pekak dan bisu.

Setelah mengetahui Sakaki tidak dapat mendengar dan bercakap, Hiroko berusaha belajar bahasa isyarat. Cara mereka berhubung juga menarik. Hiroko sanggup berhutang semata-mata hendak membeli sebuah mesin faks yang berkualiti untuk berkomunikasi dengan Sakaki. Mesin faks menggantikan telefon untuk kedua mereka berhubung. Hiroko juga berjaya memulihkan hubungan Sakaki dengan ibunya. Hubungan Sakaki dan ibunya telah lama terputus. Sakaki ditinggalkan oleh ibunya ketika kecil lantaran tidak dapat menerima hakikat kecacatan anaknya. 

Adakah kita begitu berbeza? Seorang yang dapat mendengar dan seorang tidak mampu mendengar?

Kata-kata daripada seorang gadis yang dianggap keanak-anakan itu yang berjaya membuka pintu hati Sakaki. Semua luka dan parut dalam hidupnya, membuatkan Sakaki memilih untuk hidup menyendiri Mengasingkan diri daripada keluarga kerana tak mahu dianggap beban mahupun dikasihani. Sebetulnya Sakaki mahu diterima dan Hiroko menerima itu (walaupun apabila marah sering kali mengeluarkan kata-kata yang menguris). Sakaki cuba sedayanya melengkapkan kekurangan. Setiap perkara mengenai Sakaki walaupun kecil tetapi sangat bermakna buat Hiroko. Sebenarnya ini perkara biasa bagi pasangan kekasih. Cuba untuk melengkapi dan sentiasa mahu perhatian dan dihargai. Bagaimanapun seseorang manusia itu punya kelemahan dan ada ketikanya berasa rendah diri dengan kekurangannya. Begitu juga Hiroko yang sangat terkesan dengan kekurangan dirinya. Meskipun normal. Bagi Hiroko dirinya banyak kekurangan berbanding Sakaki.


Bumi mana yang tidak di timpa hujan. Laut mana yang tidak bergelora.

Hubungan cinta mereka juga berkonflik. Konflik makin parah disebabkan orang ketiga, di antara mereka. Shiori, adik tiri yang cemburu. Keniji, peminat rahsia sekian lama memendam rasa. Hikaru, bekas tunang yang tidak pernah melepaskan masa silam. Faktor umur dan dilengkapi masalah komunikasi hingga menimbulkan salah faham serta musuh utama, cemburu. Meleraikan ikatan cinta antara Hiroko dan Sakaki.

Hiroko termakan umpan Hikaru. Sakaki dipaksa untuk mengucapkan, "saya cintakan awak". Hiroko mahu mendengar sendiri Sakaki mengucapkannya. Sementelah Hiroko tahu sejarah Kohji yang bukan lahir dengan kecacatan. Sakaki cuma hilang deria pendengaran ketika kecil tetapi bukan bisu. Kohji pernah mendengar. Sakaki pernah bercakap. Suatu waktu dahulu. Lama dahulu. Namun Hiroko lupa atau tidak memahami, Sakaki telah bertahun-tahun lamanya tidak bercakap.  Sehingga sudah hilang keupayaan itu. 

Sakaki meluahkan beliau tidak lagi bertutur sejak kehilangan pendengaran. Percubaannya bercakap ketika waktu kecilnya, mengakibatkan beliau ditertawakan. Malu. Hilang keyakinan, akhirnya beliau terus memilih untuk "membisu". Percubaan memanggil Hiroko merupakan pertama kali beliau cuba bersuara setelah sekian lama membisu. 

Ini boleh sahaja terjadi kerana mereka tidak dapat mendengar. Jadi mereka mungkin akan bercakap dengan suara yang kuat atau mereka tersalah sebut sesuatu perkataan atau ayat. Mereka tidak tahu sekuat mana suara mereka. Mereka tidak tahu intonasi nada suara mereka. Mereka tidak tahu bunyi perkataan yang mereka sebutkan. Malah seseorang yang lahir dengan kecacatan pendengaran jauh lebih sukar menerima pembelajaran kerana langsung tidak memahami apa-apa. Proses pembelajaran memerlukan deria pendengaran untuk memahami dan menuturkan. Melaluinya baru dapat difahami sama ada kita faham apa yang disampaikan dan mampu menterjemahkannya melalui tindakan atau penulisan. 

Jagalah deria yang dikurniakan Allah kepada kita. Bersyukur kerana kita punyai deria itu. Pun jangan kita angkuh dengan apa yang kita punya. Setiap yang kita punya cuma pinjaman. Pada bila-bila masa Allah boleh tarik semula. Penyakit, kemalangan atau faktor umur hanyalah asbab disebalik kekuasaan Allah menarik anugerah pinjamannya.

Hiroko berasa sangat bersalah kerana terburu-buru dalam bertindak. Lebih bersalah lagi kerana bukan Sakaki yang curang, sebaliknya dirinya sendiri. Hiroko ketika itu terlalu menurut kata hati yang marah dan kecewa, telah memilih kawan baiknya Keniji untuk 'lari' daripada Sakaki. Kekecewaan bagaimanapun tidak dapat memadamkan cinta dan ingatannya pada Sakaki. Kesempatan yang diperolehi Sakaki untuk membetulkan salah faham sekaligus melamar Hiroko bersama potret yang pertama kali dilukisnya. Namun Hiroko memutuskan menolak lamaran Sakaki. Hiroko memilih untuk tidak mahu kembali kepada Sakaki mahupun Kenichi. Kenichi juga akhirnya sedar, tiada gunanya menagih cinta Hiroko.
Tangan awak sentiasa 'cuba bercakap'
Permintaan terakhir Sakaki sebelum meleraikan ikatan percintaan mereka, ucapkanlah "saya cintakan awak". Suara Hiroko tidak akan mungkin didengarinya tetapi suara itu dapat dirasainya. Demikian indahnya, "bahasa"

Masing-masing membawa diri, Sakaki menjadi pelukis yang lebih berjaya. Hiroko menjadi inspirasi di sebalik kejayaannya itu. Potret Hiroko dalam pameran solonya membuktikan Sakaki tidak pernah melupakan Hiroko. Bagi Hiroko, percintaan dengan Sakaki merupakan perkara terbaik yang pernah dialami dalam hidupnya. Hiroko tetap tidak berputus asa untuk menjadi seorang pelakon walaupun cuma watak sampingan yang sangat kecil peranannya.

Takdir menyatukan mereka semula apabila setelah tiga tahun terpisah, keduanya secara tidak sengaja bertemu ketika Hiroko sekali lagi cuba memetik sebiji epal di tengah-tengah kota Tokyo. Sekali lagi Sakaki dengan mudahnya, memetik buah epal itu untuknya.



Ketika pandemik COVID19 ini, drama Aishiteru To Itte Kure kembali mendapat tempat di Jepun. Bagaimana dengan anda? 



VOX POPULI: Reruns among this year’s hit products amid the pandemic 

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu bawa pakaian banyak ke