Skip to main content

Tahniah Pemenang Anugerah K-drama 2016

Lambat lagi. Tapi tak apa biar lambat daripada tak ada langsung. Tahniah untuk semua warga kerja K-drama. Oh ya saya juga tonton K-movie. Train to Busan dan Like for Likes. Tahniah juga untuk semua. Ada hiburan. Ada ilmu juga yang kalian selitkan.


Romantic Doctor, Teacher Kim, Bagi saya ini K-drama terbaik untuk 2016 (Antara drama-drama yang saya tengok. Ada banyak sangat drama, bukan semua saya tengok pun). Memang berdebar tengok pembedahan jantung tiruan tu. Antara drama-drama doktor Korea, Doctors, Romantic Doctor Teacher Kim, YongPal dan Doctor Strangers. Ini drama doktor terbaik yang pernah saya tonton.Walaupun saya adalah peminat Kim Rae Won yang melakokan watak doktor dalam K-drama Doctors, saya memilih Romantic Doctor, Teacher Kim kerana jalan ceritanya.

Bukan mengatakan Kim Rae Won tidak melakonkan wataknya dengan baik tetapi mungkin kerana saya pernah melihat beliau melakonkan watak yang jauh lebih mencabar. Kim Rae Won kalau melakonkan adegan romantik memang romantik habis orangnya. Tengoklah lakonan-lakonan romantik beliau, memang boleh tertawan. Dalam Punch walaupun tidak ada adegan romantik secara terang-terangan, saya dapat rasakan betapa dalam perasaan cintanya. Pergh!!! Hebat penangan Kim Rae Won ni. Saya tetap mengatakan watak Park Jung Hwan dalam Punch adalah lakonan terbaik beliau. Kim Rae Won pernah mengatakan watak Park Jung Hwan sangat bertentangan dengan dirinya. Walaupun drama Punch tak dapat sambutan sebagaimana Doctors yang berjaya membuat Kim Rae Won terpanggil datang ke Kuala Lumpur.

Walaupun saya minat habis pada Kim Rae Won, saya tak tunggu di lapangan terbang. Saya tak berkampung di Pavillion. Sedar diri. Bukannya remaja lagi. Saya telah menonton kebanyakkan drama dan filem lakonan Kim Rae Won, My Little Bride, Punch, A Thousand Days' Promise, Sunflower, Mr Socrates, My Little Hero, ...ing, Insadong Scandal, Love Story in Havord, Gangnam Blues, dan terbaharu Doctors. Beliau memang berbakat besar dalam lakonan.



K-drama Sejarah @ Sageuk. Antara Yoo Ah In dengan Lee Joon Gi, ini memang sukar untuk dikatakan siapa yang melakonkan watak mereka dengan lebih baik.  Kedua-duanya memang banyak berlakon dalam cerita sejarah Korea. Sampai peminat-peminat Lee Joon Gi cakap, "Cukup-cukuplah sageuk"



Lakonan Lee Joon Gi serba menjadi. Sebut sahaja babak apa: aksi, sedih, kejam, mencuit hati, amarah, romantik dalam Moon Lovers Scarlet Heart Ryeo. Paling mengesankan tentulah apabila Wang Soo berubah menjadi dingin dan kejam di hujung-hujung episod Moon Lovers Scarlet Heart Ryeo sampai takut rasanya melihat renungan matanya. Renungan itu jauh lebih menakutkan berbanding ketika beliau memakai topeng yang menutup sebelah mukanya.



Yoo Ah In perlukah dibicarakan lagi? Tidak rasanya. Lakonan beliau semakin berkembang. Yoo Ah In seorang peminat hasil seni, juga usahawan berjaya adalah pelokon yang suka melakonkan watak pelbagai. Bagi saya, beliau berbeza daripada kebanyakkan pelakon Korea Selatan. Beliau tidak menghadkan satu-satu genre sahaja. Beliau boleh melakokan cerita aksi, remaja, sedih, komedi dan romantik. Saya perasan Yoo Ah In bukan pelakon flower boy seperti Lee Joon Gi. Walaupun Lee Joon Gi lebih gemar berlakon filem aksi seperti Resident Evil filem terbaharu lakonan beliau. Semua aksi dilakonkan sendiri.

 
Suami yang memperkenalkan saya kepada pelakon ini. Kami sama-sama tonton filem Veteran. Apabila Six Flying Dragons dimainkan di TV, suami saya cepat perasan Yoo Ah In. Kami tengok Six Flying Dragons bukan dari episod 1 sebenarnya. Yoo Ah In sendiri muncul pada episod ke 4 dan ya, kami sekeluarga memang suka lakonannya. Saya sudah tonton lakonan Yoo Ah In dalam Punch, Secret Love Affair, Six Flying Dragons, The Throne, Like for Likes, Veteran, Fashion King, Tough as Iron, Boys of Tomorrow, Sungkyunkwan Scandal, Descendants of the Sun dan Thread of Lies. Beliau memang hebat membawakan watak sehingga memberi kesan mendalam kepada penonton. Membuatkan saya kembali mengulang tonton beberapa cerita yang beliau lakonkan seperti Six Flying Dragons dan The Throne. Secara peribadinya, saya lebih menyukai siri Six Flying Dragons berbanding Moon Lovers Scarlet Heart. Lebih suka jalan ceritanya. Lebih kemas, tersusun dan pernah saya katakan siri ini dibarisi pelakon-pelakon hebat sekalipun pelakon-pelakon tambahan. Saya suka kedua-dua sound track dalam kedua-dua drama.



Bercakap tentang Like for Likes. Saya lebih suka lakonan Kang Ha Neul berbanding dengan Yoo Ah In. Barangkali kerana watak yang dibawa. Kang Ha Neul memegang watak komposer yang hilang  deria pendengarannya akibat kemalangan ketika remaja. Sebagaimana sukar untuk orang lain menerima hakikat itu, apatah lagi dirinya. Memang beliau menghayatinya. Malah dalam Moon Lovers Scarlet Heart, saya tunjukkan pada anak-anak contoh peribahasa musang berbulu ayam merujuk pada watak Wang Wook lakonan Kang Ha Neul. Contoh terbaik saya kira untuk seseorang yang tidak disangka-sangka lain di luar, lain di dalam hatinya.




Drama Korea yang ada mini siri. Drama 20 episod masuk dalam kategori mini siri. Ada yang versi panjang sampai seratus lebih episodnya. Kadang-kadang drama yang seratus lebih sirinya ini, jalan ceritanya mula ke laut di pertengahan siri. Kebiasaannya seperti kata, Yoo Ah In pelakon Korea Selatan gred A tidak suka berlakon drama versi panjang. Drama Six Flying Dragons itu versi panjang tau. Kebiasaan drama versi panjang ini adalah drama sejarah atau drama keluarga. Dalam banyak-banyak drama keluarga versi panjang, saya suka Yeah, That's How It Is!. Cerita keluarga besar. Ada macam-macam cerita setiap ahli keluarga sebab itu ceritanya panjang. 

 
Paling saya suka kisah pasangan ini, Yoo Se Hee (Yoon So Yi) dan Na Hyun Woo (Kim Young Hoon). Bagaimana rahsia Na Hyun Woo ada anak luar nikah yang sudah remaja, terbongkar. Sedih, kecewa, tertipu, terkejut dan macam-macam rasa yang Yoo Se Hee rasakan, dalam satu masa. Kemudian macam mana kerana terlalu sayang pada suami, Se Hee diam-diam mengumpul kekuatan menelan semua kepahitan. Pesan ibunya, sekiranya See Hee tetap mahu meneruskan perkahwinan mereka, See Hee perlu menerima semuanya tanpa syarat. See Hee pun bulat dengan keputusan menerima suami dan anak itu sebagai anaknya. Tapi Se Hee buat syarat juga. Se Hee lepaskan juga kemarahan dan kesedihannya. Iya, Se Hee itu manusia. Bayangkanlah suaminya telah buat vasectomy. Patut pun setiap kali Se Hee bercakap soal anak, suaminya naik angin. Padahal Se Hee teringin sangat hendak anak. Kasihan sangat Se Hee. (Penuh perasaan tau, tengok part See Hee dan Hyun Woo ni). Se Hee yang berusaha mendekati anak tirinya, Na Jae Hyun. Merapatkan hubungan anak dengan ayah yang sebelum itu tak wujud. Sebelum itu Hyun Woo hanya jalankan tanggungjawab sebagai ayah dalam memberi nafkah kepada Jae Hyun. Besar betul pengorbanan zahir dan batin Se Hee. Huh! Bagaimana Hyun Woo berusaha memperbaiki keadaan dan hubungannya Se Hee, anaknya dan keluarga Se Hee. Bagaimana Hyun Woo hampir kehilangan Se Hee untuk selama-lamanya. Bukan senang tetapi kemaafan Se Hee, kesediaan ibubapa, keluarga Se Hee dan kerjasama Jae Hyun, sebenarnya banyak membantu menyelamatkan rumahtangga pasangan ini.



Bagaimana penulis memujuk penonton menerima sisi-sisi positif dan mengenetepikan sisi-sisi gelap untuk menjaga keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Contoh, emak yang kecil hati dengan anak bongsunya. Anak bongsu biasa manja, peluk cium emak tapi apabila sudah berkahwin dan hendak pindah keluar dari rumah emak, tak buat begitu. Emak kecil hati dan anak tak perasan emak kecil hati.

Saya juga suka drama keluarga Five Enough. Santai tetapi menarik. Ada masa sinis. Paling kelakar, mengata orang, rupa-rupanya yang dikata itu anak sendiri. Hahaha... Juga tentang kisah kehidupan sehari-hari. Kalau kau bukan orang Korea pun, isu kekeluargaan seperti ini pun juga yang mungkin, kau akan tempuh. Cuma masa tayangan kedua-dua drama, tak kena. Masa Maghrib. Jadi saya tengok ulangan pada hari Sabtu dan Ahad untuk kedua-duanya.



Ada cerita perniagaan tetapi tidak kepada cerita perniagaan melibatkan wang jutaan ringgit dalam kedua-dua drama. Cerita hidup sehari-hari. Cerita anak lari dari rumah. Tanpa berfikir panjang. Kemudian menyesal. Ada rasa ego dan malu untuk kembali ke pangkuan keluarga. Cerita duda hendak berkahwin semula tetapi dalam masa yang sama hendak menjaga hubungan baik dengan keluarga mendiang isteri. Cerita tentang balu yang tidak dapat melupakan mendiang suami. Cerita gesaan keluarga untuk berkahwin. Gesaan keluarga untuk menimang cahaya mata. Keluarga dengan cubaan mencari jodoh. Cubaan mengatur kerjaya. Tertekan dengan gesaan keluarga. Cerita anak-anak kandung rasa terpinggir dengan layanan ibubapa yang dirasakan melebihkan anak-anak tiri. Cerita ibubapa tiri cuba melayan anak-anak tiri seperti anak-anak kandung. Layanan daripada datuk dan nenek tiri. Ini semua semacam rutin harian keluarga. Bukan cerita melibatkan konglomerat pun. Cerita rakyat marhaen juga.  Ada cerita tentang cinta tak sama darjat tapi sudut penceritaan yang lebih realistik dan berbeza. Cerita status quo memang tak boleh lari dalam kehidupan kita seharian. Bagaimana kita melihat dan mengukurnya. Bagaimana pula kita menerima dan menghadapinya. Cerita tentang kasih sayang ibubapa yang tidak terbelah bahagi walau siapa anak mereka, walau apa pun masalah yang diciptakan anak-anak mereka dan bagaimana mereka berusaha membahagiakan keluarga.


Suka juga tengok k-drama fantasi, W Two Worlds. Sementelah anak bujang memang minat melukis kartun animasi. Drama ini pun menarik mintanya. Sekali lagi jika dibandingkan antara W dengan Legend of the Blue Sea, saya memilih W. Legend of the Sea, fantasi cerita dogeng si ikan duyung. Saya tidak ada masalah dengan lakonan pelakon kacak Lee Min Ho tetapi watak yang dilakonkan Lee Jong Suk sebagai hero dalam komik yang masuk ke dunia realiti kelihatan lebih mengujakan. Cerita fantasi W lebih menarik. Lagu-lagu sound tracknya juga lebih menghiburkan hahaha...

Saya peminat K-drama. Memang pun.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...