Skip to main content

Siapa Ratu, Siapa Hero Bertakhta di Hatimu?

Salam Jumaat. Lama saya tidak menulis di sini. Banyak yang saya teringin hendak tulis tetapi saya tidak buat.

Rindu ibu? Wanita hebat. Ada sesiapa yang hendak menafikan, tingginya nilai wanita bergelar ibu? Sekalipun mungkin beliau tidak melahirkan tetapi naluri keibuan yang dimiliknya dengan berupaya membelai, mengasuh dan mendidik, cukup untuk mengangkat martabatnya sebagai ibu. Harus diingat, dikalangan kita yang ramai ini, ada yang istimewa, diuji tanpa punya rahim. Ada yang diduga tanpa punya pasangan tetapi tetap berupaya melaksanakan tanggungjawab seorang ibu. Selayaknya bergelar ibu juga. Tanpa ibu, siapalah kita?

Guru pertama, manusia di dunia. Kita belajar daripada ibu sejak dari dalam dunia rahim. Pernah dengar, pembelajaran bermula sejak dari dalam rahim? Ya, sebenarnya kita mula belajar, sejak dari dalam rahim. Kita belajar melalui suara ibu. Ibu bercakap dengan janinnya. Ibu bacakan kalam-kalam  Allah untuk janinnya. Ibu berzikir memuji Yang Maha Esa. Ibu berselawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ibu berdendang, mendodoikan janinnya. Bisikan ibu, ceritera ibu, itu dan ini kepada janinnya. Anak dalam kandungannya. Keterlaluankah kalau saya katakan, ibu itu perantara ilmu pertama?

Ada seorang doktor pernah berkata, "Semasa anak kita masih kecil ini, kita akan terima kasih sayang mereka tanpa syarat. Mereka sayang pada kita sepenuhnya." Ibu tempat pergantungan sepenuhnya untuk anak kecil, dari telapak kakinya sebesar dua jari. Perlahan-lahan anak itu tumbuh membesar, petah berkata-kata dan berlari dengan sekuat tenaga.

Pun bukan semuanya berjalan dengan sempurna. Bagaimana dengan titis-titis air mata ibu yang tumpah sekiranya anak yang dikandung itu, kemudiaannya terpaksa direlakan pergi tanpa sempat pun mendengar tangisan sulung atau anak yang sejak lahirnya tidak seperti yang diimpikan? Meminjam kata-kata Prof Hamka dalam novelnya, Merantau ke Deli jika seorang perempuan mempunyai 2 orang anak, seorang sakit manakala seorang lagi sihat. Sayang seorang ibu kepada anaknya tetap sama. Namun perhatiannya lebih dekat pada anak yang sakit. Kucup dan peluknya lebih pada yang sakit.

Sebagai seorang anak, rasa malu, kerdil dan berdosa. Apa yang sudah saya lakukan untuk semua yang emak sudah buat untuk saya, kepada anak-anak saya? Saya tidak akan mungkin dapat membalas segala yang pernah emak lakukan untuk saya kepadanya semula. Menonton drama Punch, hati lebih terusik. Saya memang menghayati. Mengutip setiap yang baik dari hasil kerja produksi ini. Memang benar ini cuma karya, tetapi cukup menerbitkan rasa malu. Jika ini realiti akhlak seorang lelaki di Korea Selatan atau di mana-mana negara bukan Islam, saya suka menyatakan, saya rasa kagum

Malu sebagai sebagai seorang anak dan malu kerana peribadinya, perwatakan Park Jung Hwan sebagai bukan Islam yang mengamalkan nilai-nilai murni yang diajarkan Islam itu sendiri. Tak percaya? Buka akhbar hari ini, semalam, kelmarin dan moga-moga tidak untuk masa akan datang. Anda akan jumpa, berita anak daripada orang Islam yang beragama Islam tetapi memukul ibubapanya, mencuri daripada ibubapanya, memaki hamun ibubapanya, tidak menafkahi ibubapanya, isteri dan anak-anaknya. Suami yang melepaskan tanggungjawabnya ke bahu isteri atau ayah yang tidak mengendahkan peranannya. Menyeksa zahir dan batin isteri dan anak-anak. Bapa yang tidak ambil peduli lagi akan anak-anak yang tidak sebumbung lagi dengannya. Seolah-olah anak-anak itu tidak pernah wujud.


Bukankah seorang lelaki Muslim itu, bertanggungjawab ke atas kedua ibubapanya selama mana nyawanya dikandung badan? Bukankah seorang lelaki Islam wajib menafkahi isteri dan anak-anaknya? Park Jung Hwan sebagai anak, ayah, abang, bekas suami kemudian suami. Lihat bagaimana beliau memikul tanggungjawabnya, dalam setiap peranannya sebagai lelaki dalam keluarga itu. Park Jung Hwan tidak mahu ketiadaannya nanti, akan menyusahkan ahli keluarganya. Jadi perkara pertama yang dilakukan Jung Hwan apabila mengetahui hayatnya cuma sekitar 3 bulan adalah membeli tempat persemadian untuk seluruh ahli keluarganya termasuk untuk janda yang kemudian kembali menjadi isterinya, Shin Ha Gyung. Seorang bekas isteri bukan tanggungjawab mana-mana bekas suami pun tetapi Shin Ha Gyung ketika berstatus jandanya adalah penerima peti simpanan beliau di bank.

Seterusnya Jung Hwan memastikan ibunya sebagai penerima pencen beliau. Usaha meringankan beban ibunya sebagai ibu tunggal, bermula sejak beliau masih bergelar pelajar. Berdikit-dikit menampung perbelanjaan diri sebagai pelajar dan anak, sehingga ibunya mampu membuka kedai dobi. Membayar penuh insuran pendidikan untuk anaknya, apabila menerima kenyataan hayatnya tidak panjang. Beliau tidak mahu kematiannya membantut usaha memberi pendidikan untuk anaknya. Berusaha memberikan pendidikan terbaik kepadanya kerana sedar ilmu jaminan masa depan. Tidakkah Islam mengajarkan kepada umatnya supaya berusaha keras dalam menuntut ilmu? Menghadiahkan sebuah apartment berdekatan dengan sekolah untuk bekas isterinya. Berusaha mencarikan jodoh yang baik sebagai teman hidup adik perempuannya dan mengahwinkan beliau. Ini dilakukan sebelum beliau menutup mata untuk selama-lamanya. Park Jung Hwan dalam drama ini, bukan seorang lelaki yang kaya raya tetapi seorang lelaki yang kuat berusaha demi keluarga. Bukankah itu yang dituntut Islam kepada umatnya, berusaha.

Sebagai anak sulung dan lelaki pula, Jung Hwan adalah harapan dan kebanggaan ibunya. Jung Hwan sangat menjaga hati ibunya. Jung Hwan tidak merungut ketika menjamah sup yang tidak enak semasa sakit. Jung Hwan mengakui rasa sup yang tidak sedap itu di hadapan anaknya. Malah memberitahu kepada Lee Tae Joon, beliau ingin sekali memberikan sup itu kepada orang yang dibencinya. Jung Hwan, disebalik semua pengakuan itu, menghabiskan sup air tangan ibunya.


Malu sendiri menonton Park Jung Hwan menyantuni ibunya. Walaupun digambarkan sebagai seorang yang degil, beliau tidak pernah menolak atau bersungut setiap kali menerima makanan atau minuman yang disediakan ibunya.


Terpaksa menahan diri daripada menzahirkan apa yang terbuku di hatinya setiap kali berhadapan dengan ibunya, memang sangat menyedihkan. Malah Jung Hwan meminta ibunya untuk berpindah dari rumah mereka selepas kematiannya dan berpura-pura dirinya pernah wujud semata-mata mengelakkan ibu dan keluarganya daripada terus dicemuh, ekoran kes Pagar Park Jung Hwan yang heboh diperkatakan ramai. Beliau telah melakukan kesilapan dan masyarakat di Korea Selatan, tidak hanya akan menghukum beliau tetapi keluarganya juga. Begitu sekali Jung Hwan menjaga rasa ibunya. Setiap daripada kita, inginkan anak yang soleh sebagai bekal. Tertanya-tanya saya, mampukah saya mendidik anak dengan sebaik-baiknya?

Seburuk mana perangai anak, si ibu tetap menyayanginya. Tetap mendoakan. Itulah ibu. Malah Islam mengajarkan, doa ibu itu mustajab. Bukan campakkan anak yang baharu lahir ke dalam sungai, tempat pembuangan sampah, masjid, hadapan rumah orang atau lubang tandas. Tertanya-tanya, ke mana perginya lelaki sebagai pelindung? Seorang sahabat lelaki pernah mengungkap ini sebelum saya mendirikan rumah tangga. Ketika itu saya masih sendiri tanpa teman yang akan dijadikan pasangan hidup. Katanya, "Bukan senang hendak cari lelaki Muslim yang baik sekarang". Sahabat saya itu berusia mungkin 10 atau 15 tahun, lebih tua daripada saya. Beliau seorang lelaki berbangsa Melayu, beragama Islam dan bertugas sebagai mata-mata. Kata-kata yang di dalamnya, ada nasihat terselindung. Kata-kata itu diungkapkan lebih 10 tahun yang lalu dan saya ingat dan terus ingat, selama mana Allah mengizinkan. Apabila membaca atau mendengar berita tentang pembuangan bayi, kejadian ragut atau pecah rumah, dadah atau mana-mana gejala sosial yang secara langsung atau tidak, mengaitkan penglibatan lelaki beragama Islam, kata-kata itu terdengar-dengar. Mengapa lelaki sudah jadi duri dalam daging? 


Saya sepatutnya menyambung tulisan tentang Cinta Park Jung Hwan dan Shin Ha Gyung yang masih berbaki tetapi terpanggil menulis tentang ini, setelah menerima komen yang berbaur provokasi anti Islam. Anti Muslim. Memang senyum sendiri membacanya kerana niat menulis untuk suka-suka tetapi disalah ertikan pula. Rasanya tidak ramai mana yang singgah dan baca. Bertahun sudah saya menulis. Walau tak ramai pembaca, saya tetap menulis, setidak-tidaknya untuk diri saya sendiri. Memberi peringatan kepada diri saya sendiri. Kepada tuan punya komen, saya tidak akan siarkan komen anda. Saya di sini bukan untuk bergaduh. Titik.

Apabila membaca kolumnis, Muhamad Mat Yakim menulis, Berapa Umur Islam Anda? Kembali mempersoalkan tentang akhlak umat Islam. Peranan diri sebagai Muslim. Menerusi satu drama Korea yang saya tonton ini, saya tidak mengatakan Park Jung Hwan mewakili seluruh lelaki Korea Selatan. Bukan. Tidak juga pukul rata menyabitkan, semua lelaki Muslim jahat belaka. Salah! Bukan dan bukan. Saya percaya masih ada ramai lagi lelaki Muslim, mithali di luar sana. Alhamdulillah.

Ini berbalik pada soal tanggungjawab, soal akhlak yang sepatutnya ditunjukkan lelaki Muslim sebagai anak, ayah, abang, adik dan suami. Lihat, bagaimana produksi drama Punch ini, mengangkat darjat seorang ibu? Perhatikan Shin Ha Gyung yang selalu meningatkan Park Jung Hwan tentang tanggungjawabnya kepada ibu dan keluarganya. Bekas ibu mertuanya. Sebagai Muslim sekalipun ikatan perkahwinan kita telah putus, ikatan antara ibubapa mertua tidak pernah habis atau bernokhtah. Saya percaya, agama apapun akan mengangkat ibu sebagai ratu. Dalam masyarakat kita sekarang, masihkah ibu bertakhta di hati atau masihkah lelaki sebagai hero?

Sebelumnya, lama dahulu saya pernah membaca tentang rencana Negara Muslim Tanpa Islam? tulisan Muhammad Ali Hashim dan ada terserempak dengan tulisan di blog mengenai Jepun : Muslim Tanpa Islam. Negara Muslim tanpa Islam merujuk kepada negara New Zealand. Tentang komuniti di New Zealand. Manakala Jepun : Muslim tanpa Islam merujuk ibubapa di Jepun dalam mendidik anak-anak. Saya percaya tulisan-tulisan ini bukan untuk menempelak, sebaliknya mahu kita semua berusaha menjadi lebih baik. Saya juga punya tiga naskhah berbeza, Allah is Calling, Liku-liku Pencarian Nur Islam dan  Dari Penjara Menuju Iman tentang pengalaman saudara baharu yang memeluk Islam. Saudara-saudara ini jauh lebih baik dalam mengenal dan mengamalkan Islam daripada kebanyakkan orang Islam yang sememangnya Islam sejak lahir, Islam baka. Ternyata saya, Islam baka yang mewarisi Islam, mesti lebih menilai diri dan lebih berusaha. *Peringatan buat diri saya yang selalu alpa.  

Comments

  1. Betul tu..kadang2 kagum juga tgk karya mereka yg penuh mesej yg ada dlm Islam...berbanding karya tempatan yg hanya mengikut trend dan keuntungan....hasilnya.... :(

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...