Skip to main content

Pelentung, Cacar Air aka Chicken Pox

Really miss him!


Ahad lepas (13 Mei) Abang Ngah mula demam sejak pagi, sudah diberi ubat tetapi panasnya turun naik. Selera makannya pun merudum. Tengah hari cuma jamah roti sekeping. Saya suakan air kelapa, adalah seteguk dua sahaja yang diminumnya. Tak hairan sangat sebab Kak Long yang suka minum air kelapa. Lewat petang, baru terperasan ada bintik-bintik merah pada perut Abang Ngah. Kena demam campak rupa-rupanya.

Baru kelam kabut bertanya pada kawan-kawan, daun semambu. Dua kali Kak Long demam campak, semuanya di bawah jagaan keluarga saya terutama emak dan ayah di kampung. Itu kampung, ini di bandar kota batu, Kuala Lumpur di mana hendak cekau daun itu? Rasa macam hendak tanam sahaja pohon itu tetapi mana kawasannya? Abang Ngah memang belum sekalipun kena. Hampir Maghrib barulah dikhabarkan di rumah ibu Teacher Nina (cikgu Kak Long), ada pokok semambu. Kami diminta segera mendapatkannya sebelum hari gelap.



Ini rupa daun semambu. Dalam perubatan tradisional, daun semambu ini akan digunakan untuk mengubati demam campak. Caranya, daun semambu ini digiling dan dicampurkan dengan bedak sejuk. Mana ada batu giling di rumah, kisar sahajalah. Sapu pada seluruh tubuh badan. Daun ini juga diletakkan pada tempat perbaringan dan dialas dengan sehelai kain. Kalau dapat banyak, boleh buat mandi sekali.

Urusan kami belum selesai. Usai mendapatkan daun semambu, mesti membeli bedak sejuk. Kantoi, memang bedak sejuk tak ada di rumah. Lagi satu petua orang tua-tua, mandikan dengan air beras untuk mengurangkan rasa gatal. Pantang besar jangan makan kicap! Nanti parutnya tak hilang. Pantang juga terkena air hujan. Kenapa? Saya pun tak tahu.

Oleh sebab Abang Ngah bukan demam biasa, takkan boleh mengharapkan ubat yang sedia ada di rumah sahaja. Mujur di klinik tidak ramai pesakit. Doktor memberi satu lagi kejutan, Suprise! "Ini bukan demam campak. Ini cacar air (chicken pox). Ada gelembung. Lebih menyakitkan dari demam campak biasa. Ambil masa tak kurang 2 minggu juga. Saya tak boleh beri anti viral. Bla bla bla."

"Minum air kelapa."

"Dengar tu, doktor pun suruh minum air kelapa. Anak saya tak suka minum air kelapa, doktor." 

"Adik minum ye. Mesti minum. Adik jangan garu nanti bopeng, kata orang Jawa. Kalau ada orang yang mengandung, boleh menjakiti janin."

"Doktor, saya mengandung." (Doktor tak perasan kerana saya pangku Abang Ngah)

Ya, saya mengandung dan anak lelaki bujang saya ini dijangkiti virus varicella (kumpulan virus herpes) atau pelentung (kata orang tempat kelahiran saya) yang amat mudah berjangkit. Anak ini manja. Tidurnya bertepuk dan dipeluk. Tambah dalam keadaan sakit begini, masakan boleh berenggang dengannya.

Malam itu, kami paksa Abang Ngah meneguk air kelapa. Memang semakin banyak bintik-bintik merah bergelembung itu keluar. Saya sapu calamine lotion yang dibekalkan doktor kerana belum berkesempatan menyediakan bedak daun semambu. Si kecil menangis kerana merasa kotor. Diam-diam ke bilik air membasuh muka dan tangannya. Tidurnya tak nyeyak kerana sakit dan gatal. Suhu badannya juga kembali tinggi.


Saya cuba gosok setiap kali lihat Abang Ngah hendak menggaru. "Garulah betul-betul."

"Tak boleh, kan Doktor pesan tak boleh garu"

"Gatal ni, semut gigit!"

Abang Ngah tidak merengek-rengek sangat. Cuma akan meragam setiap kali hendak dipakaikan bedak atau losyen.Walaupun doktor menyatakan risiko jangkitan ke atas janin berkurangan sekiranya kandungan telah melepasi trimester ke dua namun keluarga saya tetap bimbang. Isnin malam, kami bertolak ke Utara. Orang tua saya bersungguh hendak menjaga cucunya. Berat sungguh rasa hati. Tambah rasa bersalah pada emak dan ayah. Anak saya. Sepatutnya sayalah yang menjaga sakit peningnya. Dalam keadaan begini Abang Ngah sudah pasti tidak dapat ke Taska. Cadangan saya bergilir cuti dengan suami atau emak tinggal sementara di rumah ketika kami bekerja juga tidak dipersetujui orang tua saya. Saya faham orang tua tak suka tinggalkan rumah mereka lama-lama. Lagipun di kampung, mudah mendapatkan daun semambu, kelapa muda, tidak seperti di sini.

Emak menjaga jadi makan pun kena berjaga jugalah. Makanan yang boleh membuatkan rasa gatal seperti ayam, telur, sesetengah jenis ikan tidak boleh diambil. Kalau ikutkan orang-orang  dulu, menggoreng pun tak dibenarkan di dalam rumah. Tetapi tidaklah sampai ke situ emak menjaga pantang larang. Cuma telur memang kesukaan si kecil, terpaksalah bertahan.

Kasihan Abang Ngah. Rasa rindu berbaur rasa bersalah. Sepatutnya saya emak, sayalah yang menjaganya terutama saat-saat  sakit seperti ini. Saya harap Abang Ngah akan maafkan saya suatu hari nanti.

Comments

  1. Dh enam hari kena..
    hari ni bintil air dah sampai ke kaki..

    Sy jaga pmknn, minum shake Herbalife setiap hari & minum air banyakkkk banyakkkkk..

    Adik sy pun buat camtu..kurang seminggu dah kering & baik..alhmdllh..

    Sesiapa yg berminat nk cuba Herbalife boleh call ayah sy..
    Abd Rahim ( 0124455678 / 0194811711 )

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...