Skip to main content

Antara Rancangan dan Spontan

Kalau dirancang-rancang, jarang sangat menjadi. Kami merancang untuk pergi ke Taman Tema Genting setahun yang lalu tapi terbatal kerana jadual kerja suami yang tidak menentu. Awal tahun ini, saya dan kawan-kawan merancang ke Tiara Beach Resort. Ada seorang kawan kami melangsungkan majlis perkahwinan di Seremban. Rancangannya kami bermalam di Tiara Beach Resort dan keesokkan harinya menghadiri kenduri. Namun kesihatan anak-anak dan saya sendiri menyebabkan rancangan itu terbatal. Kami cuma meraikan pengantin di Seremban. Pergi ke Seremban semata-mata menghadiri kenduri, kemudian terus balik.

Mezz & Intan
Ini hasil yang tidak dirancang. 20 Februari 2011 ke Taman Tema Genting. Anak-anak tidak berkesempatan bermain semua permainan. Nantilah lain kali kalau ada kesempatan, boleh datang lagi. Menariknya, saya dapat lihat keupayaan anak-anak. Semasa kami berkunjung ke Zoo Taiping, Adik takut hendak bergambar dengan ular dan anak-anak singa. Kak Long pula teruja. Bagaimanapun apabila dapat peluang yang sama di Genting, Adik tidak lagi takut. Sayangnya kami tidak dapat merakam detik itu. Kami tidak dibenarkan berbuat demikian. Bergambar dengan ular, harganya RM25.00. Mahal bagi saya. Kak Long pernah bergambar dengan ular di Zoo Taiping dengan kadar bayaran RM10 sahaja. Cuma berkali-kali saya ingatkan, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya pegang atau tangkap ular yang mereka jumpa. Sudah jadi kes haru pula nanti, pegang ular sesuka hati.


Ada beberapa permainan di sana yang menguji keberanian mereka dua beradik. Nampaknya mereka berjaya mengatasi rasa takut dan berani mencuba. Cuaca pun boleh tahan. Langit mendung sebelah petang. Hembusan angin memang membuatkan kami menggigil. Sepatutnya kami ke Outdoor Team Park terlebih dahulu. Apabila bercuti dengan si kecil, ada banyak perkara yang mesti ditimbang tara. Masa untuk redah sahaja mesti ditinggalkan ke belakang.



26 dan 27 Februari 2011, akhirnya kami ke Tiara Beach Resort. Tidak spontan tetapi rancangan yang berjaya dilaksanakan dengan izinNya.



Program Hari Keluarga membolehkan kami ke Tiara Beach Resort. Sudah beberapa tahun saya tidak menyertai program hari keluarga tempat saya mencari rezeki ini. Sama ada tidak diadakan ataupun waktunya tidak kena dengan jadual kerja suami. Taman tema air Tiara Beach Resort yang memikat hati saya untuk ke sana. Tentu anak-anak paling seronok, itulah yang saya fikirkan. Memang betul anak-anak teruja mandi manda, pertunjukan badut dan berbasikal di sana. Cuma Kak Long terlepas peluang mengambil bahagian dalam peraduan mewarna. Semua aktiviti sukanneka langsung tidak diketahui kerana melayan karenah anak-anak yang teruja nampak air. Kedudukan pantai pula jauh dari Tiara Beach Resort ini. Jadi sememangnya taman tema di sini sahajalah tempat tumpuan mandi manda. Pihak pengurusan kena sentiasa peka soal kebersihan. Penting sebab siapa yang mahu sakit selepas mandi manda di situ. Fikir-fikirkanlah. 


Kami sekeluarga berkongsi bilik dengan Nani sekeluarga. Puas juga mengawal anak-anak supaya mereka tidak menggangu privasi dan Baby Aqeef. Mujur juga kami di bilik tidur utama, ada bilik air di dalamnya. Tidaklah anak-anak saya berkejar ke sana ke mari dengan pelbagai aksi. Itupun suara mereka menjerit dan ketawa tidak dapat dikawal. Menangis apatah lagi. Alahai anak.

Bilik di Tiara Beach Resort dalam kategori sedang-sedang sahaja. Kadar bayaran bilik lebih murah daripada biasa kerana kami dalam kumpulan yang besar. Hidangan makanan pagi, tengah hari dan malam adalah yang paling hebat dibualkan antara kami yang sama-sama menginap di sana. Sekali lagi,  pihak pengurusan WAJIB ambil berat soal ini. Berkait rapat dengan soal kebersihan. Semoga apa yang terjadi kepada kami tidak terjadi kepada pengunjung yang lain.

Cadangan singgah ke Mini Zoo Port Dickson dan PD Ostrich sebelum balik, dibatalkan. Semua orang sudah penat dan mengantuk, esok kena pergi kerja dan sekolah. Anak-anak tidur awal. Emak budak kena mendobi kain baju, kemas kain baju ke Taska dan itu dan ini. Itulah nasib emak budak!


Dalam gembira dan letih yang belum hilang, petang semalam salah seorang daripada kawan kami Mazlina kehilangan kereta. Kasihan Maz. Maz sekeluarga bercadang pulang menziarahi neneknya yang uzur di Kedah hari ini. Benarlah kita tidak dapat hendak menduga apa yang bakal berlaku esok hari. Apa yang kita rancang, belum tentu dapat kita tunaikan.

Kereta itu masih sangat baru dibeli. Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kereta Honda City berwarna gunmetal nombor pendaftarannya WUH 9624, sila maklumkan. Pertolongan anda besar maknanya dan hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Comments

Popular posts from this blog

Benih Yang Baik Jatuh ke Laut Menjadi Pulau

Benih yang baik, kalau di campak ke darat menjadi gunung  dan kalau di campak ke laut menjadi pulau Maksudnya, yang baik tetap akan baik sekalipun di mana pun ia berada. Pertama kali mendengarnya ketika berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Guru besar ketika itu, Cikgu Abdul Latif yang menerangkan mengenainya. "Terima kasih Cikgu". Itu juga yang dikarang dalam ucapan penghargaan kepada Cikgu Zaki Hasbullah yang bertukar mengajar ke sekolah yang lain. Setelah mengarang panjang di 'muka buku' di sini, saya kira dengan mengungkapkan peribahasa ini sudah cukup untuk menzahirkan terima kasih yang tidak terhingga buatnya.  Gambar kenangan anak bongsu bersama-sama dengan Cikgu Zaki yang memakai kostum adiwira, Superman ketika pendaftaran Tahun 1 di sekolah.  

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

UK Trip Manchester, Liverpool & Greenwich London Part III: Tinggal Kenangan dan Pengalaman

Apabila anda ada dua orang anak lelaki yang sangat minat dengan sukan bola sepak, apakah lagi keseronakkan, selain daripada menjelajah dari satu stadium ke satu stadium yang lain? Mari sambung cerita jalan-jalan makan angin ke London, Manchester dan Liverpool yang terperam lama. Siri kontroversi kepada keluarga Diraja Britain,  The Crown pun sudah habis ditonton. Terasa memanggil-mangil kenangan semasa di sana. Saya ada dua orang anak lelaki yang sedang membesar. Kedua-duanya adalah peminat Pasukan  Barcelona . Namun sangat teruja apabila mengetahui trip kali ini kami akan menjelajah dari satu stadium ke stadium yang lain. Sejak menjejaki kaki ke London, asyik bertanya,  Bila nak pergi stadium? Hari apa nak pergi Manchester? Hari ke 7 (2 Disember 2019) Pagi-pagi lagi sebaik kedai dobi dibuka, kami terus pergi untuk mengeringkan pakaian. Seluar jeans sebenarnya. Memang betul, tips yang kebanyakkan orang beritahu iaitu dalam musim sejuk kita tak perlu baw...