Skip to main content

Percutian Singkat di Jakarta

Sebut Jakarta. Dalam kepala tak ada lain selain daripada, macam mana agaknya sesak di sana nanti? Saya dan anak-anak belum pernah ke Jakarta. Gambaran awal Jakarta yang saya tahu adalah kesesakan luar biasa. Mengingatkan kesesakan yang ditempoh di Bangkok, rasa agak gusar. 

Sambung dari Percutian Singkat di Bandung, usai sarapan di Hotel Aston Pasteur Bandung, kami berangkat ke Stesen Pandalarang untuk naik kereta api laju Whoosh. Sempat beli bagelen di kiosk Kartika Sari. Ada kiosk Kartika Sari di Stesen Pandalarang. Cuma rasa terkilan sikit sebab tak memborong. Pada ketika itu, memikirkan bagelen rapuh. Risau hancur di usung ke sana ke mari. Bagelen memang sedap. Makan begitu sahaja pun sudah sedap. Apa lagi cicah dengan teh panas. Wah! Mujur juga ada kisok Kartika Sari di Stesen Pandalarang. Kalau tidak langsung tak merasa. Belajarlah bersyukur.

Kami beli tiket kelas pertama untuk naik kereta api Whoosh. Ada masa lagi sebelum berangkat jadi kami ke Whoosh Lounges yang disediakan. Ada makanan ringan macam kerepek dan keropok serta minuman sejuk dan panas disediakan di situ. Ada ruangan solat dan tandas khas di dalamnya.

Kereta api Whoosh ini memang laju. 350 km/h. 45 minit sahaja. Cantik dan bersih. Pemegang tiket kelas pertama akan dibekalkan dengan makanan ringan, roti ban, air mineral dan coklat. Kalau lapar boleh buat pesanan makanan dan minum juga. Belum lama percutian ini berlalu, hangat diperkatakan hutang dengan kerajaan China untuk projek Whoosh ini. 

Antara sorotan akhbar tempatan dan antarabangsa mengenai hutang Whoosh dengan kerajaan China.

Seterusnya berlaku pertumpahan darah dan cetusan ketidakpuasan hati rakyat yang besar di sana. Tersentuh hati apabila menyaksikan bendera negara dikibarkan dalam dua situasi jauh berbeza. Meskipun situasi tegang telah berlalu namun pemulihan masih mngambil tempat. Kita doakan yang baik-baik. Kesejahteraan negara jiran juga penting untuk kelangsungan hidup kita semua. 


Berbalik pada percutian singkat ini, kami turun di Stesen Halim. Kemudian kami naik teksi Blue Bird untuk ke Thamrin City Mall. Rombongan kami ramai. Kena ambil dua buah teksi. Alhamdulillah, tiada kesesakan luar biasa pun. Kami terus makan tengah hari di Bakso Atom. Saya pilih hendak rasa bakso di sini. Ada pelbagai pilihan makanan juga selain bakso.

Usai makan, kami berpecah untuk menjelajah Thamrin City Mall. Thamrin City Mall lebih kurang macam Kenanga atau GM Klang di Malaysia. Kami beli telekung travel untuk ole ole. Ada pelbagai jenis telekung. Pelbagai jenis fabrik, corak dan harga. Memang ada telekung lebih kecil dari tapak tangan tapi saya tak berkenan dengan jenis fabriknya. Memang betul boleh dapat dengan harga murah sebagai ole ole. Memang nipis. Ringan. Kecil. Mudah dibawa. Antara yang mempengaruhi pertimbangan saya adalah kerana pernah ada pengalaman telekung terbang ketika sedang solat. Saya pun tak selesa kalau pakai telekung yang akan rasa berkuap. Walaupun nak beri ole ole, saya hendak yang selesa sama seperti jika memakainya. Apapun wang masing-masing kan. 

Lupa pula. Ketika kami ke Indonesia, mata wang Rupiah lebih rendah dari Ringgit. Namun harga makanan saya tak fikir murah pun. Lebih kurang harga makanan di Malaysia juga. Terutama jika memilih untuk makan di restoran. Macam makan malam kami di Restoran Garuda Jakarta. Harganya memang keras. Tapi berbaloi dengan kualiti makanannya. Sedap sangat masakan Padang di situ. Cuma trip kali ini kurang berkesempatan minum alpukat. Sedapnya alpukat. Jadi kena pasakkan dalam fikiran jika bercuti di Indonesia, harga makanan tidak murah ya kawan-kawan. Lainla kalau pilih makanan di jalanan. Berbanding dengan harga barangan. Harga barangan memang agak murah. Kami sempat singgah di Planet Sports. Ada trek larian dalam mall, tanya anak-anak bujang nak buat larian tak? hahaha. Rambang mata dengan pelbagai jenis kasut. Tetapi di Bandung sudah berhabis membeli di Nike dan Rumah Mode. 

Boleh dikatakan Bandung dan Jakarta kota syurga membeli belah oranng perempuan, dari segala jenis kain telekung, batik, tudung, kain pasang dan kebaya bagi peminat kebaya. Sepasang kebaya lace boleh dibeli dengan harga sekitar RM30.00. Tak hairanlah begitu ramai orang Malaysia ke Jakarta semata-mata untuk membeli belah di musim perayaan atau majlis perkahwinan. Tapi... Ada tapinya, saya belum pernah ke Vietnam. Kata orang, itu syurga membeli belah orang perempuan hahaha.

Harga barangan adalah lebih murah di Pasar Tanah Abang berbanding Thamrin City Mall. Barangan yang di jual pula, lebih kurang sama sahaja. Cuma lebih selesa membeli belah di Thamrin City Mall. Ketika kami ke sana, pengunjung di kedua-dua tempat tak begitu ramai. Boleh dikatakan agak lenggang. Bangunan Pasar Abang ini agak besar dan di bahagikan mengikut kategori serta dibezakan dengan warna. Oleh sebab kita adalah pelancong, sangat penting untuk kita mengingati pintu masuk dan warnanya. Nanti melilau pula mencari jalan pulang. Orang tempatan mungkin tak ada masalah. Lagi satu sentiasa beringat. Penyeluk saku sangat cekap ya. Hati-hati selalu.


Sekitar Pasar Tanah Abang inilah dapat dilihat keadaan hidup penduduk Jakarta yang berstatus rendah. Sayu rasa hati. Keadaan tempat mereka yang mencari rezeki di ibu kota ini. Ada penjual pakaian yang menimbunkan pakaiannya di atas kaki lima. Tak mampu menyewa unit kedai di dalam Bazar Tanah Abang. Pembeli memilih, membelek pakaian yang hendak dibeli. Tak mampu membeli di dalam Bazar mahupun Mall. Pelbagai jenis perniagaan ada di kaki lima termasuk makanan. Di situ jugalah anak-anak tumbuh, bermain dan berkawan. Anak-anak kami sedikit terkejut diserbu pengemis di Jakarta. Pelbagai usia termasuk anak muda. Kurus cengkung. Ada yang memakai kostum badut yang kusam dan lusuh. Kebanyakkannya berkaki ayam. Kaki memang telah jadi hitam bersalut debu. Penampilan badut yang tak mungkin didekati kanak-kanak kerana badut ini telah kehilangan rianya. Kami ingatkan betapa beruntungnya hidup mereka sebagai anak-anak kami. Mereka melalui hidup biarpun tak kaya tetapi tidak susah, apa lagi melarat. Betapa perlunya mereka menghargai dan bersyukur. Sentiasa menjadikan keutamaan mereka untuk sentiasa berkongsi rezeki dan membantu orang lain. Mereka juga perlu sedar hidup ini putaran roda. Tidak mustahil boleh berada di titik yang paling bawah yang tak pernah terjangkakan. Hotel penginapan kami di Jakarta, berhampiran dengan Thamrin City Mall dan Pasar Tanah Abang. Jadi pengemis memang agak ramai di kawasan sekitar. Malah pemakaian hampir sama menyebabkan anak jadi terkeliru menyangka, orang yang sama meminta lebih daripada sekali.

Kami menginap di Hotel Swiss-Belinn Wahid Hasyim, yang jauh lebih kecil berbanding Aston Pasteur. Kami ambil tiga buah bilik. Biliknya agak panas walaupun ada penghawa dingin. Paling merimaskan kerana rasa lemas. Terkepung. Bilik kecil tak mengapa tapi bilik tak bertingkap, alamak memang rasa tak sabar-sabar nak keluar dari bilik. Ruang makan hotel juga agak sempit. Pilihan hidangan sarapan agak terhad. Jadi usai makan kena cepat-cepat beredar untuk beri laluan kepada pengunjung lain menikmati hidangan. Walaupun hotel ini berhampiran dengan Thamrin City Mall dan Pasar Tanah Abang, jalan di sekitar tempat ini agak sesak dan sempit. Menjelang tengah hari kenderaan hampir tidak bergerak. Apatah lagi  untuk hampir ke bangunan pasar. Ramai orang memilih berjalan kaki. Mujur kami telah keluar dari kawasan kesesakan itu, lebih awal.

Ketika kami ke Indonesia, Hari Raya Korban hanya tinggal beberapa hari. Ada banyak sekali haiwan-haiwan ternakan untuk korban di jual di sekitar kawasan tersebut. Besar-besar dan cantik-cantik haiwan ternakan yang hendak dijual. Kami dikhabarkan pada keesokan harinya, Pasar Tanah Abang akan ditutup separuh hari bagi memberi ruang persiapan menyambut Aidiladha dibuat. Pernah terdetik untuk merasai pengalaman menyambut setidak-tidaknya Hari Raya Korban di mana-mana negara jiran tetapi ada beberapa cabaran yang perlu dihadapi membuatkan saya pendamkan sahaja hasrat itu. Paling saya teringin, menyambut hari raya korban di Kemboja. Hampir setahun memilih menjalani ibadah korban untuk Muslim di Kemboja, saya menyimpan impian melihat sendiri haiwan korban kami ditumbangkan di hadapan mata. 

Memilih untuk meraikan raya korban di kampung halaman saya sekembalinya kami dari bercuti, menjadikannya momen indah kerana kami sekeluarga sama-sama berpuasa sunat Tarwiyyah dan Arafah. Berbuka bersama dengan kedua orang tua, terasa kemeriahannya. Sementelah kami sekeluarga menyambut hari raya puasa tahun ini di kampung halaman suami. Pagi hari raya korban, usai solat sempat sama-sama menjamu selera bersama teman-teman emak. Sesuatu yang sangat jarang dapat dilakukan sekarang.

Ada lagi satu hasrat iaitu menyambut Hari Raya Korban di mana-mana wilayah yang di duduki majoriti Muslim di China. Saya teringin merasai pengalaman itu. Selain China terutama di Xinjiang dan Xian, saya berhasrat hendak ke Iran. Dalam banyak dokumentari dan buku-buku, Iran adalah permata tersembunyi yang sangat cantik. Semoga dipermudahkan urusan dan ada rezeki untuk ke sana, suatu hari nanti. InsyaAllah.

Comments

Popular posts from this blog

Simbolik Perpisahan: Hadiah Sepasang Kasut

Sepasang kasut simbol perpisahan. Ada segelintir yang berpendapat, menghadiahkan sepasang kasut bagi pasangan yang berkasih, memberi petanda perhubungan itu tidak akan kekal lama. Dalam erti kata lain, sang kekasih akan melangkah pergi. Simbolik ini, digunakan oleh penulis dalam menzahirkan hubungan cinta yang tak kesampaian antara keduanya. Lee Bang Won dan Boon Yi bertemu sejak dari kecil, kemudian terpisah. Setelah dewasa, mereka bertemu kembali tanpa keduanya menyedari mereka pernah punya kenangan ketika kecil ( episod 1 dan 2 ). Hal itu cuma disedari Boon Yi ketika Lee Bang Won 'menjadikannya tawanan', dengan mulut, kaki dan tangan diikat, Lee Bang Won menjelaskan kewajaran tindakannya dengan meluahkan apa yang terbuku di hati termasuk pengalaman yang pernah ditempuh bersama Boon Yi, ketika masih kecil. Boon Yi yang cuma mampu mendengar, menyimpan rahsia itu sendirian. ( episod 8 ) Boon Yi petani miskin. Ibunya telah lama menghilang. Malah beliau bertemu Lee Bang ...

The Missing Piece & Dr Fatimah Busu

Musim demam kan. Alahai kesian kat diri sendiri, demam. Memang betul-betul demam ni, demam membaca novel hahaha. Jangan marah. The Missing Piece 1 sudah khatam dan sekarang hampir khatam The Missing Piece 2. Karya Dr Fatimah Busu yang sangat-sangat tebal. Percaya tidak, novel ini setebal 1,482 halaman? Bukan novel bahasa Inggeris. Tajuknya sahaja dalam bahasa Inggeris. Kalau novel Inggeris, mustahil saya khatam selaju ini hahaha. Memang dari sekolah lagi saya suka membaca novel Melayu. Bagi yang tidak meneganali, inilah gambar Dr Fatimah Busu. Bukan gambar yang terbaru. Sekiranya The Missing Piece itu mewakili dirinya dan perjalanan hidupnya, sememangnya beliau wanita besi. Tegas. Kuat semangat. Tabah. Keras pedal (meminjam ungkapannya dari novel The Missing Piece itu sendiri). Saya tidak pandai mengulas atau memberi kritikan. Bukan saya orang yang layak. Ilmu sastera saya tidak tinggi. Saya masih belajar. Kalau bertanyakan sinopsis novel ini, dapatlah saya kongsikan. Sama sepe...

Ombak Bukan Biru Fatimah Busu

Akhirnya novel Ombak Bukan Biru karya penulis terkenal Dr Fatimah Busu jadi milik saya 21 Jun 2014 lalu. Alhamdulillah. Merata saya cari novel ini. Keterujaan untuk memilikinya sehingga sanggup memesan dari kedai buku terpakai. Saya diingatkan harganya akan menjadi lebih mahal dari harga pasaran. Saya menyatakan kesanggupan. Selepas berjaya memiliki The Missing Piece 1 dan 2, rasa tak lengkap selagi belum dapat membaca Ombak Bukan Biru. Terdetik di hati bagaimana Imrah bertemu, bercinta dan akhirnya berjaya mendirikan rumahtangga dengan lelaki sejati dalam hidupnya, Lawrence. Kemudiannya mereka terpisah, apabila Imrah lari. Siapa yang pernah menatap The Missing Piece, barangkali ada yang jatuh hati dengan watak Lawrence. Sememangnya dalam The Missing Piece serba sedikit, pengarang memasukkan latar belakang cerita tetapi hati kuat hendak mendakap Ombak Bukan Biru. Benarkah? Sungguh benarkah ombak itu bukan biru? Setelah mendakapnya, saya dapati The Missing Piece 1 dan 2 t...